Dedah segera dalang kartel daging, jangan biar rakyat berteka
teki
Dalang sebenar isu kartel daging perlu didedahkan dengan segera
kerana ia melibatkan kepentingan awam terutama umat Islam demikian menurut
peguam Syahredzan Johan.
Beliau berkata, setakat ini hanya berlaku pendakwaan terhadap
syarikat yang dikatakan terlibat dan beberapa siasatan dijalankan namun dalang
sebenar masih belum didedahkan kepada umum.
“Kerajaan perlu segera mendedahkan dalang di sebalik kartel
tersebut kerana ia melibatkan kepentingan awam terutamanya umat Islam di negara
ini.
“Kita sambut baik semua perkara ini, tetapi dalang kartel daging
ini masih belum didedahkan kepada umum,” katanya dipetik Roketkini.
Ekoran itu, katanya orang ramai terpaksa berteka-teki tentang
daging import mana yang terlibat sehinggakan ada yang mengambil inisiatif
sendiri dengan membuat ‘siasatan’ melalui media sosial.
“Perkara seperti ini tidak sihat, kerana ada kemungkinan bahawa
syarikat yang tidak terlibat pun terpalit sama,” katanya.
2 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan serbuan pihak berkuasa
di sebuah gudang di Senai, Johor yang menjadi lokasi modus operandi kartel
daging selama bertahun-tahun.
Difahamkan daging beku itu diseludup dari dari China, Ukraine,
Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan
logo halal.
Sejumlah 1,500 tan daging sejuk beku bernilai RM30 juta telah
disita dalam operasi yang diketuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal
Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu.
Berikutan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Johor pada 21 Disember lalu telah membuka satu kertas siasatan berhubung isu
penyeludupan daging import atau kartel daging import.
Senator, Liew Chin Tong sebelum ini menegaskan isu kartel daging
boleh menjejaskan reputasi negara sekiranya tidak disiasat sepenuhnya.
Beliau turut menyokong sepenuhnya cadangan penubuhan Suruhanjaya
Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu tersebut.
Mengulas lanjut, Syahredzan yang juga Setiausaha Politik kepada
Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata kerajaan perlu segera memaklumkan langkah
yang akan diambil bagi memastikan isu kartel daging tidak berulang.
“Jelas bahawa terdapat kepincangan dalam proses ini yang
membolehkan ia dieksploitasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Suatu semakan semula yang menyeluruh dan ‘overhaul’ harus
dijalankan untuk menjamin perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya.