Sepanjang 8 bulan lalu Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Harapan
berjaya menyediakan peluang pekerjaan buat lebih 17,000 orang.
Hal ini didedahkan dalam jawapan balas Kementerian Sumber Manusia kepada pertanyaan Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin baru-baru ini.
Menurut Sim, beliau tahu ramai yang kehilangan kerja semasa pandemik Covid 19 namun sejauh manakah keadaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan bulan Mac?
Dalam pertanyaan bertulis, Sim menyoal mengenai isu pengangguran di Pulau Pinang dan Daerah Barat Daya.
Jawapan kementerian pula berdasarkan rekod kehilangan pekerjaan dan juga pencari kerja aktif yang dikendalikan oleh Perkeso.
"Berdasarkan rekod Perkeso dari Mac 2020 sehingga 31 Oktober 2020, jumlah pekerja yang terlibat dengan kehilangan pekerjaan di Pulau Pinang adalah seramai 8,902 orang manakala jumlah pencari kerja pula seramai17,846 orang.
"Seramai 11,025 orang telah berjaya ditempatkan dari Mac sehingga 31 Oktober 2020. Jumlah yang telah mendapat pekerjaan semula dari kalangan mereka yang terlibat dengan kehilangan pekerjaan seramai 3,692 orang.
"Dari Mac 2020 sehingga 31 Oktober 2020 bagi kawasan Daerah Barat Daya Pulau Pinang, seramai 2,148 orang pekerja telah berjaya ditempatkan dan jumlah kehilangan pekerjaan pula adalah seramai 1,140 orang pekerja," kata kementerian dalam jawapan secara bertulis.
Fakta tersebut memperakui Pulau Pinang masih menjadi tempat pelaburan sektor pembuatan dan berjaya mengekalkan peluang pekerjaan kepada penduduknya.