MUHYIDDIN YANG TIADA KEABSAHAN UMPAMA ORANG TIADA AIR SEMBAHYANG, TAPI TAK MALU SOLAT DI SAF DEPAN



Sekurang-kurangnya tiga pihak telah mengemukakan saman terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berhubung peranannya dalam memberi nasihat kepada Yang Dipertuan Agong berkaitan perisytiharan darurat.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang mewakili PH memfailkan saman terhadap Muhyiddin kerana menggantung Parlimen dalam tempoh darurat dikuatkuasakan.

“Perlu ditekankan di sini bahawa apa yang dicabar Anwar dalam permohonan samannya bukannya pengisytiharan darurat oleh Agong, tetapi keputusan Perdana Menteri melalui Jemaah Menteri untuk menasihati Agong untuk meluluskan kaedah 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat tersebut,” kata Ramkarpal Singh, peguam yang mewakili Ketua Pembangkang itu dalam satu kenyataan semalam.

Dalam konteks saman yang hampir sama, tiga Adun daripada PKR, DAP dan Amanah turut mengemukakan saman terhadap Muhyiddin.

Mereka ialah Johari Abdul, Adun Gurun, Kedah; Salahuddin Ayub, Adun Simpang Jeram, Johor dan Dr. Aziz Bari, Adun Tebing Tinggi, Perak.

“Kami telah memfailkan satu permohonan untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan nasihat Perdana Menteri, Muhyiddin untuk suatu deklarasi darurat oleh Agong yang seterusnya menggantung persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi kesemua negeri,” kata ketiga-tiga mereka dalam satu kenyataan.

Sebelum itu, Khairuddin Abu Hassan yang dikaitkan rapat dengan Tun Mahathir Mohamad, lebih awal mengemukakan saman mempertikaikan kuasa Perdana Menteri dalam memberi nasihat kepada Agong berkaitan darurat.

Beliau berkata, tindakan saman pemula itu dibuat mengambil kira kedudukan seorang Perdana Menteri yang tiada lagi keabsahan dan telah hilang sokongan majoriti ketika memberi nasihat kepada Agong.

Difahamkan juga, terdapat pelbagai pihak lain dijangka akan mengambil langkah yang sama mengemukakan saman terhadap Muhyiddin dalam tempoh terdekat ini.

Saman-saman yang telah dikemukakan ini, disertai dengan pelbagai pihak yang dijangka turut berbuat demikian tidak lama lagi, ia adalah jelas gambaran tidak setujunya rakyat terhadap darurat yang telah dikuatkuasakan atas nasihat Perdana Menteri kepada Agong.

Bagi mereka, darurat yang disekalikan dengan menggantung Parlimen, bukanlah untuk melawan Covid19, tetapi semata-mata untuk kepentingan Muhyiddin mempertahankan kedudukannya yang sedang terancam daripada dijatuhkan.

Di mana-mana dalam dunia, baik dalam politik, persatuan sukan, perniagaan atau sebagainya, mereka yang hilang sokongan dan tiada lagi majorit, pilihan yang diambil sama ada berundur atau meletak jawatan.

Itulah sebenarnya langkah terhormat dalam amalan demokrasi di mana di negara bukan Islam pun, di Italy misalnya, pemimpin yang hilang sokongan akan memilih berundur secara baik tanpa berlengah lagi.

Muhyiddin sebaliknya, meski merupakan anak ulama dan pandai membaca doa, telah memperkenalkan norma baru dengan mencadangkan darurat sebaik mengetahui sokongan majoritinya telah tiada,

Lebih malang, perbuatan tidak demokratik Muhyiddin itu bukan saja disokong oleh pihak-pihak yang mengampunya demi jawatan dan kedudukan, malah parti yang berjuang atas nama Islam pun sama mempertahankannya.

Sesungguhnya inilah kerosakan paling besar dalam negara kerana seseorang yang tiada keabsahan dalam kuasa adalah ibarat orang yang tiada air sembahyang, tetapi berlagak alim di dalam masjid dengan tiada perasaan malu duduk di saf paling depan sekali.

Lebih buruk, sudahlah tiada keabsahan dan kemudian memberi nasihat untuk darurat, Muhyiddin yang sepatutnya sudah hilang kuasa akhirnya menjadi Perdana Menteri ala diktator, paling berkuasa dan bebas melakukan apa saja dengan kuasanya.

Negara kita tidak akan ke mana-mana, malah jauh mengundur dalam pelbagai bidang selagi beliau masih ada lantaran tidak ada sesiapa akan menghormatinya sebagai ketua kerajaan.

Relakah kita pemimpin berperangai sebegitu berkuasa lebih lama lagi?

 (Shahbufindotcom 27/01/2021)