Kerajaan Perikatan Nasional (PN) didesak mendedahkan segera strategi memerangi wabak Covid 19 yang semakin parah melanda negara.
Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jangkaan oleh Kementerian Kesihatan yang meramal Malaysia akan berhadapan dengan kemungkinan 8000 kes sehari adalah sangat membimbangkan
Kerajaan PN juga, menurut Anwar, perlu mengariskan dengan jelas pelan ransangan ekonomi di tengah-tengah spekulasi akan mengetatkan lagi pergerakan rakyat yang mungkin menjejaskan urusan harian dan perniagaan.
“Kerajaan harus segera mendedahkan apa rencana mereka dan juga strategi bagi membendung penularan wabak ini, tatkala sistem kesihatan sudah semakin tenat, serta rancangan bagaimanakah ekonomi kita harus terus bergerak,” katanya Anwar dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar turut mendoakan menteri kabinet Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Rina Mohd Harun yang disahkan positif Covid 19 agar segera sembuh.
Presiden KEADILAN itu juga menggesa kerajaan berusaha untuk meningkatkan disiplin rakyat dalam mematuhi SOP bagi memutuskan rantaian Covid secepat mungkin.
“Adalah sangat penting bagi kita memainkan peranan tanpa mengira kedudukan, ras, agama atau parti politik. Apa yang utama adalah para pemimpin politik mesti tingkatkan disiplin dan keprihatinan kepada rakyat yang tidak menerima sebarang layanan istimewa ketimbang mereka yang berada di dalam kerajaan.
“Selain itu, saya juga mengulangi penghargaan kepada para petugas barisan hadapan yang komited menjalankan tugas meski terus terdedah kepada wabak ini. Pengorbanan mereka kepada negara dan rakyat tidak kecil nilainya, dan wajar disanjungi,” kata Anwar lagi.
Wabak Covid dan bencana alam luar biasa yang melanda negara dan tidak ditangani dengan baik sejak seminggu ini menguatkan gesaan dari rakyat agar PM Muhyiddin meletak jawatan. Apatah lagi dengan hilangnya majoriti kerajaan PN di Parlimen selepas 2 Ahli Parlimen parti itu menarik balik sokongan.