UMNO SELANGOR PATUT JADI NEGERI PERTAMA PUTUS HUBUNGAN DENGAN BERSATU

 Ini penegasan UMNO Selangor:

Pengerusi UMNO Selangor, Noh Omar mengingatkan Bersatu negeri itu agar jangan mengganggu kerusi-kerusi yang dimenangi UMNO pada PRU lalu.

Menurut beliau, jika parti serpihan UMNO itu masih berdegil, mereka tiada pilihan lain melainkan terpaksa melawannya.

“Hasrat ini telah saya sampaikan kepada Presiden UMNO dan Presiden Pas di Selangor agar UMNO dan Pas tidak bertembung, namun kalau Bersatu cuba nak ganggu kawasan kita, UMNO tiada pilihan melainkan terpaksa melawan Bersatu.

“Jadi saya minta kepada Bersatu, tolong kaji balik Pusat Daerah Mengundi (PDM) mana yang mereka menangi, tolong tengok dan buat kajian betul-betul,” katanya lagi.

Tegas Noh, UMNO sekali lagi mengulangi pendirian hanya mengiktiraf Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai dengan Pas sebelum ini.

“Kita di Selangor berpegang kuat kepada prinsip tetap akan bersama dengan Pas dan pendirian kita jelas bagi memastikan tidak berlaku sebarang pertembungan dengan parti itu.

“UMNO tiada pilihan lain sekiranya Bersatu tetap berdegil untuk meletakkan calon di kawasan yang pernah dimenangi UMNO sebelum ini,” tambah Noh.

Ini pula jawwpan balas Bersatu:

Pengerusi Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari berkata, pihaknya masih berusaha berunding dengan UMNO mengenai pengagihan kerusi di negeri itu namun bersedia “bertembung” pada PRU akan datang jika terpaksa.

Beliau mengakui bahawa UMNO Selangor setakat ini menolak usaha Bersatu untuk berunding merungkai isu pengagihan kerusi di negeri itu

“Jika (kena) bertembung (dengan UMNO), maka bertembunglah. Hendak buat macam mana lagi.

“Sudah jelas rakyat Selangor tidak menerima UMNO sebagai kerajaan. Jadi, kita akan teruskan agenda kita bawah Perikatan Nasional (PN),” ujar beliau.

Rashid berkata, pengundi Selangor telah menolak UMNO dalam tiga PRU lalu dan jelas, perlu ditawarkan alternatif baru dalam bentuk PN yang menggabungkan PPBM dan PAS sebagai tonggak utamanya.

“Kita akan teruskan perbincangan dengan UMNO tetapi kalau mereka menolak perbincangan, pertemuan, apa lagi yang kita hendak buat.

“Saya akan cuba teruskan perbincangan, perjumpaan dengan mereka, itu pun sekiranya mereka sudi,” kata beliau lagi.

Apa lagi patut dilakukan?

Dengan pendirian UMNO itu, mereka sepatutnya menjadi negeri pertama memutuskan hubungan dengan Bersatu?

Berani ke?

 (Shahbudindotcom 26/12/2020)