PERMOHONAN MAAF ZAHID HAMIDI ANCAM MASA DEPAN UMNO

 

Walaupun krisis politik di Perak boleh dianggap sudah selesai dengan Bersatu dan Pas akhirnya setuju menerima Saarani Mohamad sebagai calon Menteri Besar yang baharu, tetapi ia dibayar dengan harga yang mahal apabila Presiden UMNO, Zahid Hamidi terpaksa meminta maaf atas kekhilafan menjatuhkan Ahmad Faizal Azumu melalui tipu daya undi percaya.

Berikutan persetujuan menerima Saarani itu, Istana Perak kemudian memaklumkan majlis angkat sumpah Saarani sebagai Menteri Besar akan diadakan pada jam 11 pagi esok.

Dengan itu juga, janji Pas sebelum ini tidak mahu terlibat dalam pembentukan kerajaan baharu kerana kecewa dengan cara Peja dijatuhkan turut bersepai umpama debu-debu berterbangan di udara.

Bersetujunya Bersatu dan Pas menerima Saarani, bermakna mereka tentulah mengharapkan dilantik mengisi jawatan Exco Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar baharu itu.

Begitulah lumrahnya dalam politik, dalam kuatnya jerit pekik mempertahankan prinsip kononnya, akhirnya terkulai juga kepada nikmat jawatan serta gaji lumayan yang sayang untuk dilepaskan.

Begitu pun, dalam penyelesaian krisis di Perak ini, apa yang menimbulkan kemusykilan ialah tindakan Zahid Hamidi meminta maaf atas perbuatan Adun-Adun UMNO menumbangkan Peja yang dianggapnya sebagai suatu kekhilafan.

Mengapa perlu meminta maaf dan menganggap tindakan menjatuhkan Peja suatu kekhilafan?

Bukankah sepertimana yang disebut oleh Nazri Aziz, perbincangan untuk menjatuhkan Peja ini sudah dilakukan sejak dua bulan yang lalu lagi?

Kalau sudah dibincang sejak dua bulan yang lalu, bagaimana boleh dikata tindakan Adun-Adun itu suatu kekhilafan?

Dalam hal ini, apakah Zahid Hamidi secara sukarela memohon maaf agar Bersatu dan Pas sedia bertolak ansur menyokong calon Menteri Besar daripada UMNO atau beliau sebenarnya telah dipaksa untuk meminta maaf?

Namun, dengan permohonan maaf yang dibuat Zahid Hamidi itu, yang nyata ia telah meletakkan UMNO dalam keadaan terhutang budi kepada Bersatu dan Pas kerana memberi persetujuan kepada Saarani untuk dilantik sebagai Menteri Besar.

Ia dalam waktu yang sama menjadikan Bersatu dan Pas berasakan mereka adalah kuasa penentu dalam sebarang perundingan dengan UMNO di masa akan datang.

Dengan itu, dalam persiapan bagi menghadapi PRU15 akan datang, Bersatu yang sudah bergabung kukuh dengan Pas bila-bila masa saja boleh menekan UMNO, bukan saja untuk terus memberi sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, malah agar Bersatu diberikan lebih banyak kerusi berbanding UMNO.

Oleh kerana Zahid Hamidi sudah meminta maaf dan Bersatu bersama Pas pula telah bertolak ansur memberikan jawatan Menteri Besar Perak kepada UMNO, apa lagi yang Presiden UMNO itu mampu mempertahankan kepentingan parti dalam soal pembahagian kerusi pada PRU akan datang?

Tambahan lagi, dalam percaturan politik melibatkan UMNO, Bersatu dan Pas ini, yang ternampak berkuasa dan mengatur segala-galanya ialah gandingan tiga serangkai – Hamzah Zainuddin, Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan.

Hamzah adalah Setiausaha Agung Bersatu, Annuar merupakan Setiausaha Agung BN dan Takiyuddin pula adalah Setiausaha Agung Pas.

Kepintaran tiga serangkai ini menonjolkan diri telah menyebabkan Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan terpinggir dan diketepi dalam banyak perkara.

Dalam kenyataan media terbaru berkenaan penyelesaian krisis di Perak ini, walaupun tertera logo UMNO bersama logo Bersatu dan Pas dalam siaran media yang diedarkan, tetapi UMNO jelas diwakili oleh Annuar dan bukannya Ahmad Maslan.

Dengan urusan UMNO sendiri nampaknya sudah “dihijack” oleh Annuar sebagai Setiausaha Agung BN yang lebih pro Bersatu, sebenarnya masa depan yang gelap sedang menanti UMNO jika terus bersama kerajaan PN ini sehingga detik PRU15 akan datang.

UMNO mungkin berjaya mengalahkan Bersatu di Perak, tetapi kekalahan lebih besar sedang menanti di laluan masa depannya. 

(Shahbudindotcom 09/12/2020)