Gempar! Zahid bakal disingkir kumpulan pro Bersatu dalam Umno?

 


Gempar! Zahid bakal disingkir kumpulan pro Bersatu dalam Umno?

Beberapa tokoh besar dalam Umno cuba menarik anggota Majlis Kerja Tertinggi parti itu supaya menyokong PPBM, parti yang pernah dianggap tidak penting dan ditentang oleh ahli akar umbinya.

Menurut seorang anggota Majlis Tertinggi Umno yang dihubungi FMT, “tokoh besar” terbabit juga merancang untuk mendapatkan sokongan penuh dalam kalangan pemimpin parti supaya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi “mengundur diri”.

“Kita tidak bercakap mengenai pemimpin PPBM, sebaliknya pemimpin Umno. Adakah mereka cuba memecahbelahkan Umno,” kata sumber dalaman itu yang enggan didedahkan.

“Kedua-dua pihak berunding dengan kami. Pihak yang mahu kami bersetuju untuk bekerjasama dengan PPBM dan pihak yang menentang,” katanya, tanpa mengulas lanjut.

Katanya, beliau bimbang lebih ramai rakannya akan menyokong PPBM sekiranya mereka membiarkan diri dipengaruhi oleh pemimpin itu.

Akar umbi Umno secara tegas menghantar mesej kepada kepimpinan parti bahawa mereka tidak berminat bekerjasama dengan PPBM.

143 bahagian parti itu memutuskan untuk menarik balik sokongan kepada PPBM dalam mesyuarat agung tahunan masing-masing baru-baru ini.

Umno mempunyai 192 bahagian, dengan 191 daripadanya telah bermesyuarat.

Seorang anggota Barisan Nasional (BN) memberitahu FMT bahawa perpecahan berlaku dalam kalangan pemimpin parti itu, bukan akar umbinya.

“Gerakan untuk meminta Zahid mengambil cuti semakin kuat kerana kes mahkamahnya berkaitan rasuah dijangka akan bermula selepas perintah kawalan pergerakan tamat.

“Ada yang bertanya-tanya apakah mereka perlu terus menyokongnya,” tambahnya.

Beliau berkata, sebahagian daripada mereka yang mahu Zahid bercuti adalah pemimpin Umno, termasuk dua yang tidak berjaya dalam pilihan raya umum 2018, tetapi masih memegang jawatan dalam parti.

Katanya, kedua-dua pemimpin itu sebelum ini menyokong bekas perdana menteri Najib Razak, tetapi beralih arah untuk bergabung dengan pemimpin Umno yang menyokong PPBM.

“Mereka berkata, jika kita menyokong Zahid, parti akan menjadi lemah kerana beliau mungkin didakwa dan apakah yang akan berlaku kepada parti?,” tambahnya.

Seorang lagi ahli Umno berkata, akar umbi masih menyokong Zahid dan Najib.

“Tidak ada salah faham dalam kalangan anggota Majlis Tertinggi dan pemimpin akar umbi mengenai siapakah yang harus mereka sokong kerana kebanyakan mereka menolak PPBM.

“Di bawah Umno, kita dijaga dengan baik. Adakah kita masih akan dijaga sekiranya menyertai PPBM ?,” katanya.

“Itu adalah kebimbangan kami. Tambahan pula, kebanyakan akar umbi juga setia kepada Umno,” kata ahli Umno itu kepada FMT, merujuk kepada banyak bahagian Umno yang menyokong Najib berbanding Zahid.

Ahli Umno itu berkata, banyak yang mahu disuarakannya, tetapi beliau memilih untuk berdiam diri kerana kerajaan kini mempunyai kuasa meluas di bawah Ordinan Darurat.