Saya tertarik dengan ucapan Salahuddin Ayob, Timbalan Presiden Amanah dalam konvensyen parti tersebut hari ini. Syabas diucapkan kepada beliau kerana secara jujur memberitahu Amanah bukan taksub kepada mana-mana individu, bukan walaun kepada Mat Sabu, Anwar, Guan Eng ataupun Mahathir.
Pendirian inilah yang memperkuatkan PH sejak mula ditubuhkan dahulu sehingga membawa PH menjadi kerajaan selepas PRU14 yang pada Mei 2018 sehingga Februari 2020. Oleh kerana kita semua tidak taksub dan bukan walaun kepada sesiapa termasuk kepada Anwar, maka kita rela terima Mahathir menjadi PM. Keadilan juga bukan taksub kepada batang tubuh sesiapa walaupun Keadilan ini lahir dari perjuangan reformasi yang dibawa oleh Anwar Ibrahim. Adainya Keadilan ini walaun kepada Anwar, tidak masuk akal Keadilan boleh terima Mahathir yang menjadi musuh nombor wahid kepada Anwar sekian lama. Boleh sahaja Keadilan mencadangkan isteri Anwar, Presiden Keadilan waktu itu untuk diangkat menjadi PM sementara menanti pembebasan Anwar dari penjara. Tetapi Keadilan memilih untuk menerima Mahathir kerana meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.
Sepanjang kempen PRU14 yang lalu, kita jaja nama Anwar dan slogannya "reformasi", "Lawan Tetap Lawan" sehngga Mahathir pun mula belajar menyebut 'reformasi'. Apakah itu tanda kita walaun atau pentaksub Anwar? Tidak. Kita jaja nama beliau dan kita bawa slogan "reformasi' adalah kerana kita yakin dengan prinsip dan reform yang ingin dibawa oleh Anwar. Itu saja.
Malangnya, siapa yang gagal menterjemahkan reformasi sewaktu berada di tampuk kuasa? Selama 22 bulan kerajaan PH berkuasa, apakah kita dapat melihat reform yang kita impi-impikan? Memang ada tetapi terlalu sedikit dan tidak dapat dirasai oleh rakyat bawahan. Terlalu banyak yang melanggar prinsip ini. Bukan sahaja reform gagal dilaksanakan dengan tepat, bahkan manifesto PH pun dianggap sebagai "bukan kitab suci"haya kerana untuk mencari alasan di atas kegagalan untuk melaksanakannya.
Ingin kita tegaskan, menolak Mahathir untuk dibawa bersama ke dalam PH bukan bermakna kita taksub kepada Anwar. Ia juga bukan bermaksud kita terlalu emosi. Mahathir ternyata gagal untuk menghadam apa itu reform, bahkan beliau dilihat jelas sebagai anti reform. Sikap Mahathir yang terlalu emosi dengan Anwar Ibrahim telah merosakkan imej PH sehingga tindakannya yang emosi itu juga telah menjatuhkan kerajaan PH.
Siapa tidak tahu perancangan Mahathir di dalam Bersatu ketika itu? Apakah kita lupa dengan niat Mahathir untuk mewujudkan kerajaan perpaduan sekaligus menghancurkan PH? Lupakah kita dengan tindak tanduk Mahathir yang sering memperkecilkan, memperlekehkan dan merendahkan Anwar Ibrahim secara terbuka? Bukankah Mahathir sendiri secara terbuka menyatakan tidak mahu lagi berurusan dengan Anwar Ibrahim dan Keadilan hanya kerana Keadilan menolak untuk menamakannya sebagai PM untuk kali ketiga?
Anti kepada Mahathir bukan kerana kita taksub kepada Anwar. Kita pernah terima Mahathir kerana kita yakin Mahathir bukan Mahathir di era diktator atau Mahazalimnya dahulu. Rupa-rupanya kita tersalah sangka dan tersalah pilih. Mahathir tetap Mahathir yang akan merosakkan mana-mana parti yang dianggotainya. Umno pernah dirosakkan dan dipecahkan oleh Mahathir. PH juga tersadung di pintu pagar Putrajaya juga kerana orang tua ini yang memberi ruang yang amat selesa untuk pengkhianat merampas kerajaan.
Sehubungan itu, tidak salah jika kita kata sesiapa yang masih kemaruk dengan Mahathir ini, merekalah sebenarnya taksub dan walaun kepada Mahathir sehingga lupa kepada tindak-tanduk beliau terhadap PH. Kami tidak minta kamu taksub atau menjadi walaun kepada Anwar, tetapi kami mahu kamu berpegang teguh dengan prinsip PH. Jika itu pun kamu gagal lakukan, maka jangan salahkan atau tuduh orang lain sebagai taksub kepada Anwar Ibrahim.
WFAUZDIN NS