Keluhan rakyat: Si rakyat biasa mereka akur dengan SOP tetapi menteri dan VIP tidak

 

Keluhan rakyat: Si rakyat biasa mereka akur dengan SOP tetapi menteri dan VIP tidak

Covid-19 terus mengganas. Ramai rakyat biasa bising-bising, marah-marah, kerana pak menteri, timbalan mereka serta golongan yang seistimewa dengan mereka bebas bergerak ke sana ke sini ketika PKB dan macam-macam PKP lagi berkuatkuasa.

Bukan sekadar bergerak bebas tetapi bergerak bebas tanpa mematuhi SOP.

Berkata rakyat biasa, kalaulah kami si rakyat biasa yang buat apa yang pak menteri dan rakan-rakan buat, tentunya kami ditangkap, didenda, dan sebagainya.

Berkata lagi si rakyat biasa mereka akur dengan SOP tetapi menteri dan VIP tidak – walaupun SOP itu jemaah menteri yang gubal.

Sebenarnya kemarahan ini bukan baru. Pernah timbul dulu tetapi reda.

Kini timbul semula dengan tersebar luasnya berita ada menteri jalan-jalan, gotong-royong, makan-makan. Dengan bebas. Pelitup muka dipakai tapi penjarakan fizikal terabai.

Golongan menteri yang ditegur tentunya terkilan dibidas sedemikian kerana apa yang dilakukan bukan untuk “enjoy-enjoy”, jalan-jalan suka-suka, makan angin.

Yang dilakukan ialah menjalankan tugas dan memikul tanggungjawab membantu rakyat yang perlu dibantu. Mendapat izin pihak berkuasa walaupun mereka sendiri sebahagian pihak yang berkuasa.

Bukan senang buat itu semua. Kena “travel” berkilometer jauhnya ke kampung-kampung pendalaman. Kena tolong bersihkan rumah yang dilanda banjir. Kena makan lauk sempoi, bukan menu hotel lima bintang.

Sabar. Jangan lah pak menteri & co marah, berkecil hati dan merintih kalbu.

Rakyat biasa sekadar meluah perasaan. Sebenarnya mereka sayangkan kamu. Mereka bimbang pak menteri dan rakan-rakan dijangkiti Covid-19 bila bergerak bebas dengan tidak mengikuti SOP yang ditetapkan.

Rakyat biasa pula janganlah bimbang. Kerana pak menteri dan tim tahu apa yang mereka lakukan.

Jika tidak, masakan mereka berani merentas negeri dan daerah, ke hulu ke hilir berjumpa orang itu orang ini dan sedikit sebanyak mengabaikan SOP. Itu pun kadang-kala.

Akan tetapi ada juga menteri dan timbalan dijangkiti. Didapati positif. Namun rasanya mereka yakin akan pulih secepat mungkin. Memang ada yang dijangkiti sudah pun pulih. Alhamdulillah.

Yang tidak dijangkiti semuanya “business as usual”. Semuanya dilakukan demi rakyat dan negara tercinta.

Oleh itu kita dihidangkan dengan berita ada menteri dan rakan-rakan, duduk dekat-dekat antara satu sama lain masa bermesyuarat, masa makan-makan , masa borak-borak. Kadang-kala penjarakan dijaga, pelitup muka dipakai. Kadang-kadang tidak.

Terlupalah tu. Sebagai manusia lupa tidak dapat dielakkan.

Oleh itu rakyat biasa yang sayang pak pak menteri janganlah bimbang dengan pergerakan atau peri laku menteri. Pak menteri pula janganlah marah apabila rakyat marah. Mereka marah sebab sayang. –