Angkatan
Muda KEADILAN (AMK) Malaysia mengkritik pelantikan Prof. Emeritus Tan Sri Dr
Ibrahim Abu Shah sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara
(UiTM).
Ketua AMK Pulau Pinang, Fahmi Zainol, mendakwa pelantikan itu tidak wajar dibuat memandangkan peranan Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) amat penting dalam menentukan sesuatu dasar dan hala tuju yang boleh melonjakkan pencapaian universiti dari sudut akademik, pengurusan serta memainkan peranan penting mengawasi universiti daripada menjadi pekakas politik sesuatu pihak.
Persoalannya, dakwa Fahmi, adakah Dr Ibrahim yang pernah Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Umno Malaysia mampu bersikap bebas atau sebaliknya.
"Melihat kepada pencapaian UiTM kebelakangan ini, terdapat banyak peningkatan terutama dari segi akademik mahupun modal insan yang mendapat pengiktirafan hingga ke peringkat antarabangsa.
"Jika dilihat senarai Pengerusi LPU UiTM sebelum ini, ianya terdiri daripada tokoh yang mempunyai latar belakang mengagumkan dan tidak terlibat secara langsung dengan politik seperti Datuk Seri Syed Zainal Abidin, tokoh yang pernah menjawat CEO Proton dan Naib Presiden Petronas.
"Ini antara anjakan perubahan yang menyumbang kepada peningkatan pencapaian UiTM. Namun agak mengecewakan apabila Syed Zainal Abidin diganti oleh individu yang terlibat aktif dalam Umno dan pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Umno Malaysia, juga pernah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Tertinggi Umno Malaysia pada tahun 2013," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Fahmi lagi, pelantikan itu menjadikan UiTM melangkah setapak ke belakang dalam era kebebasan maklumat seperti hari ini.
Selain itu, katanya, rakyat mempertikaikan motif Menteri Pengajian Tinggi dari Umno yang melantik pemimpin Umno untuk menjaga UiTM.
"Agak ironi apabila Menteri Pengajian Tinggi yang juga dari Umno melantik seorang yang aktif secara langsung dalam Umno sebagai Pengerusi LPU.
"Tindakan KPT ini akan menimbulkan lebih banyak persepsi negatif terhadap UiTM.
"AMK Malaysia tegas dengan prinsip bahawa universiti perlu bebas dari sebarang campur tangan politik. KPT perlu bermuhasabah, usah bermain politik yang kesannya akan merugikan pendidikan anak bangsa," katanya lagi.