BOB KELANANG
Temubual yang dijalankan terhadap lima orang pekerja dan
pemantau rumah sembelihan di Australia mendedahkan bahawa mereka telah diugut
supaya meluluskan daging-daging haram untuk pasaran Malaysia.
Mereka juga mendakwa telah menerima layanan buruk sepanjang
bertugas di bawah seorang individu bernama Mohamed Adil Rahman.
Isu Daging Halal
Kelima-lima mereka yang bekerja di pelbagai tempat sembelihan di
Australia itu meminta supaya wartawan menggunakan nama samaran supaya identiti
mereka tidak didedahkan.
Seorang lelaki bernama ‘Mustafa’ diambil bekerja sebagai tukang
sembelih oleh Mohamed Adil Rahman bagi mewakili Sichma (Supreme Islamic Council
of Halal Meat Australia).
Mustafa kemudiannya ditugaskan sebagai pemantau di antara tahun
2008 dan 2012 di pelbagai rumah sembelihan terletak di New South Wales,
Australia.
Dalam satu rakaman temubual, Mustafa mendedahkan, dia telah
diarahkan oleh Adil Rahman supaya “meluluskan bangkai yang haram menjadi halal”
dengan cara membuang tag ‘tidak halal’ dan menggantikannya dengan ‘halal’
sebelum dicampurkan ke dalam proses penyediaan daging halal.
Selanjutnya, haiwan-haiwan yang dikenali sebagai ‘downers’ atau
terpaksa dibunuh, yang sudah mati dan haram juga dilabelkan sebagai halal. Ini
termasuklah bangkai haiwan yang tengkoraknya retak yang sepatutnya dilabelkan
sebagai haram.
Menurut Mustafa, dia telah membuat aduan kepada kedua-dua wakil
Sichma, Adil Rahman dan sebelum ini Mughdar Sadian namun diminta agar menuruti
sahaja arahan jika tidak mahu dipecat.
Tambahnya lagi gajinya juga dipotong secara berkala untuk
membayar ‘derma’ dan tidak dibenarkan untuk bercuti. Selain itu katanya, dia
tidak diberikan surat rasmi tawaran kerja atau kontrak.
Individu bernama Fikri diambil bekerja sementara oleh Adil
Rahman dalam tahun 2014 di Gundagai, New South Wales untuk Sichma. Fikri juga
mengesahkan dakwaan bahawa bangkai haiwan yang tidak halal kerana terpaksa
dibunuh telah diletakkan label halal.
Kata Fikri dia meninggalkan Sichma walaupun baru bekerja tiga
hari kerana merasa jijik dengan kegiatan curang dalam proses penyediaan daging
halal. Fikri juga tidak diberikan sebarang kontrak kerja dan tidak pernah
diberi gaji.
‘Abdul’ pula mendakwa telah diambil bekerja oleh Adil Rahman sebagai
tukang sembelih dari bulan Jun 2017 sehingga bulan Mei 2018 di dua buah rumah
sembelihan terletak di New South Wales.
“Sepanjang saya bekerja dengan Mohamed Adil Rahman. Saya lihat
mereka tidak mengikut standard Syariah/Halal sepenuhnya,” katanya.
Tukang sembelihan bukan beragama islam dakwanya mengambil
bahagian secara bergilir dalam produksi dengan tiada langsung kehadiran
pemantau halal di sebuah rumah sembelihan.
“Setiap kali pekerja islam perlu pergi ke tandas, pekerja bukan
Islam meneruskan proses sembelihan, mengakibatkan daging halal dan bangkai
haram bercampur. Atas alasan yang sama, saya sukar untuk menunaikan solat
kerana tidak dibenarkan berehat,” dedahnya.
Menurut Abdul, gaji yang diterimanya kurang daripada separuh
seperti yang dijanjikan disebabkan oleh ‘derma misteri’ yang ditolak dari
bayaran.
Abdul turun mengadu dalam kenyataan bersumpahnya bahawa dia
tidak dibenarkan bercuti dan tiada pampasan perubatan ketika bekerja di bawah
Adil Rahman.
Seorang lagi tukang sembelih dan juga juru pemantau bernama
“Halim” diambil bekerja oleh Muhamed Adil Rahman dari bulan Mei 2016 hingga May
2017.
Kata Halim, dia telah dikejarkan ke hospital dan menerima 10
jahitan selepas terlibat dalam satu kemalangan, namun sebaliknya dia telah
diarahkan oleh Mohamed Adil Rahman untuk segera kembali bekerja.
Selepas merayu, Adil Rahman akhirnya membenarkannya masuk kerja
pada pagi keesokan harinya. Keesokan pagi itu katanya, dia merasa begitu sakit
dan telah pulang ke rumah berdekatan dengan rumah sembelihan.
Akibat perbuatan itu, Mohamed Adil Rahman telah memecat Halim
dan menghalaunya keluar dari rumah.
Halim juga tidak pernah menerima kontrak kerja, justeru tiada
dokumen bukti pekerjaannya. Dia tidak dibenarkan mengambil cuti atau meminta
pampasan perubatan. Tiada tempoh masa bekerja setiap minggu dan syarat-syarat
minimum bagi notis pemecatan.
Seorang lagi individu bernama “Raslan” mendakwa telah diambil
bekerja oleh Muhamed Adil Rahman sebagai pemantau dari tahun 2013 hingga 2017.
“Saya secara tidak sedar berada dalam sistem yang melibatkan
penipuan kontrak kerja, penipuan cukai, dan kegiatan ekonomi gelap yang telah
dirancang, dilakukan, dan didalangi oleh Mohamed Adil Rahman menggunakan nama
Supreme Islamic Council of Halal Meat Australia Inc. (Sichma) sebagai pihak
pengesahan, yang mana saya tidak mahu terlibat lagi,” dedahnya.
Menurut Raslan, Adil Rahman bertindak sebagai pemantauan negeri
untuk Sichma, juru audit rumah sembelihan, dan penyedia tukang sembelihan yang
menumpukan kepada penyediaan juru sembelih halal untuk Sichma.
“Memegang ketiga-tiga jawatan ini melanggar undang-undang dan
standard halal, dan akan menjejaskan integriti produk-produk halal,” katanya.
Menurut Raslan, Adil Rahman telah menggunakan pengaruhnya untuk
menyingkirkan Australian Halal Food Services (AHFS) dari akreditasi sebagai
pembekal kepada Jakim dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Adil Rahman juga katanya telah menyingkirkan Islamic
Co-coordinating Council of Victoria (ICCV) dari akreditasi Jakim.
“ICCV enggan patuh kepadanya. Tiga minggu kemudian dengan
perasaan puas dia beritahu saya, sudah selesai. Saya dah buang ICCV dari
senarai Malaysia dan Singapura. Pada minggu berikutnya, sebuah notis dari
Malaysia dan Singapura sampai mengesahkan kenyataan Adil Rahman,” dedahnya.
Raslan menceritakan sebuah sistem yang mana Adil Rahman telah
mengawal kesemua kemudahan tukang sembelih termasuk kemudahan cukai, caruman
pencen, cuti bergaji, cuti sakit, elaun dan lain-lain.
Namun bayaran yang sepatutnya diterima oleh pekerja ini katanya
dikongsi bersama bos-bos Sichma dan pihak lain.
“Orang tengah (yang juga merupakan seorang tukang sembelih)
kemudian membayar pekerja sembelihan lain. Namun tiada pekerja yang menerima
kemudahan cukai, caruman pencen, cuti bergaji, cuti sakit. Mereka hanya
menerima gaji asas tidak lebih dari itu,”
“Sebagai orang tengah, Adil Rahman mengarahkan saya untuk
menubuhkan sebuah syarikat di bawah nama saya, untuk bertindak sebagai
pembayar. Namun syarikat itu berfungsi seperti yang diarahkan oleh Adil Rahman,
dan saya tidak mempunyai kuasa ke atasnya,” dedahnya.
“Ironinya, disebabkan pendekatan licik, Adil Rahman tidak
mempunyai sebarang perjanjian dengan mana-mana rumah sembelihan untuk
menyediakan pekerja. Namun loji-loji sembelihan ini membayar secara terus
kepadanya untuk mendapatkan perkhidmatan juru sembelih,”
“Perlu diketengahkan bahawa sekiranya sebuah rumah sembelihan
tidak bersetuju dengan cara itu, ia akan hilang lesen mengimport daging halal
kerana Adil Rahman merupakan seorang Pemantau Halal Negeri dan Juru Audit Loji
Sembelihan untuk Sichma,”
“Saya pernah menjadi salah seorang pemantau, dan saya ditugaskan
membayar gaji pekerja. Namun akhirnya saya sedar ini merupakan satu bentuk
penghambaan moden terhadap pekerja dan mengambil keputusan untuk tampil
mendedahkan informasi ini kepada anda hari ini. Para pekerja masih lagi dilayan
buruk, dan menerima gaji yang tidak setimpal,” dedahnya.
Jika ada mana-mana juru sembelih yang mengadu kepada rumah
sembelihan, kata Raslan, mereka diberitahu bahawa itu bukan tanggung jawab loji
sembelihan.
Apabila juru sembelih mengadu kepada Sichma, sebaliknya mereka
diminta untuk bercakap kepada Adil Rahman dan apabila mereka mengadu kepadanya,
mereka diugut untuk dipecat, dan gaji minggu lalu tidak akan diberikan.
“Saya tidak boleh nafikan bahawa Adil Rahman mempunyai hubungan
baik dengan Malaysia dan Singapura, dan dia menggunakan kelebihan ini untuk
maju dalam perniagaan,” dedahnya.
Sichma menerusi peguamnya Peter Guy, dari Kennedy Guy Solicitors
Melbourne menafikan segala dakwaan dan menyifatkannya sebagai palsu dan tidak
tepat.
Sichma juga menafikan bahawa Mohamed Adil Rahman merupakan
juruaudit halalnya, namun ia enggan mengesahkan peranannya dalam organisasi
berkenaan.
Sichma juga telah mengugut untuk mengambil tindakan
undang-undang terhadap artikel Asian Sentinel bertarikh 7 November yang
melaporkan tentang penyelewengan. Asian Sentinel bagaimanapun mempertahankan
laporan itu dan tidak memadamnya sekaligus bersedia untuk disaman.