BOB KELANANG
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
dilihat kena ‘sekolah’ dengan warganet tentang bagaimana keadaan sebenar jarak
satu meter.
Hasil suntingan kreatif itu adalah dari gambar Naib Presiden
Umno berkenaan yang berkumpul dengan lebih 10 individu lain termasuk Ketua
Menteri Melaka Sulaiman Md Ali dan Speaker DUN Melaka Abd Rauf Yusof.
Menurut catatan pada gambar itu, Ismail hanya duduk pada jarak
0.25 meter daripada seorang individu yang berbaju merah dan berkopiah putih.
“Ini penjarakan 1 meter. Jangan keliru. Patuhi SOP penjarakan
fizikal yang dikeluarkan kerajaan demi keselamatan semua,” dipetik dari kapsyen
foto yang diedit itu.
Terdahulu, Ismail menafikan dia telah melanggar prosedur operasi
standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ahli Parlimen Bera itu mendakwa pihak yang menyebarkan fitnah
itu sengaja mengambil gambar dari sisi untuk menunjukkan mereka duduk tanpa
penjarakan fizikal.
“Yang jahatnya, mereka menunjukkan gambar dari sisi bagi
menunjukkan kedudukan kami tanpa penjarakan. Namun ini lah gambar
sebenarnya..,” katanya menerusi Facebook rasminya hari ini.
Berkenaan arahan penjarakan fizikal, Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) menyebut itu adalah jarak minimum yang memadai tetapi lebih
daripada itu adalah lebih baik.
Menurut KKM, semakin dekat dengan individu dijangkiti Covid-19
semakin tinggi peluang untuk terkena jangkitan virus yang menyerang saluran
pernafasan itu.
“Apabila kita bersin, kadar kelajuan titisan cecair (droplet)
dianggarkan 150km/j dan boleh tersebar antara satu hingga dua meter.
“Jarak satu meter ini disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia
(WHO) dan majoriti negara menggunakan jarak itu sebagai jarak minima untuk
penjarakan sosial seperti China, Hong Kong, Denmark, Perancis termasuk
Malaysia,” kata KKM pada 11 Jun lalu.
KKM juga memaklumkan terdapat negara tertentu menetapkan jarak
minimum lebih satu meter seperti Korea Selatan (1.4 meter), Australia, Jerman,
Itali (1.5 meter), Amerika Syarikat (1.8 meter) dan United Kingdom, Kanada
serta Sepanyol (2 meter).
“Kajian terbaharu yang dikeluarkan jurnal perubatan, The Lancet,
menyatakan jarak satu meter sudah cukup untuk mengurangkan risiko jangkitan,”
kata KKM lagi.