Oleh Lim Guan Eng
(Ahli Parlimen Bagan merangkap Setiausaha Agung DAP)
Pulau Pinang “Dikhianati” Lagi Oleh Perikatan Nasional (PN) dan MCA Dengan Penamatan Perkhidmatan Feri Pulau Pinang Yang Berusia 126 Tahun Berikutan Keengganan Kerajaan Untuk Meneruskan Komitmen PH Sebelum Ini
Pulau Pinang “dikhianati” sekali lagi oleh PN dan MCA dengan penamatan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik, yang telah beroperasi selama 126 tahun, berikutan keengganan kerajaan untuk meneruskan komitmen PH sebelum ini. Menurut Suruhanjaya Pelabuhan Penang (PPC), perkhidmatan feri Pulau Pinang yang mengangkut penumpang dan kenderaan antara pulau dan Seberang Perai akan berhenti beroperasi mulai 1 Januari tahun depan, dan akan diganti dengan bot laju yang hanya membawa pejalan kaki, basikal dan motosikal.
Kerajaan Persekutuan PH sebelum ini telah memindahkan perkhidmatan feri Pulau Pinang kepada Penang Port Sdn Bhd (PPSB) daripada Prasarana Bhd, dengan pemahaman bahawa feri Pulau Pinang yang ikonik harus dikekalkan bersama dengan pembayaran tunai sebagai insentif. Bukan hanya orang Pulau Pinang tetapi ramai rakyat Malaysia yang gemar menggunakan perkhidmatan feri Pulau Pinang untuk berulang-alik ke Penang kini sedih dengan keputusan Kerajaan PN untuk menghentikan perkhidmatan feri yang didorong oleh statistik dan ekonomi, bukannya emosi atau politik.
Keputusan tidak sensitif dan tidak berperasaan ini mengabaikan warisan dan sejarah unik Pulau Pinang, yang berperanan penting sebagai penjana ekonomi pelancongan. Menamatkan perkhidmatan feri akan membuang keseronokan pergi ke Pulau Pinang dengan cara tradisional, memandangkan George Town adalah sebuah bandar Warisan Dunia UNESCO. Warisan dan sejarah adalah sesuatu yang tidak dapat dibeli oleh wang dan harus dipelihara untuk generasi akan datang.
Untuk menyelamatkan perkhidmatan feri, Kerajaan Pulau Pinang telah menawarkan untuk mengambil alih keseluruhan perkhidmatan pengangkutan air dan feri Pulau Pinang pada tahun 2015 dengan menanggung semua perbelanjaan. Sayangnya, Kementerian Pengangkutan pada tahun 2016 menolak untuk memberikan kuasa penuh kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan berkeras untuk melaksanakan pengawalseliaan terhadap pengangkutan air dan perkhidmatan feri di Pulau Pinang, walaupun Kementerian Pengangkutan tidak menanggung perbelanjaan yang terlibat.
Ini bukan kali pertama warga Pulau Pinang “dikhianati” oleh kerajaan PN. RM100 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 untuk membina kereta kabel di Bukit Bendera juga dimansuhkan. Jaminan pinjaman bank yang dijanjikan oleh Kerajaan PH sebelum ini untuk membina LRT bagi mengatasi kesesakan lalu lintas yang tenat di Pulau Pinang dan Seberang Perai juga dibatalkan.
DAP mendesak Kementerian Pengangkutan supaya ada rasa belas kasihan, tidak mengabaikan Pulau Pinang dan menamatkan perkhidmatan feri yang ikonik. Banyak negara asing masih mengekalkan perkhidmatan feri asal mereka walaupun mungkin tidak bersifat ekonomi kerana nilai intrinsik dan nilai tidak ketara kepada warisan dan sejarah.