MP masih belum penat, ayuh rakyat terus menyokong
Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) masih belum kepenatan mencuba satu demi satu Undi Belah Bagi untuk menggagalkan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Bagi Ketua Whip Ahli-Ahli Parlimen Parti AMANAH Negara, Hasanuddin Mohd Yunus ibarat bermain bola sepak ,11 Ahli Parlimen parti itu masih cergas di atas padang biar pun penonton mungkin telah letih melihat babak-babak yang tidak memihak kepada mereka.
“Kami masih perlukan tempikan dan sorakan penonton
“Kami perlukan coach mengherdik kami dari tepi padang tu.
“Kami 11 pemain bola ini masih kental lari sana lari sini mengejar bola di padang. Tidak pula mengeluh kepenatan walaupun sudah tambah masa banyak kali. Anda semua sudah kepenatan ke?
“Ayuh! Terus bersama perjuangan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Hulu Langat itu meminta agar rakyat terus menyokong pembangkang di Parlimen sehingga detik muktamad pengundian Belanjawan 2021 pada 15 Disember hadapan.
“Kami percaya anda ada tersinggung di sana sini, tapi demi Allah dan perjuangan ini, kami masih perlukan anda dan kami tetap percayakan anda wahai ahli-ahli Amanah di seluruh tanah air,” katanya lagi.