Covid 19: Masa untuk kerajaan belanjakan simpanan – Pakar Ekonomi
Kerajaan Malaysia wajar menggunakan simpanannya untuk suntikan ekonomi pada saat kecemasan diserang wabak Covid 19.
Demikian pendapat penasihat ekonomi bekas PM Dr Mahathir Mohamad yang mencadangkan pakej rangsangan ekonomi lebih besar dilaksanakan serta merta dengan 3 strategi utama
Muhammed Abdul Khalid berkata, Putrajaya perlu membantu rakyat Malaysia yang hilang mata pencarian, terutamanya pekerja yang bekerja secara sendiri dan pekerja yang mempunyai pendapatan kurang RM5,000 sebulan.
Menurutnya, di peringkat permulaan RM1,000 boleh diberikan kepada pekerja yang bekerja sendiri dan bagi pekerja yang makan gaji, Putrajaya boleh memberikan subsidi gaji sebanyak RM1,000 sebulan kepada majikan bagi memastikan tidak ada isu pembuangan pekerja.
“Untuk permulaan, ia boleh dilaksanakan selama 3 bulan bermula April ini. Ini akan menelan belanja sebanyak RM26 bilion,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Muhammed turut mencadangkan supaya cukai perniagaan dikurangkan kepada semua syarikat dan individu bagi tahun ini. Bahkan, bank dan syarikat pembiayaan juga disyorkan mengurangkan hutang pinjaman untuk beberapa bulan.
Katanya, rancangan dalam pakej rangsangan terdahulu yang memberi penangguhan membayar cukai dan bantuan pinjaman kewangan kepada syarikat kecil dan sederhana tidak memadai.
Menurutnya, banyak syarikat akan gulung tikar dan akan memberi impak negatif untuk jangka masa panjang.
“Jika kita secara konservatif unjurkan 10% syarikat kecil dan sederhana gulung tikar, ini bersamaan dengan 1 juta akan hilang pekerjaan. Ini harus dielak sama sekali.
“Matlamat utama strategi ini adalah untuk memastikan syarikat kecil dan sederhana bertahan,” katanya.
Bukan itu sahaja, Muhammed juga mencadangkan bantuan besar-besaran diberikan kepada pengeluar makanan secepat mungkin bagi memastikan negara tidak menghadapi masalah bekalan makanan.
Menurutnya, Putrajaya mengimport hampir 25% jumlah bekalan makanan atau lebih RM50 bilion setahun.
Jelasnya, krisis yang dialami akibat wabak Covid-19 ini pasti akan merencatkan pengeluaran bekalan makanan ke Malaysia pada masa terdekat ini.
Katanya, Tabung AgroFood RM1 bilion Bank Negara Malaysia (BNM) dalam pakej rangsangan pertama itu haruslah dibesarkan secepat mungkin kepada sekurang-kurangnya RM10 bilion.
“Matlamat utama strategi ketiga adalah untuk kita tidak kelaparan dan kebuluran. Ia juga menggalakkan aktiviti pengeluaran makanan, terutamanya bagi memenuhi permintaan domestik.
“Harga barang makanan utama juga diletak dalam kawalan, supaya peniaga tidak menaikan harga barang sesuka hati,” katanya.
Tambahnya, Putrajaya tidak perlu bimbang mengenai defisit fiskal, jumlah hutang negara, kadar pertumbuhan ekonomi, tanggapan “credit rating agencies”, ataupun berpolitik.
Katanya, lebih penting adalah ketelusan dan kecerahan polisi, dan keberkesanan perlaksanaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat.
“Harus diingatkan kembali, objektif kita hanya satu, iaitu ‘survival’, yang lain, kita ketepikan dahulu. Tidak ada ertinya jika kita masih mahukan kadar pertumbuhan ekonomi positif, dan kedudukan fiskal elok dan molek, jika rakyat mati dan negara huru-hara.
“Pada waktu kecemasan beginilah masanya untuk kita berbelanja untuk rakyat, dan gunakan simpanan negara seperti Kumpulan Wang Amanah Negara yang berjumlah hampir RM17 bilion dan rizab negara yang melebihi RM400 bilion.
“Apa gunanya menyimpan sehingga beratus bilion ringgit jika tidak mahu menggunakannya semasa kecemasan sebegini? Inilah fungsi simpanan.
“Jika Kementerian Kewangan dan kerajaan masih kedekut dan ‘in denial’, akibatnya ramai rakyat Malaysia akan menerima padah.
“Masa untuk bertindak adalah sekarang,” katanya.