Sepanjang perbahasan dan pengundian di peringkat Kementerian
yang sedang berlangsung di Parlimen sekarang, nampaknya Warisan langsung tidak
menunjukkan minat membawa suara rakyat.
Di peringkat pengundian belah bahagi yang telah berlangsung
setakat ini, parti Warisan seolah-olah melupakan tanggungjawab mereka untuk
menentang segala kepincangan yang berlaku di peringkat bajet kementerian di
mana ahli-ahli Parlimen Warisan tidak mengambil bahagian hanya kerana dikatakan
tidak berpuas hati dengan Anwar Ibrahim. Apakah dengan mendendami Anwar maka
nasib rakyat khususnya di Sabah akan terbela?
Ini bukan soal sokong Anwar sebagai Ketua Pembangkang atau
sebagai PM. Ini waktu pengundian bajet di setiap kementerian dan ini lebih
terperinci dan lebih utama dari pengundian di peringkat dasar. Apakah apa yang
diumumkan di peringkat dasar itu benar-benar direalisasikan dengan betul atau
hanya perisa di dalam bajet sahaja?
Hari ini difahamkan satu usul yang amat penting yang akan dibawa
oleh wakil dari Sabah sendiri untuk rakyat Sabah. Saya penuh yakin, semua MP
dari PH tiada masalah untuk menyokong usul ini dan akan menentang apa jua
keputusan dari pihak kerajaan yang merugikan rakyat termasuk di Sabah. PH tetap
berjuang untuk rakyat Sabah.
Persoalannya, adakah semua MP dari Warisan masih kekal dengan
keputusan untuk boikot pengundian hanya kerana mahu tunjuk keegoaan mereka?
Rakyat Sabah hari ini mahu melihat wakil rakyat mereka berjuang untuk mereka
bukannya untuk melihat wakil rakyat yang mereka pilih bermain politik dendam.
Mengapa harus ikut telunjuk Mahathir sehingga sanggup mengabaikan kepentingan
Sabah? Apakah setelah Warisan tidak lagi menjadi kerajaan negeri maka
terhentilah tanggungjawab mereka terhadap kepentingan Sabah?
PH sentiasa komited dengan agenda rakyat. Kita membenarkan bajet
dasar ini tanpa kita membantah keras dengan mengadakan undian belah bahagi
adalah kerana ingin melihat sejauh mana kerajaan PN serius di dalam
melaksanakan apa yang mereka bentangkan. Apabila ada kepincangan, kita
menolaknya di dalam undian di peringkat ini. Kalah menang soal kedua, tetapi
kita harus beritahu rakyat bahawa PH bukan bermain politik di dalam perkara
besar seperti bajet ini.
Saya harap Warisan akan berani bersuara untuk rakyat. Jika isu
rakyat Sabah pun Warisan tidak mampu perjuangkan, biarkan saja kami di dalam PH
akan mempertahankannya. Jangan izinkan MITI di bawah Azmin memperkotak-katikkan
kepentingan Sabah.
WFAUZDIN NS