POSTED BY AMIR WRLR
14.01.2021
Perisytiharan darurat tidak
diperlukan untuk membendung jangkitan Covid 19 kerana telah dibuktikan Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) mampu menangani wabak berkenaan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata,
darurat malah akan menyebabkan masa hadapan rakyat lebih terjejas dengan kerana
aktiviti ekonomi dan ketelusan pentadbiran.
Di samping itu, Ahli Parlimen Ledang itu juga tidak menolak perisytiharan
darurat lebih kepada bermotifkan politik apabila bilangan majoriti kerajaan
Perikatan Nasional (PN) semakin berkurangan setelah penarikan sokongan daripada
Ahli-ahli Parlimen Umno.
"Saya tidak berniat menimbulkan keraguan atau persoalan
apalagi menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi sebagai wakil rakyat
saya bertanggungjawab bertanya apakah keperluannya darurat terutama jika ia
kemungkinan besar bermotif politik dan dibimbangi boleh tambah menjejaskan
nasib dan masa depan rakyat serta negara.
"Apakah wabak Covid-19 dan bencana banjir seperti kata
Perdana Menteri (PM), boleh dianggap ancaman kepada keselamatan atau kehidupan
ekonomi atau ketenteraman awam sehingga diisytihar darurat? Dengan rendah diri,
saya berpendapat tidak!
"Secara umumnya, saya tidak ada masalah pihak kerajaan dan
pembangkang bekerjasama demi rakyat dan negara dalam melandaikan lengkok
Covid-19 sekali lagi. Segala sumber dan dana wajib ditumpu kepadanya.
"Masalahnya ialah kegagalan kepimpinan kerajaan. Strategi
menguruskan wabak sepatutya dikaji semula. Antaranya kepentingan melakukan
ujian massa (mass testing), penjejakan kontak yang lebih pantas, pengawalan
bersasar dan kaedah mengurus pesakit Covid yang lebih berkesan.
"Ramai yang mahu tampil ke hadapan membantu seperti doktor
perubatan, penolong pengawai perubatan, persatuan bantuan kecemasan dan
lain-lain, jika diberi peluang dan insentif yang munasabah. Begitu juga dengan
hospital swasta.
"Apakah hospital swasta tidak boleh dirunding untuk
bekerjasama dalam keadaan mendesak? Apakah hingga perlu kuasa darurat?"
tanyanya dalam satu kenyataan.
Menurut Syed Ibrahim lagi, pelaksanaan PKP, PKP Bersyarat dan PKP
Pemulihan serta strategi menyeluruh menangani fasa baharu pengurusan dan
pengawalan wabak Covid-19 dilihat memadai.
Malah, katanya bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
di bawah Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit serta Akta Majlis Keselamatan
Negara (MKN) amat meluas dan mampu menangani pandemik Covid-19. Begitu juga
dengan bidang penguatkuasaan Angkatan Tentera dan Polis Diraja Malaysia yang
berjaya membuat rakyat berkurung di rumah ketika tempoh PKP Mac 2020.
Oleh itu, tambah Syed Ibrahim kerajaan PN tidak memerlukan darurat untuk
meneruskan perang melawan Covid.
"Apa sebenarnya motif di sebalik kuasa-kuasa darurat selama enam bulan
sehingga Ogos 2021? Bukankah semua perkara ini boleh ditangani tanpa kuasa
darurat, dengan bidang kuasa yang ada di bawah KKM dan MKN?
"Memang benar darurat ini tiada perintah berkurung, tiada rampasan tentera
serta kerajaan persekutuan dan negeri serta badan kehakiman berfungsi seperti
biasa.
"Tetapi mengapa Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN)
tidak boleh diadakan sedangkan PRU-15 hanya perlu diadakan menjelang 2023
manakala PRN Sarawak tidak perlu dilakukan sehingga selewat-lewatnya penghujung
Ogos 2021? Kuasa darurat bagi Pilihan Raya Kecil seharusnya memadai seperti
yang dibuat untuk Batu Sapi dan Gerik.
"Mengapa Perdana Menteri perlukan perintah pukal begitu melainkan jika
beliau tahu kerajaannya telah hilang majoriti dan wajar mengadap Yang
di-Pertuan Agong untuk bubarkan parlimen dan letak jawatan.
"Juga mengapa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak dibenarkan
bersidang seperti biasa? Apa kaitannya dengan mengawal merebaknya wabak
Covid-19?" tanya beliau lagi.
Bagi Syed Ibrahim, PM Muhyiddin tidak wajar menggantung Parlimen dan
Dewan-Dewan Undangan Negeri pada ketika pihak eksekutif dan kehakiman masih
boleh berfungsi seperti sedia kala dan menjejaskan proses semak imbang,
merencat demokrasi negara dan menafikan suara rakyat.
Mengenai Jawatankuasa Bebas yang akan dibentuk bagi menasihatkan kerajaan PN
dan Yang di-Pertuan Agong berkenaan darurat, beliau menanyakan kebebasannya
kerana ahli jawatankuasa dilantik oleh pentadbiran Muhyiddin.
"Yang pasti Jawatankuasa Bebas ini bukan tertakluk di bawah Parlimen
kerana ia cetusan idea oleh kerajaan. Ia tidak tertakluk di bawah peraturan
mesyuarat Parlimen. Jika di bawah Parlimen maka perlu dibawa ke sidang Parlimen
untuk dibahas dan diluluskan terlebih dahulu. Apa
komposisinya? Apa bidang
kuasanya? Masalahnya Parlimen telah digantung," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pihak supaya pihak kerajaan menilai
semula nasihat mereka kepada Agong berkaitan perintah darurat. Darurat tidak
boleh diterima sama sekali terutama apabila membebankan rakyat dan berselindung
di sebalik Covid-19 untuk survival politik.