MENYILANG MALAM
Oleh : Mohd Sayuti Omar - MSO
COVID menjadi kemalangan buat Muhyiddin Yassin yang mengambil
kerajaan secara "Curitokrasi" 10 bulan lalu yang dimurkai sebahagian
besar khalayak. Yang tidak marah dan bersetuju dengan cara Muhyiddin, hanya
para jemaah menterinya sahaja dan mereka yang mendapat laba langsung daripada
pembentukan kerajaan PN itu.
Setiap hari Muhyiddin dipersoal keabsahannya, dimaki hamun
sampai soal penyakitnya juga diungkit. Diberi gambaran akan kelenguhannya untuk
mengurus negara. Pantang beliau demam atau batuk, atau kurang tampil maka
adalah yang mengirimkan salam maut buatnya.
Nasib diterima oleh perdana menteri ke-8 itu sungguh
menyedihkan. Ia makin menjadi-jadi apabila langkah memproklamasikan darurat
bagi mengukuhkan kedudukannya dilaksanakan. Meskipun ada niat baik di sebalik
proklamasi darurat mengikut Perkara 150 Perlembagaan Negara itu, tetapi motif
jahatnya yang lebih banyak dipertontonkan.
Ia tidak boleh disalahkan kepada sesiapa melainkan kepada
"kehemahan" dirinya sendiri.
Darurat itu dilihat dari berbagai sudut dan diberi tafsiran yang
semuanya kalau dirumuskan menampakkan tindakan desperate oleh Muhyiddin.
Menjelaskan bahawa beliau sudah hilang sokongan di Parlimen maka darurat
dijadikan benteng menyalamatkan dirinya. Itu dipersetujui ramai penganalisis politik
liberal. Muhyiddin tampaknya terus memberanikan diri untuk bermain dengan api
politik. Teruskan, kalau terbakar pun jari sendiri.
Serentak dengan pengisytiharan darurat itu, Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) kedua pula dikuatkuasakan semula di beberapa buah negeri
termasuk, Kuala Lumpur, Melaka, Johor, Sabah, Pulau Pinang dan Selangor. Hari
ini sebuah lagi negeri diletak di bawah PKP, yakni Kelantan. Kes Covid di
Terengganu pula mencatat sejarah tertinggi hari ini dengan jumlah 92 kes
diikuti rapat oleh Kelantan dengan 79 kes. Keseluruhan kes Covid-19 hari ini
(15 Januari 2021) sebanyak 3,211.
Desakan dan luahan marah kepada tindakan Muhyiddin itu datang
dan muncul daripada berbagai pihak. Daripada pembangkang, pengamal
undang-undang orang politik sampailah kepada individu, rakyat marhaen seperti
warung, pekedai runcit, dan penjaja pasar malam dan golongan yang terkesan
dengan PKP.
Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia
(Ikhlas), telah memberi amaran kalau pasar malam tidak dibuka dalam tempoh tiga
bulan mereka akan berhimpun di hadapan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Nanti kalau berlaku himpunan kita harap pejabat perdana menteri
akan dipenuhi dengan sayur-sayuran, pelbagai ikan dan sebagainya. Nanti rakyat
dapat mendapatkan secara percuma.
Apa dipersoalkan dengan PKP adalah peraturan yang tidak adil dan
tidak munasabah. Peraturan kedai makan ditutup dan hanya membenarkan jualan
untuk dibawa balik, tidak disenangi pekedai. Mereka yang hanya hidup
bersumberkan berniaga secara kecil-kecilan seperti kedai makan sangat terkesan.
Sepatutnya kerajaan mengambil langkah membantu mereka dengan mengarahkan bank
memberi moratorium dan bantuan lain diperbanyakkan, kalau mereka dihalang
berniaga.
Mungkin mereka yang makan gaji tidak terbeban dengan PKP
dilaksanakan. Tetapi mereka yang berkerja sendiri, kais pagi makan pagi sangat
terbeban dengan apa yang berlaku.
Bukan tidak ada entiti yang mempertahankan Muhyiddin. Itu mereka
yang mendapat untung daripada langkahnya melakukan kudeta kelihatan bahagia-bahagia
sahaja. Semua menteri dan timbalan menteri sepakat menyokong, tanpa seorang pun
memahami jerit perih rakyat di bawah. Tidak ada seorang menteri dan timbalan
menteri yang mengkritik Muhyiddin dengan membuat protes semisalnya mengugut
untuk meletak jawatan.
Itulah sikap dan perangai orang politik, mereka merasa bahagia
sendiri sekiranya hak dan kedudukan mereka tidak terjejas. Tetapi kalau
kedudukan dan kepentingan mereka terancam masa itulah baru mereka berteriak dan
bangkit menggunakan rakyat sebagai alat dan abdi membela mereka. Cis.
Yang ketara dan vokal mengkritik adalah daripada pembangkang.
Anwar Ibrahim telah mengajak rakan-rakan ahli Parlimen supaya menulis surat
kepada Yang diPertuan Agong agar membatal darurat dan minta Parlimen dibuka.
Sejauh mana seruan dan pelawaan Anwar itu disambut, tidak diketahui. Ia
walaupun praktikal tetapi bukan mudah kerana pembangkang sendiri berada dalam
bantrakan, tidak sepadu.
Kalau semua ahli Parlimen berjumlah 109 atau 113, yang
menyatakan bantahan kepada Muhyiddin menulis surat meminta yang diPertuan Agong
mempertimbangkan untuk membatalkan darurat dan membuka sidang parlimen, tentu
ia memberi kesan tertentu. Setidak-tidaknya layanan dan pertimbangan budi baik
Yang diPertuan Agong itu menjadikan Muhyiddin lebih merasakan bahawa
"kuntau" politiknya tidak dipersetujui semua orang.
Tegasnya Muhyiddin akan terus dimaki hamun oleh rakyat. Beliau
perlu menahan dan menadah mukanya kepada umum. Itulah nasib yang diterima oleh
PM ke-8 itu. Nasibnya beliau menjadi pemimpin negara dalam era pandemik dan
saat rakyat terbelenggu dengan masalah ekonomi, dan ramai kehilangan
pekerjaaan. Situasi dan takdir ini meletakkan Muhyiddin menjadi PM yang paling
tercabar dan malang.
Rakyat kini berhadapan dengan kesulitan hidup yang nilainya sama
dengan kesulitan dan keserabutan dihadapi Muhyiddin untuk mempertahankan
kekuasaanya. Sebenarnya apa yang dihadapi Muhyiddin hari ini adalah atas
kehendak dan ulahnya sendiri. Semua masalah yang terhimpun di hadapannya dibeli
dan ditender sendiri olehnya.
Apa yang boleh dikatakan, tepatnya mengambil pepatah Melayu
berbunyi, tangan berani mecincang, maka bahunya hendaklah sanggup memikul.
Kepada Muhyiddin selamat bertakhta dengan sejuta masalah. [wm.kl. 7:32 pm
15/01/2021]