Lupus hutan simpan: Pemuda PKR kecam kerajaan Selangor kerana abaikan protes rakyat
Ketua Pemuda PKR Selangor Najwan Halimi mengingatkan pentadbiran negeri supaya mendengar suara dan protes dibangkitkan rakyat berhubung tindakan Menteri Besar Amirudin Shari yang masih mempertimbangkan rancangan memansuhkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) untuk tujuan pembangunan.
Najwan berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sendiri sudah membuat keputusan berhubung isu itu tahun lalu, malah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut bertitah pada 2019 bahawa hutan simpan di Selangor perlu dilindungi.
“Tidak sembang kencang pun. Tahun lepas dalam sidang dewan negeri Selangor, saya sudah bawa usul persendirian desak kekalkan semua hutan simpan seluruh negeri, dilulus sebulat suara. Kami di Selangor bukan pak turut, benda tidak betul kami tegur dan bantah,” katanya di Twitter.
Najwan merujuk kepada keputusan DUN Selangor pada 11 Nov tahun lalu untuk meluluskan usul menggesa kerajaan negeri mempertahankan status pewartaan hutan simpan dan memeliharanya dengan baik.
Usul dibawa Najwan itu dibuat supaya hutan simpan dan kawasan tadahan air di Selangor dikekalkan bagi memastikan sumber bekalan air mencukupi pada masa depan.Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Hee Loy Sian berkata, Selangor menjadi negeri pertama yang menguatkuasakan kaedah penyiasatan awam sebagai syarat untuk memansuhkan pewartaan hutan simpan kekal.
Najwan berkata, di Amerika Syarikat, presidennya Joe Biden turut mengungkap tentang keadilan untuk alam sekitar dan menekankan kepentingan kerajaan dalam menangani fenomena perubahan iklim semasa.
“Selangor sebagai sebuah negeri maju sewajarnya mendepani hal sebegini. Bela kemampanan alam sekitar dan henti tarah hutan,” katanya.
Terdahulu, kumpulan aktivis dan badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar meluahkan kekecewaan mereka terhadap Amirudin yang masih mempertimbangkan rancangan untuk memansuhkan HSKLU.
Menurut Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA), Amirudin sepatutnya menggugurkan cadangan pembangunan di kawasan hutan simpan itu selaras keputusan DUN Selangor.