Penafian PN tentang krisis politik, ekonomi beri kesan kepada penarafan kredit negara


Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan)

Penafian Perikatan Nasional (PN) bahawa Malaysia sedang mengalami krisis politik dan ekonomi menambah risiko penurunan lanjut penarafan kredit negara pada masa akan datang. Fitch Ratings telah menyemak turun penarafan kredit Malaysia untuk pertama kalinya sejak Krisis Kewangan Asia 1997/98, dan Malaysia adalah negara ASEAN pertama yang mengalami nasib seperti itu dalam wabak COVID-19 ketika ini.

Malangnya, kerajaan Persekutuan PN memilih untuk menafi dan tidak menangani penurunan metrik kredit utama Malaysia yang menyebabkan penurunan dari A- ke BBB +, iaitu ketidakstabilan politik dan kurangnya ketelusan atau piawaian tadbir urus. Pemecatan Menteri Besar Perak secara mengejut oleh sekutu PN iaitu UMNO pada minggu lalu, menunjukkan penilaian Fitch adalah tepat mengenai majoriti tipis parlimen dua kerusi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai penyebab ketidakstabilan politik.

Tan Sri Muhyiddin harus berani menangani ketidakstabilan politik ini dengan membenarkan usul tidak percaya di Parlimen. Penolakan beliau untuk melakukannya hanya menunjukkan kelemahan politiknya dan kekhuatiran bahawa beliau telah kehilangan majoriti parlimennya. Sebarang penangguhan hanya akan melanjutkan budaya politik toksik semasa yang mengorbankan kepentingan negara demi survival peribadi yang mementingkan diri sendiri.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz harus berhenti menanam tebu di bibir dan mendedahkan unjuran pertumbuhan yang realistik dan tepat mengenai pertumbuhan KDNK negara, kutipan hasil dan hutang kerajaan, yang jauh tersasar berbanding dengan penilaian Fitch.  Fitch menjangkakan jumlah hutang kerajaan akan meningkat kepada 76% daripada KDNK pada tahun 2020 daripada 65.2% daripada KDNK pada tahun 2019, dan hutang langsung kerajaan pada RM874.27 bilion atau 60.7% daripada KDNK pada akhir bulan September, yang berada di atas had perundangan 60% daripada KDNK.

Lebih penting lagi, Fitch berpandangan bahawa kemerosotan tadbir urus dan ketidakpastian politik yang berterusan dapat melembapkan sentimen pelabur, yang membataskan pertumbuhan ekonomi. Jelas persepsi negatif ini tidak dibantu oleh penyalahgunaan sumber kerajaan demi politik di mana tender terbuka diganti dengan tender yang dirundingkan, dan menggantikan lembaga pengarah profesional Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dengan lantikan politik, seperti tawaran jawatan Pengerusi Petronas kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh untuk membeli sokongan politik.

Yang lebih membimbangkan adalah kegagalan jelas Tan Sri Muhyiddin untuk mengekang wabak COVID-19 dengan keputusan untuk membenarkan perjalanan domestik dan mengurangkan sekatan Covid-19 di beberapa negeri walaupun terdapat peningkatan jangkitan COVID-19 ke tahap yang tinggi. Pemimpin UMNO menyelar kegagalan Perdana Menteri untuk mengawal pandemik Covid-19 dengan menyatakan bahawa krisis COVID-19 Malaysia berada dalam keadaan yang lebih buruk berbanding di Indonesia, di mana dilaporkan 2.234 kes per juta penduduk di Malaysia berbanding 2.096 kes per juta di Indonesia. Jumlah kes COVID-19 (72,694) dijangka akan melebihi jumlah 86,619 kes di China dalam 10 hari akan datang.

Penurunan penarafan kredit negara ini adalah satu bentuk undi tidak percaya oleh pakar kewangan bebas dan antarabangsa mengenai prestasi ekonomi kerajaan.  Kerajaan Persekutuan PN harus bekerjasama dengan semua parti politik dan seluruh rakyat Malaysia untuk menyelesaikan krisis politik dan ekonomi ini demi meningkatkan dan mendapatkan semula penarafan kredit A- negara. 

Penurunan penarafan kredit negara ini merupakan kejutan untuk bangkit dari lena kepada kerajaan PN melakukan reformasi politik dan struktur ekonomi yang mendesak. Sekiranya PN tidak berusaha untuk bersatu dan bekerjasama untuk memberikan kepastian, kejelasan dan ketekalan terhadap dasar politik dan ekonomi negara, prospek Malaysia akan malap dan mendatangkan risiko penurunan lanjut pada masa depan.