Pengundi Gombak saman Azmin, Mahathir sedia jadi saksi kes

 Pengundi Gombak saman Azmin, Mahathir sedia jadi saksi kes

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersedia menawarkan diri sebagai saksi bagi kes undang-undang yang dimulakan pengundi Parlimen Gombak terhadap wakil rakyatnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tindakan tersebut difailkan 10 orang pengundi berdaftar dalam kawasan Parlimen berkenaan selepas Mohamed Azmin didakwa menipu dan melanggar kewajipan fidusiari melalui ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang Februari lalu.

Selain itu, Menteri Kanan Hal Ehwal Ekonomi itu juga didakwa memungkiri sumpah setia selaku Ahli Parlimen selain mengabaikan amanah pengundi-pengundi kawasan Gombak untuk kepentingan diri.

“Wakil rakyat atau Ahli Parlimen harus faham bahawa rakyat memilih kita sebagai wakil mereka untuk bersuara di Parlimen dan memimpin mereka bukannya untuk kepentingan diri dan mendapatkan jawatan serta kuasa.

“Saya melihat keberanian rakyat mempersoal kredibiliti dan integriti seorang Ahli Parlimen seperti Azmin sebagai satu proses mematangkan pendemokrasian negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, mahkamah adalah platform paling sesuai untuk mengesahkan dakwaan-dakwaan yang dikemukakan oleh 10 plaintif yang memfailkan tindakan tersebut.

Terdahulu, dalam penyataan tuntutan, kesemua plaintif berumur dari 36 hingga 64 tahun itu memohon Perisytiharan bahawa Mohamed Azmin menipu selain memungkiri representasi yang dibuat terhadap kesemua plaintif dalam pilihan raya kawasan berkenaan.

Menurut kesemua plaintif, representasi yang dibuat wakil rakyat itu adalah dengan menawarkan diri bertanding pilihan raya 2018 untuk menyingkirkan kerajaan pada ketika itu iaitu Barisan Nasional (BN), dan pegawai awam yang korup.

Dakwa kesemua plaintif, Mohamed Azmin mengetahui bahawa representasi diberikannya itu adalah palsu dan beliau hanya mahu mendapatkan undi serta tidak berusaha untuk memenuhi representasi berkenaan.

Kesemua plaintif mendakwa mereka bergantung kepada representasi tersebut dan mengundi defendan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pada masa sama kata Mahathir, kesemua perkara yang didakwa melalui tindakan yang difailkan itu telah pun dinyatakannya berulang kali terutama pendiriannya bahawa Langkah Sheraton penyebab perpecahan gabungan PH.

“Saya sedia menawarkan diri sebagai saksi di Mahkamah sekiranya keterangan saya diperlukan. Saya sedia membantu,” katanya lagi.