GAMBAR DARI TWEETER BAWANGSAT
Orang ramai mengecam Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai reaksi terhadap artikel Presiden Pas itu yang bertajuk “Mencetuskan Keraguan Kerja Syaitan” semalam.
Kenyatan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu mengundang kecaman bahkan sindiran apabila mengaitkan bisikan syaitan punca ramai anak muda Melayu Islam tidak mendaftar sebagai pengundi.
Ibarat menepuk air di dulang, terpercik muka sendiri, Ahli Parlimen Marang itu diserang warganet termasuk menyindir sikap Pas sepanjang tempoh singkat pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Mereka mengutuk Abdul Hadi di ruangan komentar bekas Menteri Besar Terengganu itu yang memuatnaik artikel berserta poster bagi slot Minda Presiden Pas.
“Selama 22 bulan PH memerintah, kau (Abdul Hadi) cetuskan keraguan pada rakyat,” tempelak Khairul Anuar Kamaruddin.
Hal sama juga dibangkitkan Mohammad Tirmizi Abd Manaf memandangkan Pas sebelum menjadi kerajaan galak bercakap tentang isu Melayu Islam.
“Dulu masa jadi pembangkang hari-hari timbulkan keraguan. Isu TH (Tabung Haji), isu arwah (anggota bomba) Adib, isu Melayu. Buat kerja setang lah tu,” sindirnya.
Tidak kurang juga membangkitkan sikap Pas meniup keraguan masyarakat Melayu Islam terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kemudiannya padam dengan Langkah Sheraton pada Februari tahun lalu.
“Ingat lagi sebelum Pas jadi kerajaan tebuk atap, masa itu setiap hari cetuskan keraguan. Kerja syaitanlah tu,” sinis Harith Iskandar.
Bahkan, ada yang menyifatkan prinsip Abdul Hadi jauh berbeza dengan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang pernah mengisytiharkan darurat di Washington DC, menjelang pelantikan rasmi bakal Presiden Joe Biden.
“Kalau pemimpin politik benar-benar bertangungjawab dan berilmu serta tahu menjunjung tinggi prinsip, maruah dan Perlembagaan negara pasti bertindak dengan profesional.
“Bukan macam pemimpin yang ada sekarang ini di Malaysia. Seluruh dunia ketawa dan tidak hormat.
“Teruk-teruk Trump pun isytihar darurat namun akhirnya akur juga dengan Perlembagaan negaranya! Kita?” tegas Azhar Ahmad.
Terdahulu Abdul Hadi dalam tulisannya menyebut generasi muda Islam yang sepatutnya mewarisi perjuangan untuk menegakkan agama khususnya masih dihantui bisikan syaitan.
“Pengaruh bisikan syaitan masih menghantui umat Islam khususnya generasi muda yang sepatutnya mewarisi perjuangan untuk menegakkan Islam.
“Kita menyaksikan kebencian terhadap politik berlaku kerana terpengaruh dengan syaitan berwajahkan manusia, termasuk umat Islam sendiri yang digerakkan oleh dalang-dalang mereka,” katanya.
Dewan Rakyat pada September tahun lalu diberitahu seramai 4.2 juta penduduk di negara ini yang berusia 21 tahun ke atas dan layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih.
Angka tersebut mewakili 22 peratus daripada jumlah keseluruhan warga Malaysia yang layak mengundi ketika ini.
Melayu Islam terancam
Pas sebagai parti pembangkang terutama sewaktu PH mendapat mandat rakyat di Putrajaya selama 22 bulan sejurus Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018 dikenali lantang membangkitkan isu kononnya kepentingan Melayu Islam terancam.
Namun, pelbagai isu yang kononnya diperjuangkan Pas sebelum ini dilihat tenggelam apabila menyertai kerajaan tebuk atap PN.
Antara isu yang menjadi minat Pas sebagai pembangkang sebelum ini ialah pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU355) serta isu hak asasi manusia termasuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Turut lantang disuarakan Pas sebelum menjadi kerajaan ialah isu Tabung Haji (TH), dakwaan kononnya DAP menguasai Kabinet Mahathir, lantikan bukan Islam ke posisi penting pentadbiran kerajaan Persekutuan, jualan aset negara, kontroversi pengajaran Jawi dan polemik pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Pas juga sebelum ini lantang menyerang Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dengan mendakwa Naib Presiden AMANAH berkenaan mengiktiraf golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Selain itu, Pas turut terkedepan menuntut bela atas kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.
Pas memiliki 18 kerusi Parlimen dalam kerajaan rampasan kuasa itu menyertai kumpulan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Bersatu dan kumpulan AzminAli daripada PKR, dengan 31 kerusi.
Pas juga berpakat dengan sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN), Umno yang mempunyai 39 kerusi atau 42 kerusi jika ditambah MCA dan MIC selain disokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan 18 kerusi serta beberapa Ahli Parlimen dari Sabah.
Walau bagaimanapun, sengketa Umno-Bersatu kemudiannya mengakibatkan kerajaan PN kini hanya memiliki sokongan 109 Ahli Parlimen daripada 220 ahli Dewan Rakyat.