Menteri
Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang terlibat dengan
kemalangan kecil semalam ketika bersenam menaiki basikal tidak wajar mendapat
reaksi 'berlebihan' Jabatan Kerja Raya (JKR) sekiranya mereka tidak berminat
melakukannya ke atas ribuan pengguna jalan raya lain yang terlibat dalam
kemalangan akibat permukaan yang rosak.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Kuala Langat, Mohd Shah Rezza Mohd Tuniman berkata, reaksi JKR meminta maaf atas kecuaian tersebut boleh dianggap oleh orang awam sebagai double standard dan melebih-lebihkan individu berpengaruh.
"Saya beranggapan kemalangan tersebut berlaku dalam kawasan Kuala Langat kerana Jabatan Kerja Raya Kuala Langat (JKR) tampil membuat permohononan maaf kerana insiden tersebut.
"Namun menjadi tanda tanya mengapa harus berlaku double standard ke atas kemalangan kecil yang melibatkan menteri ini?
"JKR Kuala Langat juga seharusnya bersikap adil dan sama meminta maaf kepada pengguna jalan raya lain yang juga pernah terlibat kemalangan malah ada yang meninggal dunia akibat kecuaian mereka.
"Masih banyak 'spot' kerosakan di sekitar jalan seliaan mereka dan apakah rasa ingin meminta maaf hadir hanya ketika kemalangan melibatkan menteri sahaja?" katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Shah Rezza lagi, rakyat biasa lebih wajar diberikan perhatian khusus kerana menggunakan jalan raya dengan kenderaan kecil seperti motorsikal berulang alik ke tempat kerja.
Malah, katanya, rakyat biasa juga membayar Cukai Jalan yang seharusnya dianggap 'pemilik bersama' kepada jalan-jalan berkenaan.
"Saya ingin menegaskan bahawa tidak perlu ada double standard kepada mana-mana menteri yang terlibat kemalangan di jalan raya kerana mereka mendapat keistimewaan pengecualian Cukai Jalan, sebaliknya rakyat marhaen adalah pembayar cukai jalan setiap tahun dan berdiam diri bila kemalangan menimpa mereka.
"Janganlah bersikap seperti pahat dan penukul, diketuk baru hendak jalan kerja. Lebih malang lagi diketuk berkali-kali masih tak jalan kerja," katanya.