Tidak ada makna jika bersatu untuk jadi penyamun - Anwar



Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penyatuan parti dan pemimpin-pemimpin politik untuk membentuk gabungan mentadbir kerajaan akan menjadi tidak bermakna jika mereka akhirnya tidak menegakkan keadilan dan meringankan beban rakyat.

Presiden KEADILAN itu berkata, setiap penyatuan perlu disusuli dengan perubahan dan membawa perjuangan yang bermakna.

"Reform adalah perubahan sedaya-upaya. Sebelum ini ramai pihak menyatakan soal penyatuan orang Melayu dan rakyat Malaysia. Dua-dua ada kebaikannya tetapi untuk apa Melayu bersatu? Untuk apa kita satukan Melayu Cina India Iban Kadazan?

"Perpaduan adalah untuk satu cita-cita yang lebih murni dan luhur. Tidak ada maknanya bersatu tanpa usaha untuk menegakkan dan pertahankan keadilan. Tidak ada maknanya bersatu seperti dalam filem P. Ramlee, Ali Baba Bujang Lapok, bersatu menjadi penyamun.

"Yang tempangnya ialah kerana tidak ada hasrat tegas pertahankan keperluan reform, menegakkan keadilan dan menegakkan kebenaran, termasuk yang menyuarakan dan menuntut penyatuan besar dan gagasan baru, membawa perubahan ke arah kebaikan," katanya ketika menghadiri Majlis Peluncuran Buku: "100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008 - 2011" karya Dinsman di Institut Darul Ehsan.

Anwar juga berpendapat, Pakatan Harapan (PH) yang diterajuinya masih perlu memperbaiki dan meraih kepercayaan rakyat terutamanya dalam soal integriti selepas peristiwa Langkah Sheraton.

"Alhamdulillah, kita berjaya pada 2018 tapi kita kurang berjaya kerana perubahan dalam PH tidak mampu mempamerkan kepada rakyat bahawa kita sebenarnya mewakili kelompok yang mahu pembaharuan yang membantah rasuah tanpa mengira kelompok.

"Kita bantah keras rasuah 1MDB dan pemimpin UMNO tapi kita banyak tolak ansur dengan rasuah dalam kalangan puak-puak kita di antara yang menjadi pengkhianat besar.

"Ini yang saya katakan hilang idealisme dan hilang paksi perjuangan," katanya.

Pada masa sama, Anwar mengakui PH perlu berusaha keras untuk mendapatkan sokongan dari orang Melayu.

"Adakah kita perlukan dukungan orang Melayu? Ya. Adakah kita ada masalah Melayu yang masih tak terjawab, tak mampu dibereskan? Ya. Seperti tentang mutu dan martabat bahasa Melayu itu belum selesai.

"Sementara kita berkuasa selama 22 bulan, kadang-kadang kenyataan kita bercanggah dengan hasrat untuk memartabatkan bahasa Melayu," katanya.

Anwar juga sempat mengkritik pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang gagal menangani isu kemiskinan ketika berdepan dengan pandemik Covid-19.

"Soal rasuah keborosan, kemewahan, pembaziran dan kronisme masih berterusan. Bencana Covid-19 tidak memiskinkan semua rakyat, ia mampu menjadikan kelompok kecil lebih kaya.

"Orang yang pegang monopoli kejayaannya melambung tapi saya harap mereka ada sedikit rasa cinta seni dan hati merasakan seharusnya berbuat sesuatu kepada rakyat.

"Tanpa keamanan dan politik yang stabil, tanpa penjawat awam, penjaja, pekerja dibawah tak mungkin syarikat ini mencatatkan kekayaan besar.

"Ada orang seperti bina mahligai atas pusara rakyat. Ini kita sering tegur di Parlimen, bagaimana pemimpin politik hanya memikirkan kedudukan mereka dan kurang pertimbangkan masalah rakyat.

"Maknanya selagi rasuah itu jadi sistemik di negara kita tak mungkin kita dapat selesaikan masalah. Tokoh politik yang berpeluang bawa perubahan mesti tegas bagi menjamin keselesaan hidup rakyat," katanya.