MENJAWAB TUDUHAN 30 DALIL ZAHID HAMIDI PERLU BERUNDUR

 

Tuduhan 1: Kes Mahkamah

Zahid Hamidi berhadapan dengan 87 kes mahkamah. Bagaimana UMNO hendak bangkit menjadi kuat.

Jawapan:

Ketika regim PH berkuasa dibawah Dr Mahathir, Zahid Hamidi diarahkan membubarkan UMNO dan semua ahli diserap dalam Bersatu. Kalau Zahid bersetuju, sudah tentu beliau terlepas dari dakwaan di mahkamah. Dengan semangat juang yang kental, beliau sanggup menghadapi dugaan dan berkorban demi parti keramat UMNO. Kalau orang lain ketika itu belum tentu UMNO masih wujud hingga sekarang. Pemimpin seperti Zahid adalah antara sebab mengapa UMNO masih berpengaruh.

Tuduhan 2: LIABILITI KEPADA UMNO

( ZAHID Dicabar Calonkon Diri Sebagai Calon PM UMNO Untuk PR 15 Jika Dia Yakin Diri Sendiri Bukan Liabiliti )

Jawapan:

Zahid Hamidi bukanlah pemimpin gila jawatan. Dengan asas ugama yang ada pada dirinya, beliau tahu bahawa kita tidak perlu terlalu meminta minta jawatan (hard up) untuk jadi Perdana Menteri. Berserah kepada qada dan qadar kerana semua itu ketentuan Allah.

Tuduhan 3: 60% AHLI UMNO TIDAK MENYOKONG ZAHID DALAM PEMILIHAN UMNO

Jawapan:

Ketika Zahid Hamidi tidak mempunyai apa-apa kuasa setelah UMNO kalah dalam PRU 14, beliau menang dalam pertandingan 5 penjuru. Mengalahkan tokoh hebat seperti Tengku Razaleigh dan Khairy Jamaluddin.

Sehebat Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pun hampir kalah dengan Tengku Razaleigh Hamzah ketika pemilihan Presiden UMNO 1987.

Ini menunjukkan Zahid Hamidi mempunyai sokongan akar umbi yang kuat.

Tuduhan 4: REKOD KALAH DALAM PILIHAN RAYA KECIL 4 KALI SEBELUM DIAMBIL ALIH OLEH TOK MAT

Jawapan:

Ketika PH baru memerintah, rakyat masih menunggu janji ‘bulan bintang’ untuk ditunaikan. Lagipun 4 kawasan PRK tersebut adalah kubu kuat PH seperti Sg Kandis dan Seri Setia. Balakong dan Sandakan adalah kawasan majoriti pengundi Cina.

Selepas Zahid mengambil alih jawatan Presiden dari Tok Mat, UMNO menang bergaya di Kimanis, Chini dan Slim.

Tuduhan 5: MEMBAWA KEMBALI SIFAT BONGKAK , ANGKUH & SOMBONG YANG DIBENCI RAKYAT & AKAR UMBI UMNO

Jawapan:

Zahid dituduh bersikap sombong dan ‘Abang Besar’ namun apa yang pasti adalah sebaliknya. Ketika Dr Mahathir meletakkan jawatan PM7, untuk memilih PM8, beliau menyokong TSMY sebagai PM, sedangkan Zahid adalah Presiden kepada parti yang terbesar dalam gabungan yang akan membentuk kerajaan.

Krisis politik Perak juga menunjukkan sikap merendah diri beliau apabila sanggup memohon maaf kepada PAS dan PPBM walaupun kedua dua parti tersebut lambat hadir ketika dipanggil mengadap oleh Sultan Perak.

Tuduhan 6: ZAHID PUNCA BERBELAS AHLI PARLIMEN UMNO BERHIJRAH KE PPBM

Jawapan:

Bukan mudah menjadi pembangkang ketika Dr Mahathir berkuasa. Dengan strategi pecah dan perintah Mahathir ketika itu, ramai yang tewas dalam perjuangan. Orang yang mempunyai jiwa yang kental saja sanggup bertahan.

Ada hikmah disebalik itu, sebenarnya UMNO beruntung kerana kita mengetahui yang mana pemimpin yang ikhlas dan mana pemimpin yang hanya berpura-pura dalam perjuangan ini.

Tuduhan 7: KHIANAT AUTONOMI POLITIK UMNO SABAH

( Membuat Keputusan Peribadi Tanpa Berbincang Dengan Ketua – Ketua Bahagian UMNO Sabah )

Jawapan:

Bung Mokhtar Raden adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah selayaknya diberi kepercayaan untuk mengetuai kempen pilihanraya tersebut. Semasa itu Bung Moktar dilihat seorang pemimpin yang mampu menambat hati rakyat Sabah disebabkan kelantangannya berhujah di Parlimen.

Malangnya ketika kempen tersebut, UMNO telah disabotaj oleh parti sekutu dan lebih malang apabila ada pemimpin tertinggi UMNO Pusat yang bersungguh sungguh mahukan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru.

Tuduhan 8: KRISIS DI PERAK PETANDA UMNO PERLUKAN KEPIMPINAN BAHARU

Jawapan:

Krisis politik Perak menunjukkan kebijaksanaan Zahid Hamidi dalam misi menukar MB yang bermasalah. Menguji kesetian kawan juga menguji pengaruh dengan parti lawan. Keberhasilan sesuatu matlamat tanpa menimbulkan persengketaan antara UMNO dan PN serta UMNO dan PH. Tidak ramai pemimpin yang mempunyai ‘skill’ sebegitu rupa dalam persada politik tanahair,

Tuduhan 9: PRESIDEN UMNO YANG PALING LEMAH DALAM SEJARAH UMNO

( Hanya Mahu Selamatkan Diri Sendiri & Bukan Demi Parti , Rakyat Dan Negara )

Jawapan:

Zahid Hamidi mengambil alih kepimpinan tertinggi UMNO ketika baharu sahaja kalah dalam PRU 14. Dengan pemdakwaan terpilih kerajaan PH terhadap pemimpin UMNO dan diteruskan oleh kepimpinan Muhyiddin, beliau mampu mengemudi parti keramat UMNO dengan jayanya. Zahid satu satunya Presiden UMNO yang menerajui Parti ketika UMNO hilang kuasa. Akaun UMNO dibekukan oleh kerajaan pimpinan Mahathir dan diteruskan oleh kepimpinan Muhyiddin walau mahkamah mendapatiianya tiada kaitan dengan 1 MDB. Bukan mudah menguruskan parti dalam kekurangan dana namun Zahid mampu melakukannya.

Tuduhan 10: TIDAK HORMAT INSTITUSI RAJA

( Keputusan dan Tandatangan Peribadi Dengan Menggunakan Nama UMNO Tanpa Berbincang Dengan Biro Politik , Majlis Tertinggi dan Ketua Bahagian Umno dalam sokongan kepada Anwar Ibrahim )

Jawapan:

Najib Razak menafikan dan SUA PKR Saifuddin Nasution juga mendakwa tidak mengetahui sokongan tersebut.

Sekiranya surat sokongan tersebut tulin, sudah tentu YD Agong akan memanggil mengadap Zahid dan Najib untuk pengesahan. Selepas Anwar Ibrahim mengadap YD Agong, tiada apapun yang berlaku dan Anwar masih ketua pembangkang dan Muhyiddin masih PM.

Tuduhan 11: KHIANAT SEMANGAT PERLEMBAGAAN & MAJLIS DEWAN TERTINGGI BARISAN NASIONAL ( MCA & MIC )

( Menggantikan jawatan SUA BN dengan melantik Ahmad Maslan)

Jawapan:

Melantik SUA BN adalah prerogatif Pengerusi BN. Seorang Setiausaha Agong adalah sebagai jurucakap Pengerusi dan Parti yang mana sepatutnya Pengerusi selesa untuk melaksanakan tugas.

Sudah menjadi tradisi bahawa SUA UMNO juga SUA BN. Melantik dan mengganti SUA sudah berlaku berpuluh puluh kali dalam sejarah UMNO BN tanpa menimbulkan sebarang masalah.

Tuduhan 12: KHIANAT MUAFAKAT NASIONAL

( Keputusan Peribadi Tidak Daftar MN Tanpa Merujuk Kepada Majlis Tertinggi UMNO )

Jawapan:

Annuar Musa mendakwa Zahid enggan mendaftar MN, Nik Amar pula mendakwa MN tidak boleh didaftarkan disebabkan telah ada pihak lain yang telah mendaftarkan perkara yang sama.

Sekiranya MN boleh didaftarkan sepatutnya SUA UMNO dan SUA PAS berusaha kearah itu.

Tuduhan 13: KHIANAT PAS (PAS juga dikhianati dan kerajaan PAS bersama PN dijatuhkan di negeri Perak).

Jawapan:

Kerajaan PN di Perak tidak diganti kerana kerajaan PN masih berkuasa. Yang ditukar hanya MB yang bermasalah.

Tindakan pimpinan UMNO seharusnya dipuji kerana dapat mengembalikan kepercayaan rakyat negeri Perak terhadap kerajaan Negeri.

ADUN PAS pun dapat jawatan exco dan tidak timbul sebarang perasaan tidak puas hati dari mereka. Yang peliknya ada pemimpin tertinggi UMNO yang masih terkilan walau krisis tersebut telah dapat ditangani dengan baik.

Tuduhan 14: KHIANAT PERJUANGAN UMNO

( Perjuangan UMNO ‘No Anwar No DAP’ juga sudah dikhianati beberapa kali).

Jawapan:

Kalaulah benar dakwaan tersebut, semasa krisis politik Perak adalah peluang terbaik untuk membentuk kerajaan bersama PKR dan DAP, tapi Zahid masih utamakan permuafakatan bersama PAS dan Bersatu. Sanggup memohon maaf walaupun wakil mereka lambat hadir mengadap Sultan. Mengekalkan prinsip perjuangannya dlm tindakan.

Tuduhan15: KHIANAT KEPUTUSAN MAJLIS TERTINGGI UMNO

Keputusan Majlis Tertinggi UMNO sudah banyak kali tiada kerjasama dengan Anwar dan DAP.

Jawapan:

Tuduhan yang tidak ada asasnya. Walaupun sudah dinafikan oleh Najib dan Lim Guan Eng tetapi tuduhan Annuar masih berkisar tentang perkara yang sama.

Tuduhan 16: KHIANAT PERJUANGAN MELAYU DENGAN SOKONG ANWAR & DAP.

(Annuar Musa mendedahkan terdapat sokongan hitam putih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai BN).

Jawapan:

Sekiranya benar dakwaan dakwaan tersebut, ianya hanya bersifat strategi politik. Politik dan peperangan mempunyai beberapa persamaan.

Untuk memenangi sesuatu peperangan, kita dibolehkan menggunakan muslihat tanpa mengabaikan prinsip asas perjuangan.

Masalahnya bila ada anggota pasukan yang mendedahkan rahsia taktik peperangan kepada pihak musuh.

Tuduhan 17: PERCUBAAN & PERUNDINGAN MEMBABITKAN DAP YANG DIISTILAHKAN PEMBENTUKAN JAJARAN BARU POLITIK

Annuar berkata, selain itu, wujud percubaan dan perundingan Zahid Hamidi membabitkan DAP yang diistilahkan Pembentukan Jajaran Baru Politik.

Jawapan:

Kerajaan hanya mempunyai majoriti tipis dan rapuh. Keadaan politik ini tidak baik untuk pertumbuhan ekonomi negara. Sepatutnya kerajaan pimpinan Muhyiddin mencari jalan untuk menguatkan jumlah majoriti tersebut.

Muhyiddin boleh berunding dengan Mahathir dan Shafie Apdal untuk membuat jajaran politik baru demi kestabilan politik negara, tetapi hal ini tidak berlaku.

Sesuatu mestilah dilakukan sekiranya pembubaran parlimen dan pilihannya tidak boleh dilakukan dalam masa terdekat.

18.0 : KHIANAT RAKYAT MALAYSIA

Ketika rakyat sedang susah dan negara sedang berdepan dengan Covid -19. Front Liner kita juga risikokan nyawa mereka untuk berperang dengan virus ini. Zahid Hamidi bersama dengan Najib cuba berunding dengan DAP dan Anwar untuk gagalkan budget 2021. Percubaan ini juga sah tidak menghormati amanat Agong supaya budget tidak dipolitikkan.

Jawapan:

Belanjawan 2021 telahpun diluluskan dengan sokongan Zahid dan Najib. Sokongan itu dengan syarat kebajikan rakyat dipelihara iaitu pengeluaran wang KWSP sebanyak RM 10 ribu dan moratorium 6 bulan.

Pada rundingan pra kelulusan bajet, kerajaan bersetuju syarat tersebut namun memungkiri setelah mendapat sokongan kelulusan.

19.0 : KHIANAT KESELAMATAN , KESIHATAN , NYAWA RAKYAT & NEGARA MALAYSIA

Semasa negara sedang berhadpaan dengan angka lebih daripada 2000 Covid setiap hari dan dijangka akan mencecah 5000 sehari Zahid Hamidi pula membuat gerakan hendak membuat PR 15 pada masa ini. Adakah demi menyelamatkan diri daripada kes mahkamah lebih penting daripada kesejahteraan rakyat dan negara.

Jawapan:

Politik negara tidak stabil dan rapuh disebabkan oleh majoriti tipis yang diperolehi kerajaan sekarang.

Kerajaan yang tidak stabil menyebabkan ekonomi juga tidak stabil. Tiada langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memulihkan ekonomi yang merundum, sebaliknya meneruskan dasar PH menjual aset negara dan menghentikan pembangunan.

Penangguhan HSR dengan denda yang dijangka hampir RM 800 juta amat merugikan. Disamping itu projek prasarana lain seperti Pan Borneo, CSR, LRT 2-3 dan MRT 2-3 begitu perlahan kemajuannya.

Sesuatu mestilah dilakukan untuk memulihkan ekonomi negara yang hampir nazak.

Tuduhan 20: BERKALI – KALI BONGKAK , ANGKUH DAN SOMBONG MEMBUAT KEPUTUSAN PERIBADI TANPA PERBINCANGAN DENGAN AHLI MAJLIS TERTINGGI UMNO , KOMPONEN PARTI LAIN DALAM BN , PAS DAN PELBAGAI PIHAK

Setiap tindakan peribadi yang bersifat ditaktor tanpa berunding , berbincang dan menghormati orang lain adalah satu sifat kepimpinan yang seharusnya ditolak oleh pelbagai pihak.

Jawapan:

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO paling kerap diadakan sejak Zahid menerajui kepimpinan parti.

Walaupun UMNO jadi pembangkang dan sebahagian kecil kerajaan PN, Ibu Pejabat UMNO sentiasa meriah dengan mesyuarat dan perjumpaan berbanding dahulu.

Zahid juga dilihat sentiasa mendengar pandangan akar umbi. Sebagai contohnya adalah usul dari Persidangan Bahagian baru baru ini.

Tuduhan 21: PUNCA PEPECAHAN UMNO

UMNO dibawah kepimpinan Zahid Hamidi tidak konsisten , sentiasa Flip-Flop dan tiada halu tuju. UMNO kini berpuak – puak dan memiliki pelbagai kelompok kerana Zahid sebagai Presiden yang seharusnya menjadi agen penyatuan pula menjadi agen pepecahan.

Jawapan:

Dalam sejarah UMNO sejak dari penubuhan telah mengalami beberapa siri perpecahan sehingga tertubuhnya parti parti serpihan. PAS, Semangat 46, PKR adalah parti yang ditubuhkan akibat perpecahan dalaman UMNO.

UMNO dibawah kepimpinan Zahid tidak menghadapi perpecahan yang teruk sebagaimana dahulu.

Tuduhan 22: PUNCA PEPECAHAN UMMAH , MELAYU & ISLAMIC

Kerjasama erat antara UMNO , PAS dan PPBM untuk menyatukan UMMAH , Melayu dan Islam pada mulanya sudah tercapai. Namun begitu , demi menyelamatkan diri Zahid berpolitik sehingga menyebabkan pepecahan yang kini begitu ketara.

Jawapan:

Terdapat laporan dari akar umbi UMNO bahawa terdapat percubaan agen PPBM untuk memancing ketua cawangan dan ahli-ahli UMNO menyertai parti itu. Mereka ditawarkan wang sehingga berjumlah RM 20 ribu. Hal ini sudah tentulah membimbangkan kerana perbuatan khianat rakan sekutu dalam gabungan.

Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana jika tiada tindakan, ianya akan melemahkan parti.

Tuduhan 23: KHIANAT PERIKATAN NASIONAL

(Zahid sendiri meminta supaya kuatkan Perikatan Nasional. Zahid sendiri keluar daripada Perikatan Nasional. Zahid sendiri kembali kepada Perikatan Nasional. Zahid sendiri pertimbang semula sokongan kepada Perikatan Nasional. Zahid sendiri meminta supaya gencatan politik terhadap Perikatan Nasional).

Jawapan:

Zahid bukan pemimpin diktator. Beliau sentiasa mendengar pandangan akar umbi UMNO. Oleh sebab itu Zahid disenangi oleh majoriti ahli UMNO, bukan seperti sesetengah pemimpin tertinggi UMNO yang sentiasa melawan arus.

Persidangan UMNO Bahagian yang berlangsung pada 1-3 Jan 2021 majoritinya membawa usul supaya UMNO memutuskan hubungan dengan PPBM. Selain itu akar umbi UMNO mahukan supaya PRU 15 diadakan dalam suku pertama tahun ini.

24.0 : UMUM GENCATAN POLITIK DEMI COVID 19 TETAPI KINI TIKAM DARI BELAKANG.

(Bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan).

Jawapan:

UMNO dibawah Zahid sentiasa memperjuangkan nasib rakyat. Walaupun tiada kuasa, beliau tetap memperjuangkan pengeluaran KWSP tanpa syarat dan moratorium 6 bulan yang gagal dipenuhi oleh kerajaan. Rakyat memang mengharapkan wang KWSP untuk menyelesaikan banyak masalah diwaktu yang mencabar ini.

Tuduhan 25: PEMBOHONGAN ISU TPM

Zahid sendiri yang kata tidak mahu jawatan TPM dan sebarang lantikan.

Jawapan:

Walaupun tidak mengharapkan jawatan TPM, sekurang-kurangnya pelawalah, kerana UMNO merupakan parti terbesar yang menyokong parti kecil untuk jawatan PM.

Sehingga sekarang tiada perlantikan TPM dari pemimpin UMNO. Perlantikan menteri dikalangan pemimpin UMNO pula tidak mengikut hierarki parti. Pemimpin UMNO pula tidak diberikan jawatan penting seperti Kewangan dan ekonomi.

26.0 : RESTU ANWAR JADI PM

(Zahid dakwa sokongan kepada kerajaan PN merupakan sokongan dari Ahli-Ahli Parlimen sahaja).

Jawapan:

Perlantikan Muhyiddin sebagai PM adalah hanya sokongan ahli ahli parlimen UMNO tanpa parti membuat keputusan.

Tuduhan merestui Anwar menjadi PM adalah perkara yang kurang tepat. Sebetulnya Annuar Musa yang merestui Anwar Ibrahim sebagai PM. Jika dilihat dari posting Facebook Annuar Musa pada 12 Ogos 2018 sebaik Anwar memenangi PRK PD, Annuar Musa telah memuji Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang berkarisma. Jangan pandang remeh kelicikan Mahathir kerana dikhuatiri akan diperdaya sekali lagi.

27.0 : BN TUKAR 4 SETIAUSAHA DALAM 2 TAHUN SEMASA ZAHID JADI PRESIDEN UMNO

Jawapan:

Berapa banyak kali pun pertukaran SUA tidak jadi masalah kerana itu prerogatif Pengerusi/Presiden.

Pertukaran dan penggantian SUA sebelum ini tidak menjadi isu. Tiada sidang media selepas penggantian SUA kecuali Annuar Musa.

28.0 : KEGAGALAN UMNO MENJADI KETUA MENTERI SABAH DISEBABKAN ZAHID SENDIRI TIDAK MAHU MENAMAKAN CALON KM SABAH

ISU KETUA MENTERI UMNO DI SABAH

Zahid sendiri yang tidak mahu menamakan Ketua Menteri Sabah.

Jawapan:

Itulah yang dinamakan kuasa autonomi. Biarlah UMNO Sabah membuat keputusan tanpa gangguan. UMNO pusat hanya membantu dalam hal hal lain. Malang bagi UMNO Sabah kerana ada talibarut parti Bersatu yang terlibat dalam kempen tersebut.

29.0 : KEPIMPINAN YANG SENANTIASA FLIP-FLOP DAN TIDAK KONSISTEN.

Jawapan:

Politik adalah sesuatu yang anjal (flexible) dan bukanlah rigid. Ianya juga merupakan seni segala kemungkinan. Tiada musuh dan kawan yang kekal dalam berpolitik. Namun segala keputusan seharusnya tanpa meninggalkan prinsip dan tradisi parti. Disamping mengekalkan prinsip dan tradisi, UMNO semestinya menuju kearah yang lebih progresif.

30.0 : PERCUBAAN BERKALI – KALI MENGGUGAT KESTABILAN POLITIK & EKONOMI NEGARA

Jawapan:

Politik dan ekonomi negara memang tidak stabil. Ketika baru membentuk kerajaan PN, sokongan pertukaran Speaker hanya mendapat 113 undi. Ketika pembentangan bajet tambahan menangani covid, sokongan hanya 112 undi. Kelulusan bajet 2021 hanya mendapat 111 undi. Politik yang tidak stabil menghilangkan keyakinan pelaburan antarabangsa. Banyak pelabur telah memindahkan pejabat operasi mereka keluar dari Malaysia. Yang terbaru adalah Hyundai memindahkan Ibu Pejabat Asia Tenggara mereka ke Indonesia. Hal ini disebabkan oleh negara tersebut menyediakan prasarana yang lebih baik berbanding negara kita.

KESIMPULAN

UMNO sebuah parti yang mengamalkan kebebasan bersuara. Namun begitu tidak perlu untuk menyerang sesama sendiri. Raikan perbezaan pendapat dengan harmoni kerana parti punyai banyak saluran untuk menyatakan pendapat masing-masing.

Jangan perlekeh suara akar umbi UMNO kerana UMNO masih berpengaruh pun disebabkan akar umbi.

Pemimpin dan ahli-ahli UMNO diingatkan supaya bersatu dalam keadaan sukar seperti sekarang.

Pejuang Kebenaran

Kuala Lumpur

10/1/2021.