Sehingga ini belum ada kepastian lagi sama ada Perhimpunan Agung UMNO atau PAU pada 31 Januari depan ditangguhkan atau diteruskan.
Sementara PKP 2.0 yang dilaksanakan di enam negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sekarang akan berakhir pada 26 Januari, perintah darurat pula berkuatkuasa sehingga 1 Ogos.
Dalam hal ini, jika PKP dilanjutkan lagi selepas 26 Januari nanti, ada kemungkinan PAU akan ditangguhkan ke suatu tarikh yang lain.
Kalau PKP tidak dilanjutkan, barangkali tiada masalah untuk PAU diteruskan seperti dijadualkan kerana darurat difahamkan tidak menghalang perhimpunan itu daripada diadakan.
Yang dikuatkuasakan dalam darurat ini hanyalah penggantungan Parlimen dan tiada pilihanraya dibenarkan.
Sebagaimana bukan lagi rahsia, PAU tahun ini adalah detik penting di mana ia sepatutnya menjadi medan memuktamadkan putusnya hubungan UMNO dengan Bersatu dalam PRU akan datang.
Bersekali dengan keinginan UMNO mendesak agar PRU disegerakan, PAU tahun ini juga dipercayai akan menyetujui tindakan susulan agar semua Ahli Parlimen UMNO keluar dan meletak jawatan daripada kerajaan.
Tetapi, oleh kerana cubaan UMNO itu telah dikekang oleh Muhyiddin Yassin dengan mencadangkan kepada Yang Dipertuan Agong agar darurat dikuatkuasakan dengan alasan untuk menangani Covid19, selain PKP diperintahkan, segala-galanya kini jadi tidak ketahuan.
Apa lagi dalam tempoh darurat yang dikuatkuasakan sekarang ini, di samping Parlimen digantung, apa-apa pilihanraya juga tidak dibenar diadakan.
Ini bermakna, jika pun PAU akan diadakan dan keputusan menamatkan hubungan dengan Bersatu serta tindakan keluar kerajaan diambil, UMNO perlu menunggu sehingga selepas 1 Ogos untuk berdepan PRU15.
Keadaan itu mungkin mencetuskan perbalahan di kalangan Ahli Parlimen UMNO yang memegang jawatan dalam kerajaan kerana mungkin ada di antara mereka tentunya terasa sayang untuk melepaskan jawatan menteri dan timbalan menteri sehingga menunggu PRU diadakan selepas 1 Ogos nanti.
Lalu, apa yang sepatutnya UMNO lakukan?
Sebenarnya, kali inilah akan menguji ketegasan dan keteguhan pendirian UMNO susulan 189 daripada 191 UMNO bahagian-bahagian seluruh negara sudah pun meluluskan usul memutuskan hubungan dengan Bersatu.
Tambahan lagi, dalam kenyataannya kepada media baru-baru ini, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sendiri memberitahu, mesyuarat MT UMNO pada 6 Januari lalu telah bersetuju dengan usul untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu bagi menghadapi PRU15 akan datang.
Bagaimanapun, tambah beliau, keputusan muktamad atau keabsahan berhubung usul berkenaan perlu dimuktamadkan pada Perhimpunan Agung UMNO 31 Januari depan.
Oleh kerana sekarang keadaan tidak menentu sama ada PAU dapat diadakan atau tidak, UMNO seharusnya kekal dengan pendirian menjadikan 31 Januari sebagai tarikh putusnya hubungan parti itu dengan Bersatu.
Tidak kira baik melalui PAU atau sidang media secara terbuka, UMNO tidak harus berganjak lagi dengan pendiriannya yang mahu menjatuhkan Muhyiddin yang sudah pun diketahui di seluruh dunia itu.
Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan seluruh MT UMNO serta Najib Razak sebagai Pengerusi BNBBC, mesti tampil pada 31 Januari nanti dengan pengumuman rasmi mengumumkan putusnya hubungan parti itu dengan Bersatu, menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan seterusnya keluar daripada kerajaan.
Meski dalam keadaan darurat, penarikan sokongan dan keluar daripada kerajaan secara rasmi itu akan membuatkan Muhyiddin secara rasmi juga hilang sokongan dan PN jatuh sebagai kerajaan.
Tindakan Tengku Razaleigh Hamzah mengumumkan tidak menyokong Muhyiddin, disusuli Ahmad Jazlan Yaakob dan Nazri Aziz menarik sokongan baru-baru ini sebenarnya belum secara rasmi menjatuhkan kerajaan PN, walaupun dari segi matematik dan moral, Perdana Menteri telah hilang sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.
Selepas secara rasmi Muhyiddin tiada lagi sokongan, kebijaksanaan Agong adalah diharapkan selepas itu untuk melantik Perdana Menteri dan kerajaan baru bagi menguruskan negara.
Ketika darurat, sementara Parlimen digantung dan PRU tidak boleh diadakan, Istana Negara tentu saja tidak ditutup untuk Agong menasihati Muhyiddin yang sudah hilang majoriti agar meletak jawatan dan kemudian melantik pemimpin lain yang baginda yakini memiliki sokongan majoriti sebagai pengganti baru Perdana Menteri.
Hanya dengan segera meninggalkan kerajaan dapat mengelakkan UMNO daripada terus dilumpuh dan akhirnya dimatikan oleh Bersatu.
(Shahbudindotcom 16/01/2021)