Bekas ahli parlimen Johor Baru, Shahrir Samad menyifatkan tuntutan saman yang dibawa oleh 10 pengundi Gombak terhadap ahli parlimen mereka, Azmin Ali, sebagai jalan menentang “kedurjanaan politik”.
Dalam kenyataan di Facebook, veteran Umno itu mengatakan bahawa walaupun kerajaan di bawah teraju Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dianggotai ramai “katak politik”, ia masih sah dari sisi perlembagaan.
“Oleh itu, saman sekumpulan sepuluh pengundi Gombak – ‘Gombak Ten’ – menuntut ganti rugi di atas kegagalan kewajipan fidisuari (fidicuary duty) dan penipuan (deceit) Azmin ialah satu tindak balas pengundi terhadap wakil rakyatnya.
“Negara kita tidak ada ‘recall system’ yang membolehkan pengundi membuat petisyen supaya diadakan pilihan raya semula apabila berlakunya satu ‘kedurjanaan’ politik seperti meninggalkan parti asalnya,” katanya.
Kata Shahrir, kes berkenaan juga menarik untuk diperhatikan bagi melihat sama ada mahkamah mampu membicarakan kes sivil itu sebagai sumbangan ke arah kematangan politik negara.
“Bagi saya, perlu adanya cara mengatasi kedurjanaan politik dengan mengiktirafkan bahawa seorang wakil rakyat juga ada kewajipan fidusiari dan tidak boleh menipu pengundi-pengundinya,” katanya.
Dalam kerjaya sebagai ahli parlimen, Shahrir memegang rekod sebagai ahli parlimen yang engosongkan kerusi parlimen Johor Baru pada tahun 1988 dan memenangkannya semula dalam pilihan raya kecil sebagai calon Bebas.
Shahrir bergabung kembali dengan Umno setahun kemudian selepas krisis perlembagaan Malaysia – yang tidak bertanding di tiga pilihan raya umum pada tahun 1990, 1995 dan 1999 – sebelum merebut kembali tiga penggal sehingga 2018.
Pada 2018, Shahrir tewas kepada Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir.
Diwakili oleh peguam Yohendra Nadarajan, 10 pengundi Gombak menuntut sembilan pengiktirafan mahkamah berhubung Azmin,, termasuk bagaimana bekas timbalan presiden PKR itu melanggar tugas fidusiari sebagai wakil rakyat.
Tugas fidusiari biasanya merujuk kepada hubungan antara pemegang amanah dan penerima manfaat (benefisiari).
Mereka berpendapat Azmin telah melanggar kepercayaan mereka dengan bekerjasama dengan BN dalam kudeta politik “Langkah Sheraton” tahun lalu untuk menjatuhkan Pakatan Harapan, walaupun telah berkempen dan memenangi kerusi Gombak dengan tiket PKR / Pakatan Harapan.
Azmin kini menjadi anggota Bersatu dan merupakan menteri perdagangan dan industri antarabangsa.
Sejak itu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad telah menawarkan diri untuk menjadi saksi dalam tuntutan kes sivil jika keterangannya diperlukan di mahkamah.
Azmin dilaporkan akan mengajukan permohonan untuk membatalkan saman itu, dengan alasan tidak mempunyai alasan tindakan yang wajar, atau menganggap saman itu bersifat skandal, menjengkelkan dan remeh.