SEDIAKAH MAHATHIR UNTUK BENAR2 TERBUKA?

 

Pakatan Harapan (PH) boleh mengundang sesiapa saja untuk bekerjasama termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, asalkan berpegang pada prinsip perjuangan gabungan itu.

Pengerusi PH, Anwar Ibrahim berkata, pihak yang diundang tidak boleh membawa agenda peribadi serta kerosakan ke dalam gabungan tersebut.

“Itu saya serah pada PH. Siapa pun boleh undang, tapi perlu patuh pada prinsipnya.

“Bukan bawa agenda peribadi dan meneruskan kebobrokan yang lama,” katanya lagi.

Begitu pun, Anwar ketika ditanya mengenai keinginan Tun Mahathir untuk kembali menerajui negara, berkata, perkara berkenaan sudah tidak relevan lagi dibangkitkan sekarang ini.

Tegasnya, siapa saja yang ingin menjadi Perdana Menteri harus mempunyai tekad untuk melaksanakan reformasi dan tadbir urus yang baik untuk negara.

“Bagi saya soalan itu tidak relevan…tidak peduli siapa pun, dari parti mana, mesti ada komitmen untuk memerangi rasuah dan tidak melindungi keluarga dan kroni.

“Komited untuk memperjuangkan dan membantu penderitaan orang miskin di luar bandar, masyarakat terpinggir harus menjadi keutamaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berpendapat, kemasukan Tun Mahathir ke dalam PH harus membuka jalan ke arah merealisasikan perjanjian asal menyokong Anwar untuk memimpin negara seperti yang dijanjikan selepas PH memenangi PRU14 lalu.

“PH harus kembali kepada perjanjian asal di mana mandat rakyat dalam PRU14 adalah jelas iaitu menyokong Anwar untuk memimpin negara selepas Tun Mahathir.

“Justeru, saya percaya Amanah boleh meyakinkan Tun Mahathir untuk mendokong segala usaha Anwar mengembalikan semula mandat rakyat yang telah dikhianati,” ujar Shamsul lagi.

Dalam hal ini, sediakah Tun Mahathir untuk akur menerima prinsip perjuangan PH dan menyokong Anwar untuk menduduki kerusi Perdana Menteri?

Anwar dan PKR nampaknya telah menunjukkan keterbukaan, tetapi apakah Tun Mahathir benar-benar terbuka? 


(Shahbudindotcom 29/12/2020)