Kalau Pejuang tidak lulus, kami bertanding atas tiket parti lain, kata Mukhriz
PETALING JAYA: Pejuang, yang pendaftarannya sebagai parti politik berdepan kelewatan, terbuka untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-15 atas tiket parti lain.
Pemimpinnya, Mukhriz Mahathir, berkata calon-calonnya tidak akan bertanding sebagai calon Bebas, maka antara pilihan yang ada adalah bertanding atas tiket parti lain, seperti parti Sabah, Warisan, sekiranya pendaftaran pejuang tidak diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
“Sebaik-baiknya kita mestilah sebahagian daripada satu parti politik, ada beberapa pilihan, kita akan pertimbangkan perkara tersebut,” katanya kepada Sinar Harian ketika menjawab pertanyaan apakah Warisan boleh melebarkan sayap ke Semenanjung.
Ditanya tentang persediaan Pejuang berdepan PRU-15, Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, pihaknya belum membuat sebarang keputusan.
“Kita kena muhasabah diri, kena ukur baju di badan sendiri… kita pasang cita-cita terlampau tinggi, padahal kita tidak berkemampuan, nak berjuang seorang memang sukar tetapi keputusan atau pendekatan itu akan dilaksanakan sebelum PRU-15 nanti.”
Bekas menteri besar Kedah itu juga menegaskan partinya belum menerima sebarang surat rasmi daripada JPPM, walaupun sudah memenuhi semua syarat dan bertemu pegawai jabatan itu.
Awal bulan ini, Pejuang memohon semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, dengan setiausaha agung penaja, Amir Amiruddin Hamzah, memohon parti itu didaftarkan dalam tempoh tujuh hari selepas mahkamah membuat keputusan berdasarkan Seksyen 7 Akta Pertubuhan.
Menurut Mukhriz, mahkamah menetapkan 7 Januari tahun depan sebagai sebutan semula kes.