KEPUTUSAN MUHYIDDIN DITOLAK…..



Shahbudin Husin
23 March 2020

Tengahari tadi Muhyiddin Yassin mengumumkan kebenaran untuk pencarum KWSP berusia bawah 55 tahun mengeluarkan wang simpanan daripada Akaun 2 mereka sebanyak RM500 sebulan selama setahun.

Katanya, keputusan kerajaan memberi kebenaran itu adalah untuk meringankan beban rakyat yang terkesan akibatPerintah Kawalan Pergerakan atau PKR untuk mencegah wabak Covid-19 sejak 18 Mac lalu.

“Permohonan pengeluaran boleh dibuat bermula 1 April 2020.

“Inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 billion,” kata beliau.

Tambah Perdana Menteri lagi, inisiatif itu adalah sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang lebih komprehensif yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Dalam erti kata lain, melalui pengeluaran RM40 bilion itu juga mampu merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih stabil ketika ini.

Bagaimanapun, keputusan yang diumumkan Muhyiddin hasil mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi itu mengundang kecaman rakyat dan mereka rata-ratanya menolak keputusan tersebut.

Pelbagai pihak atau persatuan berkaitan pekerja, pemimpin politik dan orang awam, terutamanya melalui media sosial jelas tanpa berselindung telah menzahirkan penolakan mereka.

Mereka berpendapat, langkah yang diumumkan Muhyiddin itu bukan berupa bantuan untuk meringankan beban rakyat kerana wang yang dikeluarkan itu adalah kepunyaan mereka sendiri.

Bantuan apa namanya kalau wang sendiri yang dikeluarkan akhirnya untuk membantu diri sendiri, tanya mereka.

Mereka turut mempertikaikan bagaimana dengan nasib pekerja harian yang tiada simpanan dalam KWSP atau mereka yang sudah melebihi usia 55 tahun yang tiada lagi tabungan.

Apa usaha kerajaan untuk membantu mereka?

Selain itu, rata-rata berpendapat, tabungan KWSP adalah untuk simpanan hari tua pekerja dan jika sebahagiannya dikeluarkan sekarang, apa lagi yang tinggal untuk hari depan?

Yang paling dipersoalkan, dalam kerajaan kononnya prihatin dan mengatakan mahu meringankan beban rakyat, apa sebenarnya bantuan langsung daripada dana kerajaan yang disalurkan pada ketika susah ini dan rakyat tidak dapat keluar bekerja ini?

Langkah Muhyiddin ini tidak lebih dianggap retorik politik kononnya kerajaan pintu belakang pimpinannya prihatin kepada nasib rakyat, walhal sumbangan sebenar dalam meringankan beban kehidupan mereka adalah kosong.

Kalau namanya bantuan dan untuk tujuan meringankan beban rakyat, Muhyiddin seharusnya mengumumkan sejumlah dana daripada kerajaan bagi tujuan itu. 

(ShahbudinHusin 23/03/2020)

KENYATAAN MEDIA KAJI SEMULA KEPUTUSAN BENARKAN PENGELUARAN KWSP



Saya membaca dengan penuh kebimbangan pengumuman kerajaan bahawa semua pencarum KWSP berumur 55 tahun ke bawah kini dibenarkan mengeluarkan sebanyak RM500 sebulan daripada caruman terkumpul mereka di KWSP untuk tempoh 12 bulan akan datang. 

2. Ini adalah satu idea yang akan menjejas masa depan ramai rakyat Malaysia.

3. Hasrat disebalik penubuhan KWSP ialah untuk mewujudkan satu skim tabungan untuk hari tua. Ia bukanlah akaun simpanan seperti di bank-bank yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa. 

4. Pada ketika ini pun, jumlah simpanan di dalam akaun KWSP kebanyakan rakyat Malaysia tidak mencukupi untuk menyara kehidupan mereka selepas bersara. 

5. Pada ketika negara merdeka, jangka hayat rakyat Malaysia ialah 58 tahun. Simpanan yang sedikit sudah memadai untuk hari-hari selepas bersara.

6. Kini jangka hayat rakyat Malaysia telah mencapai 76 tahun. Namun, jumlah simpanan KWSP sebahagian besar mereka adalah tidak mencukupi untuk menyara kehidupan sehingga ke 76 tahun. 

7. Lebih kurang 70 peratus dari pencarum ke KWSP mempunyai simpanan yang hanya dapat bertahan untuk selama 5 tahun sahaja selepas mereka bersara. 

8. Demikian juga, lebih kurang 85 peratus dari pencarum KWSP mempunyai pendapatan bulanan RM4,000 ke bawah. Pengeluaran sebanyak RM500 sebulan adalah lebih separuh dari caruman bulanan.

9. Oleh itu, adalah tidak bertanggungjawab untuk menyuruh rakyat Malaysia mengeluarkan RM500 sebulan daripada simpanan KWSP untuk membiayai keperluan mereka. 

10. Ia adalah satu langkah jangka pendek yang akan memudharatkan mereka di masa hadapan. Rakyat akan terpaksa menanggung masalah yang lebih besar selepas persaraan mereka nanti.

11. Dalam krisis dan kemelesetan yang kita hadapi hari ini, kerajaan seharusnya menunjukkan kesediaan berkorban untuk rakyat. 

12. Adalah lebih wajar semua pekerja yang bergaji kurang dari RM10,000 sebulan dikecualikan dari potongan cukai bulanan untuk tempoh 12 bulan akan datang. Ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna mereka. 

13. Tindakan ini akan merangsang kegiatan ekonomi melalui perbelanjaan pengguna. Kesan alir-ke-bawah (trickle down) dari pendekatan ini adalah lebih cepat dalam merancakkan aktiviti perniagaan, khusus di sektor peruncitan. 

14. Dan lebih penting, ia tidak menjejaskan simpanan KWSP rakyat yang diperlukan untuk zaman selepas persaraan.  

15. Kerajaan boleh menanggung belanjawan defisit. Tetapi rakyat tidak akan dapat menanggung perbelanjaan selepas persaraan jika sebahagian besar dari simpanan mereka digunakan pada ketika ini. 

16. Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan mengkaji semula keputusan membenarkan rakyat mengeluarkan simpanan KWSP mereka dan sebaliknya membatalkan kutipan cukai peribadi melalui PCB untuk selama 12 bulan.

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
SETIAUSAHA AGUNG KEADILAN
MP KULIM BANDAR BAHARU
ADUN PANTAI JEREJAK

23 Mac 2020

Anwar cadang kerajaan bantu RM250 sebulan kepada semua rakyat



23 Mac 2020



Presiden PKR, Anwar Ibrahim menyatakan kebimbangan sekiranya para pekerja, terutamanya golongan miskin terpaksa menggunakan simpanan hari tuanya dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menampan kesan hilang punca pendapatan akibat wabak Covid-19.

Ini susulan pengumuman kerajaan membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan wang daripada Akaun 2 bagi meringankan beban rakyat.

Anwar berkata kerajaan perlu memberikan bantuan sebanyak RM250 sebulan kepada semua rakyat Malaysia.

“Saya prihatin dengan isu berikan ruang kepada pekerja keluarkan caruman dari KWSP. Ini simpanan untuk masa depan mereka, kelompok kaya tak membimbangkan tetapi dalam kelompok pendapatan rendah ini dikhuatiri jejaskan masa depan mereka.

“[…] tapi saya rasa kerajaan kena pertimbangkan semula, jangan beban hanya pada mereka, sepatutnya paling tidak kerajaan bagi sumbangan sebahagian kepada semua, kalau kata lah RM250 kalau mereka perlu tambahan keluarkan RM250 saja (dari KWSP).

“Kerajaan harus fikirkan untuk belanja dari rizab negara. Ini keadaan kritikal sekarang,” katanya dalam sidang media secara langsung di akaun Facebook hari ini.


Terdahulu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, mengumumkan inisiatif pengeluaran akaun KWSP menerusi i-Lestari yang tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan selama 12 bulan.

Justeru itu, Anwar menyarankan penambahbaikan supaya pencarum boleh mengeluarkan RM250 sahaja daripada akaun KWSP, manakala kerajaan pula menambah bantuan sebanyak RM250.

Menjelaskan lanjut, katanya, bantuan RM250 itu boleh disalurkan daripada rizab negara atau pun hasil keuntungan Petronas.

“Saya pendapat ini adalah keperluan yang harus diberikan pertimbangan segera, hari ini atau esok kerana penjaja atau nelayan, kalau mereka tak kerja tiga ke empat hari mereka tiada simpanan yang panjang.

“[…] guna rizab yang besar yang ada sama ada dalam kerajaan atau Petronas untuk selamatkan rakyat sekarang,” katanya lagi.

Kerajaan telah melaksanakan perintah kawalan pergerakan bermula 18 Mac hingga 30 Mac ini bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Perintah itu antara lain mewajibkan penutupan kebanyakan premis perniagaan, sekolah dan institut pengajian tinggi, serta premis kerajaan dan swasta melainkan perkhidmatan penting.

Malaysia mencatatkan 212 lagi kes Covid-19 dalam tempoh 24 jam terakhir hari ini, iaitu bilangan tertinggi sejak permulaan wabak itu pada akhir Januari.

Ini membawa jumlah keseluruhan kepada sebanyak 1,518 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 212 kes baru, 123 dikesan daripada kluster perhimpunan Tabligh di Sri Petaling, Kuala Lumpur yang diadakan lewat bulan lalu.

Beliau juga melaporkan empat kematian baru, menjadikan jumlah kematian kepada 14 orang.



Keluar wang KWSP umpama tebuk tabung sendiri

Keluar wang KWSP umpama tebuk tabung sendiri


Selepas Perdana Menteri membuat pengumuman bahawa ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibolehkan untuk membuat pengeluaran wang simpanan masing-masing, netizen mula mempersoalkan tindakan berkenaan.
Ramai yang mempersoalkannya kerana KWSP adalah duit rakyat untuk simpanan hari tua mereka bukannya duit dari kantung kerajaan sendiri.


Dalam pengumuman itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dihujani pelbagai kritikan tidak puas hati selepas satu siri tweetnya menyebut bahawa pengumuman kerajaan yang membenarkan pengeluaran KWSP adalah berita yang baik.
Seorang pengguna akaun bernama Adzman Kamaruddin, mempersoalkan di mana berita baik berkenaan apabila rakyat terpaksa menggunakan duit sendiri


“Apa yang baik? Duit bukan kerajaan bagi tapi duit rakyat sendiri. Sepatutnya kerajaan salur bantuan tunai melalui ahli KWSP, itu baru berita baik,” katanya.
Menarik perhatian, ada juga netizen menyindir dengan berkata: “Yay keluarkan duit sendiri,” tulis pengguna akaun aFireInside.
Pemegang akaun twitter, alifzakk pula berkata: “Ingat kerajaan prihatin nak bagi sebulan rm500. Rupanya bagi keluar duit sendiri,” tulisnya.
Hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa ahli KWSP berusia kurang 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.
Beliau berkata, kemudahan pengeluaran i-Lestari bagi pencarum KWSP yang berjumlah RM40 billion itu bertujuan mengurangkan bebanan kewangan rakyat ekoran wabak Covid-19.
“Permohonan boleh dibuat bermula 1 April 2020. Jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 bilion,” katanya dalam sidang media khas di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

BUKAN MASALAH 'FREE' TAPI ADA ATAU DISOROK...



Facemask dan sanitizer ni sebenarnya tak perlu pun kerajaan bagi percuma... kita faham... mungkin kerajaan hari ini takda kemampuan kewangan... atau mungkin takda kemampuan berfikir...

Yang penting bekalan itu ada dan harganya tidak melambung... bukan rakyat tak nak beli, rakyat pun tak tahu nak beli kat mana sebab takda dipasaran... kalau ada pun orang jual online... harga lebih teruk dari kapitalis walaupun yang jual tu pak haji...

Aku cadangkan, supaya kerajaan mengedarkan atau memasarkan topeng muka (facemask) dan sanitizer melalui premis-premis station minyak seluruh Negara sebab depa sentiasa buka... jadikan rangkaian Petronas, Petron, Shell sebagai hub untuk rakyat dapatkan facemask dan sanitizer. Bila depa isi minyak... depa boleh dapatkan facemask dan sanitizer..

Tak perlu bagi percuma... jual jer di mart atau kedai serbaneka di station2 minyak yang penting harga terkawal... cara ini mudah... banyak premis, farmasi hatta DIY sendiri tutup dan disuruh tutup...

Selepas itu baru bentuk rakyat untuk jaga kebersihan... jaga jarak sosial (Social distancing)... buat garis panduan dari PBT untuk urus niaga di pasaraya, mart dan kedai2 runcit termasuk pasar pagi...

Yang susah fikir sampai nak kurung rakyat sampai nak guna tentera tu apehal... sampai disuruh tutup semua premis dan kedai pukul 7 malam... - Ipohmali, edited by papa Bob

Covid-19: Seronok bekerja dari rumah?

Covid-19: Seronok bekerja dari rumah?

Siaran TV kini asyik mengulang perutusan khas YAB PM 8 dengan rasa sayu dan sedih memohon dan merayu rakyat Malaysia untuk memberi kerajsama supaya ‘duduk diam di rumah’.
Minggu ini dan mungkin dalam beberapa minggu akan datang, kebanyakan kita hendaklah ‘diam-diam’ duduk dirumah.
Premis kerajaan dan swasta bukan sahaja di negara kita bahkan serata dunia termasuk Apple, Google dan Amazon memerlukan pekerja untuk bekerja dari rumah untuk mengelakkan penyebaran COVID-19.
Bahkan kumpulan tabligh yang bercadang berhimpun di Sulawesi turut mengambil langkah membatalkan perhimpunan besar tersebut.
Yang baik elok kita ikut dan turut, demi agama , bangsa dan negara.
Memanafaatkan keperluan kesihatan dan mengelakkan bekerja seperti  biasa adalah jelas dalam menghadapi pandemik yang menakutkan.
Adalah penting untuk mempertimbangkan kesan kesihatan mental yang boleh timbul apabila  bekerja secara jarak jauh dari kebiasaan.
Kita tidak harus lupa kepada risiko kesihatan mental apabila terpaksa bekerja secara jarak jauh.
Jika kebiasaannya ramai yang sering terganggu dengan mesyuarat yang tiada kesudahan secara bersemuka kini mesyuarat atau arahan tugasan berlangsung melalui ‘WhatsApp’. Bolehkah ?
Makluman tidak dijangka mengharuskan setiap pekerja menanggung beban emosi (kerana arahan datang tidak kira masa); menanggung kos elektrik dan internet (kerana terpaksa menghidupkan telefon bimbit pintar bersama akses internet kecuali masa tidur); menanggung beban fizikal (kerana terpaksa berada di depan komputer kerana kononnya dipantau oleh pihak pentadbir dan pengurusan). Semua ini dalam keadaan dan seolah ‘ugutan’ terhadap yang berkenaan.
Ramai pekerja dalam minggu-minggu akan datang akan mengalami akibat kesihatan mental yang tidak dijangka dari kesan kerja secara jarak jauh yang diamanahkan, dan penting untuk menyedari realiti ini.
Dua sebab yang menjadi kebimbangan ialah pengasingan dan ‘burnout’ (kelesuan emosi, depersonalisasi dan pencapaian peribadi terjejas).
Kerja secara jarak jauh adalah trend umum dalam banyak industri hari ini, terutamanya perkhidmatan teknologi,  perniagaan dan pendidikan; ramai sudah biasa dengan bagaimana  kerja secara pengawalan jauh dan bersendirian  boleh memberi kesan kepada kesihatan mental.
Bagi mereka yang biasa dan menghargai “kehidupan pejabat konvensional” dan kadar interaksi sosial yang mantap di pejabat, peralihan kepada kerja jarak jauh sebagai akibat daripada prosedur pendedahan sosial semasa pandemik COVID-19 mungkin menyebabkan sesuatu yang mengejutkan, walaupun agak ringan, akan merosakkan kesihatan mental.
Interaksi harian masyarakat kita terpapar jelas  untuk melambangkan rasa kesejahteraan dan kepunyaan masyarakat; dan dengan bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bharu, dalam keadaan  ‘dikawal’ , berjuta-juta dipaksa untuk tidak hanya bekerja dari rumah, tetapi tinggal di rumah, seperti bar, restoran, dan acara ditutup sehingga 31 Mac.
Walaupun dalam masa “normal”, kesan kesepian dan pengasingan tidak harus dikurangkan; penyelidikan telah menunjukkan bahawa ia boleh menjadi “dua kali berbahaya kepada kesihatan fizikal dan mental seperti  obesiti.”
Kesepian 
Satu kajian melaporkan bahawa 19%  bagi mereka yang biasanya bekerja secara jarak jauh, mengalami kesepian. Kesepian paling berisiko apabila ia menjadi kronik.
Bagi kebanyakan orang yang hidup bersendirian, ianya mungkin tidak menjadi masalah;  namun  apabila lebih ramai orang digalakkan tinggal di rumah semasa pandemik coronavirus ia akan menjadi kenyataan.
Yang terkesan ialah keperluan untuk mengekalkan hubungan dengan rakan sekerja dan pengurus.
Ini penting bukan sahaja untuk prestasi kerja, tetapi untuk kesihatan emosi dan mental.
Teknologi boleh menjadi rangsangan untuk membantu dalam komunikasi ini dan terdapat banyak contoh yang sedia ada untuk membuktikannya dan  banyak sektor sudah mengekalkan tenaga kerja secara jauh walaupun tidak menguatkuasakan pengasingan sosial.
Dalam satu kajian oleh syarikat infrastruktur awan Digital Ocean (2019), mereka mendapati bahawa 82% pekerja teknologi jauh di Amerika Syarikat merasa ‘burnout’, dengan 52% melaporkan bahawa mereka bekerja lebih lama daripada mereka di pejabat, dan 40% merasa seolah-olah mereka perlu menyumbang lebih banyak daripada rakan sekerja di pejabat mereka.
Tambahan pula, semasa wabak COVID-19, keadaan kehidupan peribadi dan kerja akan menjadi kabur; bahkan ahli profesional yang sudah biasa  bekerja dari rumah akan terkesan kerana kini anak-anak tidak ke sekolah dan  ibu bapa yang bekerja mungkin berjuang untuk memisahkan tanggungjawab.
Untuk menyokong kesihatan mental  sambil melindungi kesihatan fizikal dan keluarga anda semasa pandemik ini, ambil inisiatif dalam mengekalkan kesejahteraan dalam ruang kerja rumah.
Ini termasuk mewujudkan tempat yang selesa dan berasingan  di rumah anda untuk bekerja, mungkin anda perlu mengagihkan masa rehat  dan interaksi sosial ke dalam rutin anda.
Akhir sekali, langkah mudah seperti mematikan pemberitahuan e-mel sebelum dan selepas waktu bekerja dan mengekalkan jadual tidur biasa akan membantu mengekalkan perasaan normal.
Trend kerja dari rumah atau bukan dari tempat kerja biasa telah meningkat  untuk beberapa tahun, dan pandemik COVID-19 akan mendedahkan peluang dan cabaran bekerja dari rumah untuk banyak industri yang mungkin tidak menganggapnya pilihan.
Ramai dari kita, terutamanya individu neurodiveren, boleh mendapat manfaat secara profesional dan mental hasil dari bekerja dari rumah.
Kita harus dapat menyesuaikan diri dengan yang keadaan baru dan biasa.
Salah satu hikmah dalam keadaan COVID-19 mungkin menunjukkan  tidak banyak organisasi berupaya menyesuaikan keperluan kesihatan fizikal dan mental tenaga kerja.
Satu perkara yang pasti adalah bahawa pada masa ini ketidakpastian maupun kebimbangan, kesihatan mental tempat kerja, samada di rumah atau pejabat, mesti menjadi keutamaan bagi majikan.

Pertemuan saya dengan YAB Tun Mahathir

Pertemuan saya dengan YAB Tun Mahathir
"Dan apa yang Tun mahu lakukan selepas berjaya dapatkan semula (Parti Bersatu)?" tanya saya lagi kerana melihat kesungguhannya dalam melaksanakan usaha ini. "Adakah Tun ingin Bersatu kekal dalam PN (Perikatan Nasional) atau menyertai kembali PH (Pakatan Harapan)?"



Dari renungan matanya saya dapat merasai kesedihan yang terbuku di hatinya. Beliau terluka dengan pengkhianatan yang berlaku. Pada usia 95 tahun, saya fikir beliau tentu telah mengalami pengkhianatan berkali-kali dan tidak akan terkesan dengan apa yang sedang beliau lalui sekarang. Walaupun beliau cuba untuk menyembunyikannya, saya dapat merasai bahawa Tun terkesan dan sedang kesedihan.
Seperti biasa, beliau duduk di atas kerusi dengan tegak, tidak membongkok ataupun menggerak-gerakkan badannya. Walaupun saya merasakan hatinya sedang menanggung pilu, namun kelihatan wajahnya, dan juga keseluruhan tindak-tanduknya menggambarkan beliau seorang yang sedang memperjuangkan sesuatu misi.
Mungkin atas sebab Tun perasan saya sedang merasai bahawa dia sedang kesedihan, lantas Tun dengan cepat bertanya, “Kenapa kamu tidak datang tempoh hari bersama dengan pemimpin-pemimpin AMANAH yang lain?” Memang dua hari lepas ada lawatan oleh lima pimpinan utama AMANAH dan saya tidak bersama mereka. Perasan juga dia bahawa saya tidak bersama, takkan dia rindukan saya, saya terfikir.
Saya senyum dan sambil perlahan-lahan berpaling saya menjawab, “Mereka tidak menjemput saya bersama!” Tun kelihatan terkejut dan sambil tersenyum simpul beliau meletakkan file yang dipegangnya lalu bertanya, “Mengapa tidak? Bukankah kamu juga salah seorang pemimpin tertinggi mereka?”
Sekali lagi saya tersenyum, merasakan inilah peluangnya untuk melawak dan membuatkan lelaki tua ini ketawa. Sambil memandang tepat ke wajahnya, saya berkata, “Saya rasa mungkin mereka fikir Tun tidak mahu bertemu dengan saya” dan saya tertawa kecil tetapi dia hanya sekadar tersengeh. “Kenapa begitu?” tanya beliau lagi, sedangkan saya yakin dia cukup mengetahui bahawa saya dilaporkan membuat kenyataan yang tidak disenangi beliau beberapa hari sebelum itu.
“Oh, sebagaimana Tun tahu, saya ni terlalu banyak bercakap dan malangnya apa yang dilaporkan berbeza dengan apa yang dikatakan. Saya dilaporkan meminta Tun letak jawatan, dua hari selepas Tun sendiri letak jawatan!”
Dan kami ketawa ke atas kelucuan laporan tersebut.
Ianya hari Khamis, 12 Mac, 11.05 pagi di pejabat Tun, di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Saya telah membuat temujanji untuk bertemu dengan beliau memandangkan pada malam tersebut saya juga telah dijadualkan untuk memberi ceramah dalam FB Live atas jemputan ‘KelabInspirasikuMahathir’ pada pukul 9 malam. Saya mahu jelas tentang beberapa pandangan beliau, sekiranya moderator bertanya kepada saya tentang apa yang saya fikirkan mengenai beliau sebagai seorang individu dan sebagai seorang pemimpin. Saya ingin cuba untuk memahami personaliti ini.
Saya telah pergi bertemu Tun bersama dengan Haji Azli, mantan Setiausaha Politik saya merangkap Ketua Kawasan AMANAH Shah Alam. Haji Azli telah menjadi Ketua Kawasan Shah Alam Parti AMANAH Negara sejak tahun 2015 dan pernah menjadi Ketua Kawasan PAS Shah Alam sebelum itu pada tahun 2013.
Kami telah lebih daripada 30 minit bersama Tun. Hanya kami bertiga sahaja dan Azli mendiamkan diri hampir sepanjang masa tersebut. Ianya bagaikan sesi hati ke hati, sesi bicara tanpa halangan dan saya tanyakan soalan-soalan yang saya percaya ramai tidak sanggup tanya. Soalan berterus-terang, tajam tanpa selindung, tetapi masih sopan.
Ketika kami mula-mula masuk ke biliknya, kami menghulurkan tangan untuk bersalam seperti biasa namun dengan cepat Tun membuat isyarat ‘Namaste’ dengan tangannya. Kami turut melakukan perkara yang sama, sambil mengakui kebenaran dalam kata-kata Tun, “isu Virus Corona ini adalah perkara yang serius”. Dan kami duduk di depan meja beliau yang seperti biasa penuh dengan surat dan file.
Selepas perbualan ringkas seperti yang dilaporkan di atas, saya mula mengemukakan beberapa soalan. Banyak soalan yang telah ditanya, tetapi saya tidak akan mendedahkan semuanya kali ini. Cuma apa yang saya mahu sampaikan adalah soalan terakhir saya kepada beliau, iaitu “Apa yang Tun mahu lakukan sekarang?” Tun menjawab bahawa beliau mahu dapatkan kembali Parti Bersatu yang dirasakannya telah dirampas darinya melalui penipuan dan pengkhianatan.
“Dan apa yang Tun mahu lakukan selepas berjaya dapatkan semula (Parti Bersatu)?” tanya saya lagi kerana melihat kesungguhannya dalam melaksanakan usaha ini. “Adakah Tun ingin Bersatu kekal dalam PN (Perikatan Nasional) atau menyertai kembali PH (Pakatan Harapan)?”
Beliau diam seketika, mungkin memikirkan bahawa jawapannya sepatutnya jelas bagi diri saya. Setelah menghela nafas panjang, Tun menjawab, “Kembali kepada PH”.
Ya, sudah tentu, fikir saya. Demi perjuangan, walaupun sudah berada di peringkat umur yang agak lanjut, beliau masih mahukan satu parti politik Melayu yang baharu dan bebas dari gejala rasuah bagi menggantikan Umno. Bagi Tun, Umno sudah tidak dapat diselamatkan lagi, rosak hasil kedurjanaan Najib dengan falsafahnya “Cash is King”. Bersatu sepatutnya menjadi satu platform baharu yang akan hanya menerima pemimpin-pemimpin Umno yang bebas dari rasuah, sambil yang korup akan dibiarkan mereput bersama Umno. Tetapi untuk itu, Bersatu mestilah berada bersama gabungan yang memerintah sambil Umno kekal bersama pembangkang.
Semuanya berjalan dengan lancar sehinggalah Azmin mempelawa Muhyiddin untuk meninggalkan PH dan bergabung dengan UMNO dan Pas untuk membentuk PN!
Dan itulah sebabnya, ketika ditanya sebelum itu, Tun berkata Muhyiddin bukan mengkhianati dirinya tetapi mengkhianati perjuangan parti. Ini adalah kerana parti BERSATU dibentuk dengan objektif yang khusus dan jelas ini. Membawa Bersatu keluar dari PH dan membentuk kerajaan PN bersama UMNO bermakna matlamat  perjuangan menjadi sia-sia. Keberadaan UMNO di dalam gabungan parti pemerintah yang sama dengan bilangan kerusi yang lebih dari Bersatu, apakah alasannya untuk pemimpin UMNO meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu? Secara logiknya, selepas jangkamasa yang singkat, lebih mungkin yang sebaliknya akan berlaku. Mereka berada di dalam pakatan yang sama, mengapa perlu mereka meninggalkan Umno?
Tun sudah pun mengingatkan Muhyiddin bahawa pada permulaannya, pemimpin-pemimpin Umno akan menerima segala syaratnya untuk membentuk satu pakatan kerajaan PN yang baharu tetapi sebaik sahaja Muhyiddin menarik Bersatu keluar dari PH, dia akan terpaksa tunduk kepada kehendak mereka! Ternyata ramalan Tun terbukti benar. Pada hari ini, kerajaan PN telah dijadikan gabungan, bukan antara parti politik tetapi gabungan individu Ahli Parlimen! Ini bermakna parti-parti politik ini tidak perlu setia kepada Muhyiddin dan sepantas mana mereka bersama Muhyiddin, sepantas itu jugalah wakil-wakil rakyat ini boleh meninggalkan beliau. Tiada ikatan, tiada janji, mereka hanyalah satu gabungan individu yang sangat longgar.
Muhyiddin sedang dipergunakan, bukan sahaja oleh Najib dan sekutunya, tetapi lebih-lebih lagi oleh Azmin, seorang yang saya percaya akan berbuat apa sahaja untuk tidak dibayangi Anwar sekaligus bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri. Tun sedar akan hakikat ini dan menolak untuk menjadi “batu loncatan” kepada sesiapa pun.
Malangnya Muhyiddin tidak sebijak itu atau mungkin juga pada pandangan beliau ini adalah peluang keemasan untuk beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia dan cita-cita ini adalah lebih penting daripada perjuangan parti. Ya, mungkin Muhyiddin bukanlah bodoh atau naif, seperti yang difikirkan ramai, tetapi beliau adalah seorang yang bercita-cita tinggi.
Namun demikian, impian beliau mengelirukan diri beliau sendiri. Jelas beliau tidak memahami Tun dan kesungguhan Tun untuk meninggalkan legasi politik yang boleh dibanggakan rakyat. Di mana legasi ini merupakan parti politik Melayu baharu yang bersih dan bebas rasuah bagi menggantikan Umno.
Atas sebab itu permohonan maaf Muhyiddin tidak akan dilayani Tun. Ianya bukan Tun yang telah kamu salahi Muhyiddin! Ianya adalah perjuangan dan matlamat di sebalik segala usahanya. Perjuangan yang mendorong Tun sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dan anda menjadikan kesemuanya berkecai menjadi debu-debu yang berterbangan!
Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang akan meletakkan Bersatu dalam kedudukan yang sangat lemah dan merugikan. Mereka perlu berunding dengan UMNO dan Pas untuk mendapatkan kerusi sedangkan kedua-dua parti ini mempunyai sejarah yang panjang dan mantap dalam kesemua kerusi majoriti Melayu. Sedangkan Bersatu masih baharu. Tanpa perjuangan yang khusus dan tersendiri, pengundi Melayu akan mula melihat kekurangannya dalam barisan kepimpinannya sambil ‘ideologi’nya turut dilihat sama dengan Umno. Justifikasi berhubung kewujudannya akan mula dipersoal.
Pada akhir sesi, saya merasakan saya memahami cara pemikiran Tun. Keperluan bagi beliau untuk mendapatkan semula parti beliau demi mencapai matlamat perjuangannya semakin jelas.
Walau bagaimanapun, saya agak sangsi, berapa ramai di dalam Bersatu yang benar-benar berkongsi visi parti politik Melayu baharu yang bersih dan bebas rasuah itu. Dan berapa ramai pula yang akan sanggup bersama sehingga tercapai matlamat seperti beliau?
Saya melihat jam tangan menunjukkan sudah pukul 11.45 pagi. Saya teringat yang sedang menunggu di luar, mahu berjumpa Tun dengan jadual temujanji pada jam 11.30 pagi. Saya kira, sudah sampai masa untuk pergi. Dengan itu kami berdiri bagi mengucapkan selamat tinggal dan mengambil foto sebagai kenangan pertemuan dan sesi hati ke hati.
Sebelum beredar, saya mengambil kesempatan menyatakan kepada Tun, “Terima kasih Tun kerana telah melantik saya sebagai Menteri di Kabinet Tun. Meskipun untuk tempoh yang singkat, saya mempunyai peluang untuk berinteraksi dengan Tun dan mengenali Tun dari perspektif yang berbeza”
Dia kemudian memandang saya, memikirkan kta-kata saya itu sebagai kata-kata perpisahan akhir dan dia lantas berkata, “Ia belum selesai” sambil tersenyum. Saya rasa kita akan bertemu lagi dan jika peribadi berusia 95 tahun ini sanggup berhadapan dengan PN, maka adakah mungkin saya tidak?


Kerajaan kaji lanjutkan perintah kawalan pergerakan


LANGKAH BIJAK. ANDA BAYANGKAN JIKA 31 MAC INI SELURUH WARGA AKAN BERGERAK BALIK KE TEMPAT KERJA, ANAK SEKOLAH AKAN KE ASRAMA, PELAJAR UNIVERSITI KE TEMPAT DAN UNIVERSITI MASING MASING.JIKA KERAJAAN SANGGUP MENERIMA HENTAKAN DARI WARGA SENDIRI, MAKA IANYA SAAD KELEMAHAN MAKIN KETARA KERAJAAN.

RASANYA IBUBAPA SENDIRI KURANG YAKIN IANYA AKAN DAPAT MELINDUNGI ANAK MEREKA DI UNIVERSITI ATAU SEKOLAH BERASRAMA KERANA ANAK ANAK TADI TELAH BERGAUL DENGAN KELUARGA DI RUMAH, BAGAIMANA JIKA ADA DIANTARANYA TERBABIT DENGAN JEMAAH ATAU TERDEDAH?





Jalan Petaling di ibu negara yang biasanya sibuk dengan peniaga, pembeli dan pelancong lengang pada hari ke-2 perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa.
PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengkaji melanjutkan perintah kawalan pergerakan selepas 31 Mac sekiranya pergerakan rakyat masih belum terkawal, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika negara sedang berusaha menurunkan bilangan jangkitan Covid-19.
“Saya akan maklumkan nanti,” katanya pada sidang media hari ini, ketika perintah memasuki minggu kedua, dengan penglibatan tentera membantu polis menguatkuasakan arahan kerajaan.
Muhyiddin berkata Majlis Keselamatan Negara akan mempertimbangkan perkara itu pada 30 Mac ini, berdasarkan data semasa dan jika perintah kawalan pergerakan menghasilkan kesan positif.

ANWAR GESA JANGAN SALAH GUNA AGAMA TANGANI COVID 19

COVID 19: MASA UNTUK KERAJAAN BELANJAKAN SIMPANAN – PAKAR EKONOMI

KETUA PENGARAH KESIHATAN TEGASKAN COVID 19 BUKAN DARI PELANCONG CHINA

HEBATNYA DR ZUL MANTAN MENTERI KESIHATAN DAHULU DI DALAM MENANGANI COVID-19



Kadang naik marah juga kepada Menteri palatoya dengan netizen palatoya yang masih menyalahkan Mantan Menteri Kesihatan Dr Dzulkifly Ahmad dalam isu Covid-19

Mereka tuduh peningkatan Covid-19 sekarang ni disebabkan kelemahan dan lembapnya kerajaan dulu, tidak halang kemasukan rakyat China.

Ni baca aku senaraikan fakta negara mana yang paling awal & paling lambat buat sekatan perjalanan, gantung penerbangan dari China secara total atau hanya untuk wilayah-wilayah tertentu sahaja. Dan boleh tengok juga negara yang lebih awal, total sekat kemasukan rakyat China tapi kes & kematian berganda lebih banyak dari Malaysia. Ada yang kes sikit tapi kematian berganda lebih banyak dari Malaysia.

Kita letak Malaysia dulu supaya geng palatao boleh banding:

1- MALAYSIA

MALAYSIA menguatkuasakan larangan masuk kepada semua pelancong tanpa mengira warganegara yang telah melawat wilayah Hubei, Zhejiang dan Jiangsu dalam tempoh 14 hari sebelum memasuki Malaysia berkuat kuasa 9 februari. (Rujuk Jabatan Imigresen Malaysia). Malaysia menggantung pengeluaran Visa ke Negara China dari Hubei dan Wuhan, berkuat kuasa 27 Januari (Rujuk KEnyataan Pejabat Perdana Menteri).

2- TAIWAN

Taiwan mengenakan larangan kemasukan ke atas warga asing yang telah melawat China dalam tempoh 14 hari yang lalu dan menggantung perkhidmatan visa kepada warga asing yang telah melawat China, Hong Kong, dan Macau, dalam tempoh tujuh hari yang lalu, berkuat kuasa 7 Februari (Rujuk Kementerian Luar Negeri Taiwan).

3- INDONESIA

Indonesia mengenakan larangan kemasukan semua pelawat yang mengembara atau transit China dalam 14 hari yang telah berlalu, menggantung penerbitan visa-on-arrival, dan menggantung semua penerbangan antara Indonesia dan China, berkuat kuasa 2 Februari. (Rujuk Reuters).

4- FILIPINA

Filipina mengenakan larangan kemasukan ke atas semua warganegara asing yang berasal dari China dan khususnya wilayah Pentadbiran, dan melarang perjalanan keluar kepada rakyat Filipina ke China, berkuat kuasa 2 Februari. Filipina menggantung perjalanan bebas visa dari China, berkuat kuasa 27 Januari. (Rujuk Biro Imigresen Filipina).

5- BRUNEI

Brunei mengenakan larangan kemasukan kepada mana-mana pelawat yang telah melawat Hubei dalam masa 14 hari yang lalu dan sesiapa yang memegang passport dari China yang berwilayah di Hubei, berkuat kuasa 31 Januari. (Rujuk Kementerian Kesihatan Brunei)

6- ITALY

Italy menggantung semua penerbangan dari dan ke China, termasuk Hong Kong, Macau, dan Taiwan, berkuat kuasa 31 Januari. (Rujuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Italy).

7- JAPAN

Japan mengenakan larangan kemasukan ke atas semua warganegara asing yang pernah menetap di wilayah Hubei dalam tempoh 14 hari yang lalu atau yang memiliki passport China yang berwilayahkan Hubei, berkuat kuasa 1 Februari. (Rujuk kenyataan Perdana Menteri Jepun). Jepun mengenakan larangan kemasukan ke atas warga asing yang tinggal di wilayah Zhejiang atau yang memegang passport dari Zhejiang, berkuat kuasa 13 Februari (Rujuk kenyataan Perdana Menteri Jepun).

8- SINGAPURA

Singapura mengenakan larangan kemasukan ke atas warga asing yang melawat China dalam tempoh 14 hari yang lalu, berkuat kuasa 29 Januari. Singapura menggantung visa termasuk visa yang telah dikeluarkan ke atas pemegang passport China, berkuat kuasa 29 Januari (Rujuk kenyataan Kerajaan Singapura).

9- KOREA SELATAN

Korea Selatan mengenakan larangan kemasukan ke atas warga asing yang telah ke Hubei dalam tempoh 14 hari yang lalu, berkuat kuasa 4 Februari. (Rujuk Kenyataan Perdana Menteri Korea Selatan).

10- TURKI

Turki menggantung semua penerbangan dari China, berkuat kuasa 31 Januari (Rujuk Reuters)

11- UNITED STATE

US mengenakan larangan masuk ke atas semua warga asing yang berada di China, tidak termasuk Taiwan, Hong Kong, dan Macau dalam masa 14 hari yang lalu, berkuat kuasa 2 Februari. (Kenyataan dari White House).

12- UNITED KINGDOM

UK British Airways menghentikan laluan harian ke Beijing dan Shanghai. Virgin Atlantic (Syarikat Penerbangan) menghentikan penerbangan ke Shanghai selama 14 hari bermula dari 1 Februari. (rujuk Bloomberg)

Kalau tgk kpd fakta ni, jelas tarikh sekatan kemasukan dan pergantungan penerbangan tidak lari jauh. Setiap penularan kes yg ada di negara2 terlibat adalah berbeza, jadi sudah pasti tarikh sekatan dan pergantungan pun tidak akan sama.

Ada negara sekat total kemasukan pada tarikh tertentu, ada yang gantung penerbangan pada tarikh yg lain pula, ada yg sekat hanya kpd wilayah yg kritikal mcm Hubei, Zhejiang, dll. Ada yg sekat (ban) perjalanan, gantung penerbangan dan batalkan visa pada tarikh yg sama.

Wilayah yang di-lockdown di China ialah Wuhan. Semua Negara tidak keluarkan arahan sekat perjalanan atau gantung penerbangan sebab memang Kerajaan China sendiri yang sekat, sama juga selepas itu Wilayah Hubei.

Konklusinya, peningkatan kes & kematian bukan semuanya berpunca dari langkah sekatan dan pergantungan penerbangan tetapi lebih kpd kesiapsiagaan negara yng terlibat untuk membasmi Covid-19, dan perangai degil rakyat untuk patuhi arahan, di samping fasiliti dan alat teknologi negara yang terlibat sama ada kurang atau mencukupi.

Wuhan dan beberapa wilayah Hubei lockdown pasa 23 Januari.

Rujukan

https://www.thinkglobalhealth.org/article/travel-restrictions-china-due-covid-19

https://www.bloomberg.com/news/articles/2020-02-02/coronavirus-these-countries-airlines-restrict-travel-to-china

https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/photos/a.390879946236/10156849936081237/?type=3&theater

https://www.theguardian.com/world/2020/mar/21/coronavirus-asia-acted-west-dithered-hong-kong-taiwan-europe

https://en.m.wikipedia.org/wiki/2020_Hubei_lockdowns

w.faudzin