Saranan
Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Hizwan Ahmad agar
pembangkang memilih Ketua Pembangkang yang baharu seperti 'menepuk air di
dulang kena ke muka sendiri'
Bagi Setiausaha Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Syukri Razab, saranan itu sepatutnya ditujukan kepada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Perikatan Nasional (PN), bukan kepada pihak pembangkang.
Katanya, realitinya PN bergolak jauh lebih hebat berbanding Pakatan Harapan (PH).
"Pertelingkahan dalaman PN bukan lagi masalah yang boleh disembunyikan. Malah Hizwan dan rakan-rakan PPBM wajar bermuhasabah dengan apa yang berlaku di Perak. Menteri Besar PPBM disingkirkan oleh Umno dengan cara yang memalukan dan akhirnya PPBM terpaksa menerima pula Menteri Besar baru daripada Umno.
"Di peringkat nasional, hingga ke hari ini Perdana Menteri masih gagal membuktikan Kerajaan PN memiliki majoriti yang kukuh apabila undi tertinggi yang boleh diperolehi semasa pengundian belanjawan yang lepas hanyalah sebanyak 111. Perdana Menteri dan PN juga dilihat tidak cukup jantan apabila tidak berani memberi ruang kepada usul Undi Tidak Percaya.
"Pertelingkahan antara pemimpin PN kelihatan jauh daripada selesai apabila Umno dan Pas terus memilih untuk memperkuat Muafakat Nasional tanpa melibatkan PPBM. Keadaan ini membayangkan ketidaktentuan masa depan PPBM terutama menjelang agihan kerusi pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Syukri lagi, amat melucukan apabila Hizwan cuba menuding jari terhadap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai punca ketidakstabilan politik.
Sedangkan, kata Syukri, pengkhianatan Langkah Sheraton yang disertai Hizwan dan beberapa orang pembelot daripada PH sebenarnya menjadi punca Malaysia jatuh ke dalam ketidakstabilan politik.
"Sejak pengkhianatan itu berlaku, keadaan politik Malaysia terus bercelaru apabila pemimpin kerajaan sibuk berpolitik berbanding memberi fokus terhadap pentadbiran. Hasilnya Firma Penarafan Antarabangsa Fitch Rating telah menurunan taraf ekonomi Malaysia daripada A- ke BBB+.
"Justeru AMK menasihati Hizwan dan rakan-rakan sepengkhianatan untuk cermin diri dan jangan cuba menutup kelemahan PN yang busuknya sudah tidak boleh disembunyikan lagi.
"Berhentilah bermain politik murahan dan fokus kepada usaha menyelesaikan masalah ekonomi rakyat," kata Syukri.