LANGKAH SHERATON: DI ANTARA RAHMAH DAN MUSIBAH



Penyokong malah rakan rakan dalam PH ada yang marah, kesal dan kecewa kerana hasrat Anwar menjadi PM belum berjaya. 


Pelbagai tuduhan, kritikan dan tidak kurang juga kutukan dilemparkan kepada Anwar. Sementara yang memusuhinya menuduh Anwar gila kuasa, tidak sabar dan bermacam kata nista diluahkan.


Hadi Awang yang dulu berdakapan dengan Lim Kit Siang, bersanding dengan pakaian sedondon bersama Najib, bersumpah mempertahankan  Mahathir hingga habis penggal dan kini tidur sebantal dengan Muhyiddin, tiba tiba mengigau pasal Anwar. 


Katanya Anwar berada di kapal yang hampir tenggelam. Soal negara yang hampir tenggelam tidak pula beliau pedulikan. Apakah kapal yang Hadi tumpang tidak akan tenggelam? Jangan cepat mengumpat orang lain kalau kapal sendiri bocor di sana sini. 


Mahathir memang kita semua sudah maklum, doa dan zikirnya siang malam agar Anwar tidak jadi PM. Tidak cukup dengan memecahbelahkan KEADILAN, kini beliau menabur umpan kepada MP Amanah dan DAP untuk memecahbelahkan PH pula. Ini memang perangai Mahathir jadi tidak ada yang pelik. 


Tidak mengapa, kita biarkan Hadi dan Mahathir terus  melayani dendam kesumat mereka. Rakyat tahu kerana kedua dua mereka adalah punca  perpecahan umat Melayu, perpecahan Pas dan Umno. Pandang ke belakang, lihat sejarah mereka. 


Kedua-dua mereka memiliki sifat kediktatoran yang sama sebagai Presiden parti. Kedua duanya berasa mereka saja yang pandai, yang betul dan orang lain semuanya jahil, tolol dan bodoh. 


Biarkan kedua-dua mereka terus gelisah kerana  Anwar tetap menyepi  walaupun beliau memiliki banyak peluru untuk membalas serangan. 


Rakyat tentu faham prinsip perjuangan Anwar. Dendam dan menyerang balas bukan sikapnya, kecuali di musim pilihanraya. 

Beliau diajar jangan memusuhi sesiapa - "walatastawil hasanatu walassaiyiah"...tidak sama mereka yang melakukan kebaikan dan kejahatan. 


Sebenarnya Hadi Awang sudah boleh dipenjarakan 35 tahun dulu kerana amanatnya mengkafirkan Umno, mengharamkan solat berimam orang Umno, mengharamkan sembelihan dan berkahwin denga orang Umno. Keluarga berpecah, penduduk kampung bermusuhan dan kemuncaknya ialah Tragedi Memali. Generasi muda perlu baca kembali sejarah perjuangan Hadi.


Mahathir ketika ditanya kenapakah tidak menghantar Hadi ke Kemunting, jawapannya cukup mudah..saya perlukan Hadi untuk mengimbangi tuntutan kaum Cina. 


Bagi Mahathir, kamu boleh buat apa saja dosa dan kesalahan, selagi kamu bermanfaat untukku, undang undang tidak terpakai. Inilah yang berlaku sepanjang pemerintahan Mahathir dan inilah juga punca sebenar kejatuhan Umno. 

Kata Plato “ Justice is useless when situation is useful and justice is useful when situation is useless”. 


Anwar tidak memanfaatkan Mahathir kerana ketegasannya menentang rasuah dan kronisma, justeru undang undang perlu digunakan untuk menghalalkan fitnah. Inilah episod sedih dan malang yang menimpa negara ini. 


Apapun sesuatu kejadian itu pastinya ada sebab musabab dan hikmahnya. Sebab musabab jatuhnya kerajaan PH semua sudah maklum, tetapi 

apakah hikmah bagi Anwar disebalik Langkah Sheraton? 


Hikmahnya banyak, pertama terpancut semua pembelot, penipu dan pencuri dalam KEADILAN. Keduanya,  watak sebenar Muhyiddin yang pura pura menyokong Anwar kini terbukti benar. Ketiga, rakyat boleh melihat siapakah wakil rakyat mereka yang benar benar berjuang untuk rakyat atau untuk perut sendiri. 


Apapun yang paling penting untuk rakyat sedari ialah Allah sebenarnya telah menyelamatkan Anwar daripada menjadi PM ketika diturunkan bala COVID-19 di seluruh dunia.


Selepas Langkah Sheraton, angka jangkitan dan kematian akibat wabak Covid 19 berlipat ganda. Walaupun dalam Perikatan Nasional ada Tuan Guru, Ulama dan Lebai sementara Perdana Menteri pula turut berdoa , namun ujian Allah belum mampu ditangani dengan cekap sehingga terpaksa diisytihar pula darurat. Selepas musibah Covid 19 negara ditimpa pula musibah darurat.


Apakah ini bukan satu musibah yang perlu dilalui oleh PM dan kerajaan PN? Tanyalah Hadi Awang, Muhyiddin dan semua menteri kerajaan PN apakah mereka seronok melihat angka kematian semakin meningkat, ekonomi terus merudum dan rakyat miskin menjadi papa? 

Apakah mereka seronok menerima gaji dan elaun atau dalam istilah kasar “makan gaji buta” kerana banyak berehat daripada bekerja? 


Amanah ini cukup berat terutama buat tuan guru dan Lebai yang lebih banyak bercakap hal orang lain daripada memikul amanah yang diberi. 

Untuk apa berjawatan PM dan Menteri kalau sekadar berkurung di rumah? PM hingga hari ini tidak berani berdepan dengan media massa.


Elaun perjalanan dan keraian tidak boleh dituntut, lawatan ke luar negara tidak boleh dilakukan dan jet eksekutif PM tidak ada apa apa faedah. Malah melawat kawasan sendiri pun susah. 


Seronokkah jadi kerajaan bila setiap hari membilang kerusi berapa yang berbaki? 


Tentu sekali tidak ada apa apa yang hendak dibanggakan. Barangkali kerana bosan tidak banyak kerja yang hendak dibuat, pegawai kerajaan dibiarkan menyebar video meraikan hari jadi pak Menteri. Suatu peristiwa yang amat memalukan ketika rakyat sedang berhempas pulas untuk mencari sepinggan nasi. 


Barangkali juga pegawai Kementerian Pertanian ingin memberitahu rakyat yang Menteri mereka pun tak banyak kerja. 


Dalam tempoh hampir setahun Kerajaan PN memerintah bermacam dugaan terpaksa dihadapi. Banjir di sana sini, tanah runtuh dan jalan terputus berselang seli sementara pelabur pula semakin hari semakin ramai yang lari. Bukankah ini musibah untuk Kerajaan PN? 


Sesiapa yang menyangka Anwar kemaruk untuk menjadi Perdana Menteri sepatutnya menilai kembali susuk pejuang ini.


Beliau tetap tabah, sabar dan bertenang kerana yang difikirkan bukalah jawatan atau kontrak tetapi agenda bangsa dan negaranya.


Beliau lebih tekun memikirkan sebuah negara impian yang rakyatnya bersatu padu membina negara bangsa yang seutuhnya. 


Beliau mahukan sebuah kerajaan yang kukuh dan bersih daripada sebarang kefasadan. Tentulah ini bukan perkara yang mudah kerana politik Malaysia yang diadun oleh sentimen pekauman dan agama memerlukan kekuatan baru, penjajaran baru dan kerangka penyatuan yang baru. 


Sama samalah kita berdoa dan berikhtiar semoga Allah memelihara kesihatan, semangat dan keimanan Anwar untuk meneruskan perjuangannya. 


Mengakhiri coretan ini, cuba bayangkan apa yang akan terjadi seandainya tidak ada tokoh pejuang seperti Anwar Ibrahim dipersada politik negara hari ini?


WFAUZDIN NS