ADAT BERPAKAT, KUATKAN PAKATAN BUKANNYA MAKAN KAWAN
1. Apabila beberapa pihak membentuk sesuatu pakatan atau permuafakatan, kunci utamanya adalah musyawarah dan tolak ansur.
2. Tidak boleh ada sifat yang besar ambil semua, yang kecil dapat sedikit. Setiap sesuatu harus disesuaikan dengan keadaan dan berasaskan pertimbangan-pertimbangan yang wajar.
3. Niat terselindung juga harus dikikis. Matlamat utama haruslah mengukuhkan pakatan atau permuafakatan itu secara keseluruhan, bukannya menguatkan diri sendiri.
4. Inilah kepincangan yang berlaku dalam Pakatan Nasional sekarang ini, khususnya dalam pelantikan JPKK. Inilah juga yang amat dirasai oleh kepimpinan PPBM Bahagian Pendang sekarang.
5. Bayangkanlah daripada 101 JPKK di kawasan Parlimen Pendang, hanya 6 yang diperuntukkan kepada PPBM Pendang. Selebihnya diperuntukkan kepada sahabat-sahabat kita dalam PN.
6. Sebagai Ketua PPBM Bahagian Pendang, saya berhak berasa tersinggung dengan peruntukan yang sangat kecil ini. Lebih mendukacitakan lagi apabila saya langsung tidak dibawa berunding dalam soal pengagihannya.
7. Tetapi atas semangat persahabatan dan hasrat untuk melihat PN kekal utuh, saya memilih untuk berdiam diri dan cuba menyelesaikan perkara ini secara senyap dengan menggunakan saluran-saluran sepatutnya.
8. Ia membawa saya kepada pertemuan dengan YAB Menteri Besar, yang sekarang ini merupakan Pengerusi Perhubungan PN Negeri. Alhamdulillah, saya diberi layanan yang cukup baik dan mesra. Terima kasih YAB.
9. Kepada beliau saya nyatakan masalah kami, PPBM Pendang. Kami akur, sebagai parti baharu yang jumlah cawangannya tentulah lebih kecil berbanding dengan PAS dan UMNO, kami tidak berhak menuntut banyak. Kami tak perlukan 50 atau 40 atau 30. Jika dapat 20 pun memadai. Jika tidak dapat 20, 15 pun jadi. Jangan enam. Ia terlalu kecil dan menyinggung.
10. YAB Menteri Besar bersetuju dengan angka 15. Diminitkanlah surat untuk tindakan lanjut pihak lain. Saya balik dengan lega. Sekurang-kurangnya saya dapat meredakan gelora ahli-ahli PPBM Pendang yang jumlahnya tidak sedikit.
11. Tetapi semalam saya dikejutkan dengan panggilan dari pihak berkenaan di Wisma Darulaman. Peruntukan untuk kami kekal enam. Persetujuan menteri besar untuk menaikkan angka itu menjadi 15 tidak mereka pedulikan.
12. Dalam hal ini saya cenderung untuk menyalahkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Jika kementerian itu dari awal tampil dengan formula khusus mengenai pelantikan JKPP, masalah seperti ini dapat dielakkan. Inilah kaedah yang digunakan oleh kerajaan PH dahulu, dan ia terbukti berkesan.
13. Apabila perkara sebesar ini diserahkan terus kepada kerajaan negeri dan kerajaan negeri pula, tanpa formula tertentu, menyerahkannya kepada pihak yang lebih bawah, mulalah timbul isu yang bukan-bukan. Akan timbullah ikut pandai masing-masing, kroni, pilih kasih dan melebih-lebihkan puak sendiri dan pelbagai lagi.
14. Islam juga telah menyediakan panduan lengkap tentang prinsip-prinsip perkongsian serta hak-hak yang berkaitan. Tentang yang boleh dan yang tidak boleh. Kenapa panduan itu tidak digunakan?
15. Jika memikirkan kepentingan diri, saya boleh diam. Boleh memilih untuk menjadi bacul dengan berpura-pura ‘semuanya okay’. Tetapi bagaimana dengan ahli-ahli dan penyokong PPBM bahagian Pendang? Itu yang PN patut bimbang. – INK
Abdul Razak Khamis
KETUA BERSATU BAHAGIAN PENDANG