Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, mana-mana pihak tidak perlu meminta parti itu “memilih sama ada hendak bersama Muafakat Nasional (MN) atau tidak.”
Ini kerana, katanya, PAS adalah antara watak utama yang merangka dan berusaha menubuhkan MN atas dasar penyatuan ummah di negara ini.
“Justeru, PAS berpandangan MN bukanlah milik eksklusif sesuatu parti atau kelompok, sebaliknya harus dibuka kepada semua kalangan yang cintakan perpaduan, keharmonian dan keadilan,” jelasnya pada satu kenyataan.
Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri seterusnya berkata, PAS tetap mengekalkan komitmen yang mantap dalam “agenda besar MN.”
“Adalah jelas dari sudut pendekatan dan strategi politik tiada suatu pun halangan yang dikenakan untuk UMNO daripada kekal bersama BN mahupun untuk PAS dari menyertai manamana gabungan atau kerjasama politik yang lain.
“Apa yang penting adalah gabungan UMNO dan PAS boleh malah perlu bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai cita-cita yang sama untuk menghadapi PRU15 dengan suatu persefahaman yang jitu khususnya tiada pertembungan sesama sendiri yang menguntungkan pihak lain.
“PAS amat yakin bagi mencapai cita-cita dan hasrat ini semua pihak perlu meneroka jalan damai dan saling menerima serta hormat menghormati, bukan sebaliknya,” katanya lagi.
Inilah reaksi Pas terhadap desakan UMNO agar parti itu membuat pilihan sama ada mahu kekal dengan MN atau ingin bersama PN.
Apa yang nyada, nada Pas dalam soal hubungan dengan UMNO sudah berbeza antara sebelum menjadi kerajaan dengan setelah berada dalam kerajaan sekarang.
Dulu, komitmen Pas untuk bersama UMNO terlihat amat tinggi, tetapi sejak berada dalam kerajaan, pendirian Pas terhadap UMNO ialah “jangan desak-desak kami membuat pilihan”.
Bahkan, Pas juga sudah berani berkata kepada UMNO agar jangan menganggap MN hak eksklusif mereka semata-mata.
Sementara UMNO ingin kembali menjadi kuasa yang dominan, antaranya melalui MN, Pas sebaliknya lebih ingin mempertahankan Bersatu sebagai pemegang kuasa di negara ini.
Hakikat bahawa Bersatu hanya parti kecil dan serpihan tidak diambil kira oleh Pas, yang mereka nampak ialah melalui Bersatu dan sokongan kepada Muhyiddin Yassin, banyak nikmat dunia, nikmat jawatan dan nikmat kedudukan dapat diraihnya.
Itulah Pas….dulu lain sekarang lain.
Kepada UMNO, janganlah berasa hairan dan banyak-banyaklah bersabar jika Pas didapati bersikap dulu lain sekarang lain kerana dalam perjuangannya pun, Pas sudah jadi dulu lain sekarang lain juga.
Sebab itu, apa yang diperjuangkan Pas ketika menjadi pembangkang dulu, bukan saja tidak lagi menjadi keutamaannya, bahkan disebutnya pun tidak lagi.
Lebih daripada itu, banyak pula benda-benda baik yang diperjuangkan dulu dan boleh dibaca di media rasminya turut sudah pun “didelete” sekarang ini.
Nampaknya, ulama, lebai, mereka yang berkopiah dan selalu bercakap dengan selang seli ayat Al-Quran serta Hadis di bibir lebih dulu tumbang dengan godaan dunia ini.
(Shahbudindotcom 31/12/2020)