Dah dua tahun saya tak ambil tahu mengenai perjalanan politik
negara atau parti. Memang niat saya untuk tinggalkan politik ini kepada yang
lain.
Kebelakangan ini ramai yang berhubung bertanya mengenai dakwaan
Akmal Nasir yang kononnya menghina Anwar Ibrahim
Ini pandangan saya.
Pandangan saya diketahui umum oleh reformis dan veteran parti.
Ramai juga yang tahu dan sedar yang ada beberapa kerat yang
mengelilingi Saudara Anwar ini adalah opportunis haprak yang membawa budaya
berbahaya dalam parti: mereka bawa budaya gangster dan politik wang menabur
duit dan janji.
Saya pernah tegur Saudara Anwar sejak dua tahun lalu.
Jadi teguran Saudara Akmal ada asasnya.
Saudara Anwar perlu pandai pilih orang kelilingnya yang menjadi
penjaga tol ke pejabatnya.
Dulu pilih Azmin, tengok apa yang jadi.
Yang ada sekarang ni pun dua kali lima. Semasa kita berjuang dan
keluar masuk lokap untuk membebaskan Anwar, dia tak pernah ada pun.
Bila dah menang tahun 2018, berhari-hari dia berkampung di depan
Hospital Cheras untuk mula menempel. Tiba-tiba menjadi pembela parti dan orang
paling setia kepada Anwar Ibrahim, sedangkan tindak tanduk mereka boleh
menjatuhkan parti dan Anwar Ibrahim.
Sekarang mereka mula pula sasarkan pimpinan seperti Akmal untuk
diburukkan supaya mana-mana pimpinan yang boleh ada pandangan bebas dan
kekuatan yang boleh mengancam mereka menjadi pembodek tegar; perlu disingkirkan
dengan cara ini.
Orang tanya saya kenapa saya tak berminat. Tak kasihankan dengan
Anwar Ibrahim?
Saya jenis yang tak suka bercakap benda yang sama
berulang-ulang. Kalau dah nasihat itu telah diberi dan nampaknya tidak
berkesan, maka biarlah Saudara Anwar tanggung sendiri risiko menyimpan
jenis-jenis opportunis di keliling beliau.
Saya nasihatkan kepada semua yang berhasrat menunggang parti ini
demi kekayaan dan kedudukan peribadi - lebih baik jangan kacau saya.
Saya mungkin tidak berminat untuk turut serta; tapi saya masih
benci jenis-jenis politikus yang banyak merosakkan nama baik politik. Dalam
mana-mana parti, ada saja species ini.
Kalau species ini banyak buat kacau, boleh saja saya kacau
balik.