Sementara kita menjunjung kasih kepada Yang Dipertuan Agong atas perintah darurat yang diperkenankan baginda untuk dilaksanakan sejak semalam, harus juga difahami ia dikuatkuasakan setelah mendapat nasihat daripada Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.
Disebutkan bahawa nasihat darurat itu dberikan untuk menangani Covid19, tetapi dengan dua perlaksanaan utama berkaitan darurat itu iaitu menggantung Parlimen dan tiada PRU boleh diadakan sehingga sepanjang tempoh penguatkuasaan, alasan itu dengan sendirinya nampak mengelirukan.
Budak-budak sekolah tentu jadi keliru dan guru pula pasti tiada jawapan yang tepat dengan persoalan – apa kaitan Parlimen harus digantung untuk menangani Covid19?
Ia seterusnya memberi tafsiran umum bahawa darurat ini adalah bersifat politik semata-mata, bertujuan menghalang keabsahan Perdana Menteri ditentukan di Dewan Rakyar dan mengelak PRU diadakan dalam waktu terdekat ini.
Secara tidak langsung, darurat ini juga seakan untuk menidakkan perlantikan Perdana Menteri baru susulan sehingga kini sudah tiga Ahli Parlimen UMNO secara terbuka menarik sokongan, sekaligus menunjukkan Muhyiddin tiada lagi dokongan majoriti.
Untuk itu, apa yang harus UMNO lakukan sekarang berikutan perlaksnaan PKP dan darurat seakan telah mengekang sebarang tindakan untuk menjatuhkan Muhyiddin, sedangkan itulah keinginan sebenar UMNO?
Selain itu, bolehkah Perdana Menteri baru dilantik dalam tempoh darurat ini?
Mengimbas apa yang berlaku sebelum ini di mana Muhyiddin sendiri dilantik sebagai Perdana Menteri bukan melalui Parlimen, sebaliknya hanya melalui gerakan sambil makan-makan di Hotel Sheraton, ini menunjukkan ulangan yang sama boleh dilakukan.
Di Kedah pula, Mukhriz Mahathir turut dijatuhkan di luar DUN dan perlantikan Sanusi Mohd Noor sebagai penggantinya tidak dilakukan melalui DUN Negeri.
Untuk melantik Perdana Menteri atau ketua kerajaan negeri yang baru, ianya tidak memerlukan Parlimen dan DUN, tetapi persetujuan pihak Istana berdasarkan amalan Raja Berperlembagaan.
Dalam hal ini, terlanjur UMNO sudah ada ketetapan usul dan dipersetujui oleh MT untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu, perkara itu tidak perlu lagi dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO dimuktamadkan.
Dengan penguatkuasaan darurat yang tidak membenarkan Perhimpunan Agung UMNO 31 Januari depan daripada diadakan, kemudian terdapat tiga Ahli Parlimen UMNO – Tengku Razaleigh Hamzah, Ahmad Jazlan Yaakob dan Nazri Aziz yang setakat ini mengumumkan tidak lagi menyokong Muhyiddin, ia sebenarnya masih belum kuat untuk menolak jatuh Perdana Menteri, walupun secara matematiknya beliau sudah tiada sokongan dan mesti meletak jawatan.
Sekurang-kurangnya harus ada tiga atau empat lagi Ahli Parlimennya diperlukan untuk membuat pengumuman menarik sokongan terhadap Perdana Menteri jika UMNO benar-benar mahu menjatuhkan Muhyiddin.
Selepas itu, mesyuarat khas MT UMNO hendaklah diadakan bagi mengesahkan penarikan sokongan tersebut, disertai dengan ketetapan agar semua Ahli Parlimennya yang memegang jawatan dalam kerajaan meletakkan jawatan secara serta-merta.
Ahli Parlimen yang enggan mematuhi arahan MT, bermakna mereka melanggar arahan parti dan tergugur keahlian UMNO secara automatik.
Dengan cara ini, barulah dapat meyakinkan Yang Dipertuan Agong bahawa Muhyiddin benar-benar tiada lagi sokongan dan Istana Negera berkewajaran melantik Perdana Menteri baru untuk menggantikannya.
Sebagaimana Muhyiddin sendiri bukan saja tidak dilantik melalui Parlimen, malah tidak berani mengabsahkan kedudukannya melalui undi percaya atau undi tidak percaya di Dewan Rakyat, maka tiada larangan untuk Perdana Menteri baru daripada dilantik melalui luar Parlimen.
Yang penting Muhyiddin perlu ditunjukkan secara nyata kepada dunia bahawa beliau tiada lagi sokongan majoriti dan dengannya mungkin mendorong Agong memilih jalan kebijaksanaan merungkai kekusutan.
Darurat hanya menggantung Parlimen dan tidak membenarkan PRU diadakan, namun tidak bermakna perlantikan PM di Istana Negara termasuk dalam larangan, apa lagi setelah diketahui dunia Muhyiddin telah hilang sokongan.
UMNO, dalam hal ini tidak perlu berganjak lagi daripada niat dan ketetapan yang telah dipersetujui, dimuktamadkan dan disokong oleh ahli-ahli akar umbinya melalui usul menolak Bersatu yang diluluskan di bahagian-bahagian seluruh negara.
Oleh kerana menolak Bersatu dan menjatuhkan Muhyiddin tidak memungkinkan PRU diadakan, menyokong Perdana Menteri baru adalah satu-satunya pilihan yang ada.
Lagi pula, jika UMNO mahu terus hidup, pilihan yang wajar ialah mesti segera bertindak dan jangan duduk diam saja di sebalik darurat yang dikuatkuasakan sehingga 1 Ogos depan.
Ini adalah perjuangan hidup dan mati kerana dalam perutusan khas darurat oleh Muhyiddin, kata-katanya bahawa “mahkamah akan berjalan seperti biasa sepanjang tempoh darurat dan saya tidak campur urusan serta keputusan mahkamah”, seharusnya tidak sukar untuk difahami oleh UMNO.
Walaupun Muhyiddin mengatakan tidak akan campur dalam urusan dan keputusan mahkamah, tetapi dengan menyebut ayat tersebut dalam perutusannya yang jelas tiada kaitan dengan darurat atau Covid19, beliau bukan saja seperti cuba memberi amaran, khususnya kepada Zahid Hamidi dan Najib Razak, malah menunjukkan kecenderungan, keinginan dan niat untuk campurtangan dalam urusan mahkamah.
Kalau tidak, apa tujuan Muhyiddin menyebutnya?
(Shahbudindotcom 13/01/2021)