Semua kita memang sayang dan cintakan negara ini kerana di Malaysia inilah kita dilahirkan, membesar, mencari rezeki, berkeluarga membina kehidupan, melalui hari tua dan akhirnya sehinggalah menemui kematian.
Malah, melalui sedikit sebanyak harta atau warisan yang ditinggalkan, kita juga mahu anak cucu dan generasi kita yang seterusnya kekal berada dan menyayangi negara ini.
Tetapi, selari dengan rasa sayang dan cinta kita kepada negara itu, kita tentulah mahukan keadaannya bertambah baik untuk didiami bagi pewaris kita yang seterusnya.
Kita tentu akan berasa sengsara, kecewa dan tertekan melalui kehidupan ini jika kita merasakan negara ini akan bertambah buruk dan tiada jaminan untuk dilalui oleh anak cucu setelah ketiadaan kita nanti.
Lainlah bagi mereka yang bergantang duit simpanan, rumah, harta dan saham bersepah di seluruh negara sebagai peninggalan atau ada bapa mertua yang pemurah memberi projek ketika berkuasa, rasa cemas terhadap nasib anak cucu barangkali tidaklah terlalu mencengkam.
Namun, kategori kayangan yang bernasib baik itu terlalu sedikit bilangannya, manakala rakyat lain secara majoritinya hanyalah biasa-biasa saja laluan hidupnya di mana mereka masih perlu mencari kerja atau menjalankan perniagaan sebagai sumber meneruskan kehidupan.
Soalnya, adakah negara kita dalam keadaan baik, boleh dibawa ke arah lebih baik atau bertambah buruk di bawah kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin sekarang?
Asas kepada terbentuknya kerajaan secara umumnya ialah apabila sesebuah parti itu menang pilihanraya yang memberi makna ia disokong oleh majoriti rakyat.
Kerajaan yang sah, dari segi undang-undang dan moral, adalah kerajaan yang diredhai rakyat.
Muhyiddin dan kerajaan PN yang ada hari ini tiada semua keredhaan itu kerana beliau menjadi Perdana Menteri adalah melalui komplot pintu belakang serta pengkhianatan yang terancang.
Tak sedar dek untung kerana menang atas tiket PH yang menggunakan logo PKR, Muhyiddin bersama beberapa pengkhianat lain sebaliknya menikam PH untuk mengejar kepentingan peribadinya.
Beliau bukan disokong untuk menjadi Perdana Menteri atas keyakinan terhadap kewibawaan serta kepimpinannya, tetapi beberapa kelompok yang menyokongnya sejak awal lagi adalah berdasarkan pelbagai kepentingan yang berbeza.
Lebih buruk, selain sejak mula majoriti yang dimilikinya amat diragui dan beliau sendiri takut untuk membuktikan keabsahannya di Parlimen, kemudian melonggokkan rasuah jawatan untuk mengukuhkan kedudukan, setelah kedudukannya kian terancam pula beliau telah mengusulkan nasihat kepada Yang Dipertuan Agong agar darurat dikuatkuasakan.
Dengan itu rasa tidak puas hati rakyat yang bermula dengan tidak merestui kerajaan PN ini tambah membuak-buak serta membesar hari demi hati.
Berlapikkan alasan Covid19 untuk melindungi kedudukannya, termasuk dengan mencadangkan darurat, fokus kerajaan untuk menangani wabak akhirnya jadi tidak menentu dan berubah-ubah setiap minggu.
Ini kerana kerajaan pimpinan Muhyiddin tiada fokus untuk menjaga rakyat, sebaliknya keutamaan lebih kepada menjaga kedudukan daripada dijatuhkan semata-mata.
Antara nasib rakyat yang kelaparan, tiada wang dan tiada pekerjaan, Muhyiddin jauh lebih sayang kerusi Perdana Menteri yang didudukinya daripada mereka itu.
Lantaran itulah kelulusan dewan yang tidak perlu di Pagoh boleh diluluskan dengan cepat, manakala untuk memberi vaksin demi keselamatan rakyat; dengan Myanmar, Nepal dan Bangladesh pun kita ketinggalan berbanding mereka.
Ketiga-tiga negara yang dikata mundur itu sudah pun mula memberi vaksin bagi rakyatnya, tetapi kita hanya hujung Februari baru bermula.
Hari demi hari seterusnya, dengan kes Covid19 terus meningkat walau ada PKP dan darurat, ekonomi kian melemah, pelaburan menurun 68 peratus, indeks rasuah jatuh kerana rasuah politik terhadap Ahli-Ahli Parlimen untuk mengekalkan kedudukan dan pengguguran beberapa kes berprofil tinggi begitu berleluasa, rakyat kian mengeluh dengan pelbagai kesempitan, selain kedudukan minoriti kerajaan terus dipertikaikan, Muhyiddin pada hakikatnya adalah Perdana Menteri paling gagal dalam sejarah negara ini.
Tidak sampai setahun berkuasa, bukan saja neraka kehidupan makin terasa, bahkan sebenarnya tiada jaminan negara ini akan bertambah baik jika beliau tidak segera diturunkan.
Desakan agar beliau meletak jawatan dengan mudah boleh kita dengari di mana saja setiap saat, setiap hari tanpa henti.
Kepada rakyat yang cinta dan sayangkan negara ini, yang ada anak cucu untuk kehidupan yang harus dilalui, penolakan ternadap Muhyiddin ini bukan saja harus diteruskan, malah wajib dipertingkatkan sentiasa dan sepanjang masa.
Sama ada melalui penolakan itu Muhyiddin akan berundur atau tidak, sekurang-kurangnya apabila PRU tiba nanti, ia mampu menjadi gelombang untuk menghempas beliau dan semua yang bersekongkol dengannya daripada terus mentadbir negara ini.
PN yang berjaya membentuk kerajaan melalui pengkhianatan, kemudian diteruskan dengan kegagalannya mengurus negara ini dengan baik seperti yang ada hari ini adalah suatu pengkhiantan juga kepada anak cucu kita yang mewarisi kehidupan seterusnya.
Kita akan berdosa kepada anak cucu kita jika tidak menolak kerajan ini, lalu memberikan mereka sebuah negara yang buruk dan teruk untuk kehidupan mereka. (Shahbudindotcom 30/01/2021)