Covid-19: Graduan baharu berdepan peluang pekerjaan yang amat mencabar

 Covid-19: Graduan baharu berdepan peluang pekerjaan yang amat mencabar


Dengan pemulihan ekonomi yang perlahan, pakar percaya prospek pekerjaan akan menjadi sukar bagi graduan baharu.

Bagaimanapun, sekiranya graduan baharu menyesuaikan diri dengan trend semasa dalam permintaan pasaran, pakar percaya ia mungkin membuka jalan kepada peluang pekerjaan yang tidak konvensional.

Menyifatkan peralihan itu sebagai “mencabar”, Zulaikha Azmi, eksekutif penyelidikan di Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi, memberitahu FMT bahawa majikan kini cenderung ke arah kerja jarak jauh berasaskan kontrak dengan waktu kerja lebih fleksibel.

Walaupun laluan kerjaya tradisional yang stabil akan tetap ada, Zulaikha berkata, graduan baharu bersedia untuk menguasaikemahiran di luar kurikulum mereka.

“Trend seperti itu menuntut graduan baharu terus-menerus mengemas kini kemahiran mereka sendiri,” katanya.

Graduan baharu harus berfikir di luar kotak supaya tidak ketinggalan.”

Beliau berkata, graduan baharu mungkin tidak akan menempuh laluan kerjaya yang sama dengan senior mereka.

“Mungkin tidak akan ada lagi graduan yang hanya mempunyai ‘satu pekerjaan’,” katanya.

“Bekerja di luar bidang pilihan anda mungkin menjadi kebiasaan kini berbanding sebelum ini.”

Beliau juga berkata, kemasukan pekerjaan mungkin sukar bagi graduan baharu, sekali gus menggesa kerajaan supaya menimbangkan lebih banyak penyelesaian jangka panjang bagi membantu golongan itu memasuki pasaran pekerjaan.

“Sebagai contoh, kolaborasi dengan sektor swasta untuk memberi insentif dalam pengambilan graduan baharu baru mungkin akan membuahkan hasil.”

Beliau juga berkata, institusi pendidikan tinggi harus menyesuaikan diri dan berusaha melengkapkan graduan mereka dengan set kemahiran yang tepat untuk pasaran kerja baharu.

Lee Hwok-Aun.

Dalam pada itu, Lee Hwok-Aun, felo kanan di Institut ISEAS-Yusof Ishak, memberitahu FMT bahawa graduan baharu dengan kemahiran yang sesuai dengan mod e-dagang mungkin lebih berkemungkinan diambil bekerja.

Namun katanya, kecenderungan Malaysia untuk menghasilkan pekerjaan berkemahiran rendah, rutin, dan bergaji rendah mungkin berterusan.

“Ini melihat kepada kekosongan jawatan yang diiklankan di MyFutureJobs,” katanya.

“Daripada 267,000 peluang pekerjaan, pekerja kilang merangkumi kategori terbesar iaitu sebanyak 13% daripada jumlah keseluruhan.

“Tiga pekerjaan terbesar berikut, iaitu pembantu jualan, pembantu kilang, dan pengawal keselamatan – merangkumi 12% daripada semua kekosongan.”

Ketika ditanya keadaan itu jika dibandingkan dengan kemelesetan 2008, beliau berkata, bahawa penyebabnya berbeza sama sekali.

“Pemulihan ekonomi kali ini bergantung pada kawalan pandemik, pengeluaran vaksin dan pemulihan ekonomi,” katanya.

“Tetapi pemulihan mungkin besar kerana tidak berlaku krisis kewangan atau gangguan perbekalan yang besar.”

Katanya, cabaran utama yang menghimpit pasaran mungkin mengambil bentuk keselamatan pekerjaan yang berubah cepat, aturan kerja baharu dan keperluan latihan semula.

Lee juga berkata, pendidikan tinggi lebih relevan dalam banyak cara, selain sekadar kaedah memajukan belia Malaysia untuk memasuki pasaran kerja.

Menyedari bahawa umur bekerja mungkin meningkat melampaui 60 tahun ke atas, Lee berkata, melanjutkan pelajaran sepenuh masa mungkin masih bernilai bagi golongan belia.

“Golongan remaja dan orang muda masih dalam proses mengenali diri mereka,” katanya.

“Apakah kita mahu memaksa mereka yang berusia 18-21 tahun ke dalam pekerjaan sepenuh masa?”