Malaysia mempunyai pelbagai slogan anti rasuah sejak beberapa
dekad lalu namun perang melawan jenayah keji itu masih tidak menunjukkan
tanda-tanda kejayaan.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2020 berkata, usaha membanteras rasuah sesungguhnya memerlukan integriti, kekuatan serta jaminan bahawa setiap institusi negara bebas hendaklah dari pengaruh eksekutif dan para pemuka politik.
"Kita mengumumkan pelbagai slogan dalam melawan rasuah, namun kuncinya adalah pada sikap dan iltizam politik, kerana jika tidak ia hanya sekadar retorik yang berulang dan memualkan.
"Di Malaysia, masih banyak yang mesti dilakukan bagi membanteras rasuah dan meletakkan negara di jalur demokrasi yang punya kekuatan institusi.
"Reformasi institusi wajib menjadi tunjang dalam menggendong matlamat ini, kerana saat ini impian itu belum terwujud secara nyata," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Anwar, ketika usaha melawan pandemik Covid 19 diutamakan negara tidak boleh menolak ke tepi perang malawan rasuah yang semakin buruk sewaktu pemerintahan era kerajaan Perikatan Nasional.
Katanya, usaha perlu dipergiatkan melalui reformasi institusi agar peluang melakukan rasuah dikurangkan.
"Saat kita masih disibukkan dengan usaha membendung wabak Covid-19 seperti hari ini, reformasi institusi menjadi terpenting bagi mengelakkan kemungkinan kebocoran dan ketirisan pelbagai bantuan kepada rakyat yang diumumkan kerajaan.
"Marilah bersama-sama kita mengakhiri mimpi buruk ini dengan membetulkan sikap terhadap rasuah dan bangunkan bangsa yang bermaruah dan berintegriti," kata Anwar lagi.
Jenayah rasuah ditakrifkan meliputi gejala menggunakan wang sebagai timbal balas kepada faedah yang diberikan, selain menggunakan kedudukan dan kuasa, sama ada bagi membeli dukungan atau kesetiaan politik.
Amalan rasuah juga berkait dengan persoalan tatakelola dan tadbir urus sesebuah negara.
Malaysia ketika diperintah oleh Pakatan Harapan mencatatkan kemajuan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2019 yang meningkat ke kedudukan 51 daripada 61 setahun sebelum itu.
Namun dengan pertukaran kerajaan, kedudukan Malaysia kembali merosot.