Pembangkang yang kualitinya ke laut lepas

 

Terdapat banyak suara dan cemuhan bahawa pentadbiran Perikatan Nasional yang dipimpin Muhyiddin Yassin adalah kerajaan paling teruk dalam sejarah negara ini. Tambahan pula, yang menjadikannya lebih nista dan menjengkelkan ialah ia tidak diundi dan direstui majoriti rakyat sebagai blok politik yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Blok politik ini hanya terbentuk selepas PRU14, dan dijadikan satu platform sendal terompah untuk mengkhianati mandat rakyat. Lebih sadis, blok ini terlalu mewakili satu kaum.

Namun, satu hal yang kurang juga diperkatakan ialah negara ini juga memiliki barisan parti pembangkang paling haruk, cacamarba, bercemperaan, kelam-kabut, tidak bersatu, tiada hala tuju, wawasan ke laut, serbah-serbih, tunggang-langgang, simpang-siur, mabuk, tak semenggah, hiruk-pikuk, tertonggeng, terlentang dan ke laut. Bukan sebarang laut, tetapi laut lepas; nun jauh di Laut China Selatan.

Terdapat banyak sebab-musabab untuk menyangkut semua kata sifat dalam perenggan di atas dengan barisan pembangkang, Pakatan Harapan.

Saya akan beri 3 yang paling membuatkan pengundi atas pagar meluat, dan berfikir banyak kali; wajar dan berbaloikah jika mereka diberikan undi sekali lagi pada PRU15?

Pertama, ini ialah barisan pembangkang yang paling tidak jelas siapa ketuanya. Sebagai ketua pembangkang, si dia adalah calon bayangan perdana menteri untuk pentadbiran paling tidak stabil, paling entah apa-apa dan paling kemaruk dalam sejarah Malaysia moden, dan sejarah orang Melayu berparlimen.

Ketua pembangkang misalnya bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong dengan sangkaan punya angka. Kita, yang duduk di atas pagar; selaku rakyat memerhatikan dengan jelak tikaman angka itu.

Kita diberikan khabar yang angin-angin bahawa angka itu mungkin saja ampuh dan kukuh kerana ada sekumpulan penyangak bersedia menghulurkan tangan. Like what?

Gara-gara itu, barisan pembangkang ini menjadi lebih kacau-bilau. Ada wakil dari Amanah misalnya, melompat ke parti gabungan itu, iaitu PKR, yakni sesama sendiri entah sebab apa.

Khabar angin secara meluas juga tersebar sesetengah wakil Amanah yang “kaki usrah rahmatan lil-alamin” ini cenderung kepada ketua pembangkang sebagai perdana menteri.

Dalam benak mereka, maqasid maqasid maqasid. Manakala yang selebihnya pula menerima dengan suam-suam kuku, suam-suam gusi, suam-suam ketiak dan suam-suam kelangkang ketua pembangkang itu.

Dalam DAP pula, ada yang tidak dapat menerima ketua pembangkang yang akan menenggek di atas punggung sehimpunan mereka yang ada kes. Sementara sekumpulan lain pula terhegeh-hegeh mengulum gula-gula yang diberi. Rakyat tidak faham. Rakyat tidak diberi isyarat yang betul.

Hal yang sama juga terkesan dalam parti ketua pembangkang itu sendiri. Terdapat satu falasi, jika ahli tidak menerima si A, maka ahli itu adalah puak B. Ini tidak benar.

Terdapat juga wakil atau ahli dewan yang tidak mesti memuja ketua pembangkang, dan tidak pula mesti berselimut dengan kumpulan yang meneran keluar dirinya, iaitu kaum pengkhianat.

Ada ahli atau wakil dalam parti itu memang ada fikiran dan kepala otak sendiri. Makanya, sokongan untuk ketua pembangkang itu sendiri tidak pernah padu padat.

Kedua, kita mempunyai jumlah pembangkang tertinggi dan ramai dalam sejarah negara, akan tetapi blok pembangkang ini gagal memiliki Kabinet bayangan yang utuh untuk dicermin dan dinilai rakyat.

Kami, tidak tahu markah yang harus diberikan kepada barisan pembangkang ini. Mereka terlalu bercempera sesama sendiri.

Di tengah-tengah itu, juga ada GPS yang kononnya keinginan mereka hanya untuk mengutamakan hasrat rakyat Sarawak. Macam ya!

Dalam masa sama, kita juga tidak merasakan kejelasan solidariti antara Warisan, Pejuang dengan blok pembangkang ini; yang jelas kerana mereka itu konon – bebas – ya ampun bebas macam apa? Manakala yang memilih untuk betul bebas, sekerat dua orang juga tidak terlihat punya kejelasan yang berwibawa.

Seorang manusia tidak ada istilah bebas, merdeka sesifar-sifarnya, dia si manusia ini tentu memiliki satu kecenderungan. Akan tetapi apa? Yang ini juga gagal dibaca rakyat menyebabkan kekeliruan berganda. Ini kerana ideologi yang sekerat dua ini juga menyebabkan kita pengundi biasa gagal menebak.

Pembentukan Kabinet bayangan ini tidak susah mana, jika blok pembangkang memang kuat dan tidak bercemperaan. Bahkan sesetengah wakil pembangkang ini sudah pun ada pengalaman dalam kerajaan selama 22 bulan, tetapi mereka tidak dilihat benar-benar bersedia menyelamatkan rakyat.

Ketiga, di tengah sorak-sorai belanjawan yang ditawarkan kerajaan sedia ada ini banyak kepincangannya, barisan pembangkang yang ramai ini tetapi kualitinya entah ke mana, tidak pun dapat menawarkan bajet alternatif jujur dan telus untuk rakyat.

Padahal sebelum ini, ketika pembangkang tidak seramai ini, mereka pernah dan telah menyediakan belanjawan tawaran secara tradisi dan ia menjadi panduan kepada rakyat atau pengundi atas pagar yang celik politik. Kali ini, tidak kali ini. Mereka ikut sama terbuai dengan ketidakstabilan kerajaan sedia ada. Orang bergaduh, dia pun syok bergaduh.

Tidaklah menghairankan sesetengah pihak melihat pihak kerajaan mahupun pembangkang patut dilaga dan dihantukkan kepala mereka antara satu sama lain.

Kegagalan jentera kerajaan dan pembangkang dapat dilihat pada satu sosok manusia. Nama manusia itu adalah Ebit Lew.

Kelihatan Lew tanpa berpijak mana-mana blok boleh menyediakan harapan untuk rakyat negara ini. Cuma, beliau masih berkebajikan atas nama kepercayaan agamanya. Jika Lew berlari membantu segala kaum lain dan agama selain Islam; maka beliaulah abah sebenar Malaysia.

Agak menyedihkan dalam keadaan krisis politik dan kesihatan yang begitu sengit ini, barisan pembangkang gagal muhasabah dan munasabah untuk menawarkan sesuatu yang hebat, dan memaparkan diri sebagai ganti yang berguna untuk kerajaan megafon hari ini.

Lebih dahsyat ialah formula pembangkang dan kerajaan hampir sama, iaitu gantinya; orang tua. Orang tua. Orang tua. Orang tua. Orang tua. Orang tua. Orang tua. Orang tua. Orang tua. Orang tua. Orang tua. Iaitu orang tua. Orang tua. Orang tua. Orang tua. Orang tua dari dekad 1980-an. Jadi, rakyat tidak dapat melihat bezanya.

Adakah Malaysia terperangkap dalam dekad 1980-an? Helo pembangkang, orang tua. Orang tua. Orang tua. Orang tua. Orang tua. Pembangkang tua.

Terima atau tidak, bajet paling mahal kali ini bukan soalnya. Siapa pun yang dipilih ke Parlimen nampak gayanya macam hampas. Baik di pihak kerajaan, mahupun pembangkang. Kekal atau tidak pemimpin atau pimpinan sedia ada ini selepas hari ini bukan lagi bicaranya.

Kami, rakyat sudah meluat. Apa maksud meluat? Dewan Bahasa dan Pustaka menjelaskan ia bererti “berasa hendak muntah; meloya”. Reti? Reti tidak duhai pembangkang?

Kami sudah jeran dan jelak. Kami malas. Tutup radio. Tutup TV. Tutup telefon bimbit. Tutup Twitter dan Facebook. Lagi satu, rencana ini tidak berbayar. Tiada jasa menabur bakti pada huruf dan perenggan yang sedang kamu baca ini.

Ini bukan rencana terserempak menteri sedang mengayuh basikal sambil mendengar lagu Whitney Houston.

Rasa hendak muntah dan loya ini tulen. Kerajaan dan pembangkang sama. Semua tentang kuasa. Kami rakyat menunggu mati.