Assalamualaikum dan salam sejahtera...
Anda mungkin kenal saya. Saya bekas ahli Parlimen Pandan yang
sering ditahan polis, disaman dan dijatuhkan hukuman penjara kerana
membongkarkan rasuah dan penyelewengan mereka yang berkuasa.
Mungkin masih ada yang ingat skandal-skandal yang saya
bongkarkan itu adalah fitnah. Kebelakangan ini, Dato’ Seri Najib cuba
mempopularkan kononnya semua tuduhan mengenai penyelewengan yang berlaku di
bawah pentadbiran beliau adalah fitnah semata-mata.
Setiap kali saya menyemak sesuatu kes, saya bersandarkan kepada
laporan kewangan yang telah diaudit. Saya tidak pernah tampil mengenai sesuatu
isu kecuali tanpa bukti dari laporan kewangan yang telah diaudit, lagi pun saya
seorang juru audit dan akauntan bertauliah yang mendapat tauliah di United
Kingdom.
Kesemua angka-angka mengenai sesuatu skandal kewangan datang
dari laporan kewangan yang diaudit.
Misalnya, saya mula-mula menyiasat skandal 1MDB kerana laporan
kewangan anak syarikat 1MDB, iaitu SRC International Sdn Bhd menunjukkan
bagaimana Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) iaitu tabung pencen negara
telah memberi pinjaman RM 4,000 juta @ RM 4 billion kepada 1MDB untuk melabur
di Mongolia.
Dari laporan tahunan kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera
(LTAT) pula, saya berjaya mengesan bagaimana dana pencen pesara tentera telah
jatuh mendadak sejak LTAT terlibat di dalam projek 1MDB.
Begitu juga dengan FELDA. Saya mula membongkarkan kepincangan
kewangan dalam FELDA berdasarkan penyata kewangannya yang diaudit dari tahun
2011 sehingga tahun 2016. Angka-angka yang diaudit Ketua Audit Negara ini
dengan jelas menunjukkan jumlah wang FELDA yang telah dibelanjakan.
Sama juga dengan Tabung Haji. Saya hanya menampilkan analisa
kewangan bagi menyokong hujah Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Gabenor Bank
Negara bahawa rizab Tabung Haji telah menjadi negatif dan analisa itu datang
dari penyata kewangan Tabung Haji sendiri.
Sumber maklumat yang membolehkan saya mendedahkan skandal MARA
pula datangnya dari dokumen-dokumen jual beli yang difailkan di Australia dan
dokumen Mahkamah Melbourne.
Anda juga sudah tentu tahu bahawa skandal NFC mula-mula disebut
di dalam Laporan Ketua Audit Negara sendiri. Saya hanya menyiasat dengan lebih
mendalam dan mendedahkan pembelian-pembelian dengan menjejaki setiap
kondominium yang dibeli.
Jika anda tidak percaya, saya jemput baca beribu-ribu muka surat
dokumen yang berdasarkan dokumen-dokumen rasmi ini yang telah diaudit bagi
setiap skandal yang saya bongkar, seperti pautan-pautan yang tertera di skrin:
Skandal 1MDB: 118 dokumen di http://rafiziramli.com/category/1mdb/
Skandal FELDA: 47 dokumen di http://rafiziramli.com/category/felda/
Skandal Tabung Haji: 31 dokumen di http://rafiziramli.com/category/tabung-haji/
Skandal NFC: 52 dokumen di http://rafiziramli.com/category/skandal-nfc/
Skandal LTAT: 16 dokumen di http://rafiziramli.com/category/ltat/
Skandal MARA: 21 dokumen di http://rafiziramli.com/category/mara/
Anda akan dapat saksikan sendiri bahawa semua skandal ini adalah
dari dokumen-dokumen kerajaan dan penyata kewangan yang diaudit.
Skandal-skandal ini juga tidak dinafikan atau dijelaskan sebaiknya oleh
pentadbiran Dato’ Seri Najib, kecuali menuduh saya menjaja fitnah.
Fitnah adalah mereka-reka cerita yang tidak wujud. Fitnah adalah
berkata bohong.
Apabila saya mendedahkan bagaimana wang rakyat sebanyak RM 250
juta telah diselewengkan untuk membeli kondominium dan bukannya menternak lembu
seperti yang sepatutnya, pimpinan UMNO tidak menafikan pun bahawa
kondominium-kondominium telah dibeli atas nama keluarga Dato’ Seri Shahrizat.
Mereka menuduh saya memfitnah atas alasan kononnya tindakan membeli kondominium
menggunakan wang rakyat itu tidak salah, kerana mereka berhak membelanjakan
wang yang dipinjam itu.
Sama juga keadaannya dengan Tabung Haji. Sehingga kini Dato’
Seri Najib dan Tabung Haji tidak pun menafikan bahawa rizab Tabung Haji pada
tahun-tahun 2014 dan 2015 adalah negatif, seperti pendedahan saya. Mereka juga
tidak menafikan bahawa Tabung Haji telah membayar dividen lebih dari keuntungan
yang dijana dari perniagaan. Mereka juga tidak menafikan bahawa Tabung Haji
kerugian berbilion ringgit dari pelaburan-pelaburan yang gagal di dalam FGV, TH
Heavy Engineering dan pelbagai pelaburan lain.
Mereka menuduh saya memfitnah kerana kononnya di sebalik segala
kerugian itu, disebalik rizab Tabung Haji yang negatif – itu tidak mempengaruhi
keutuhan kewangan Tabung Haji.
Kaedah menutup skandal dengan menuduh saya memfitnah ini
digunapakai dalam semua skandal yang lain juga. Tidak pernah sekali pun Dato’
Seri Najib menafikan angka-angka yang saya bentangkan mengenai kedudukan
kewangan FELDA. Sudah tentu mereka tidak boleh menafikannya kerana angka itu
datang dari penyata kewangan yang diaudit serta jawapan-jawapan menteri di parlimen.
Dato’ Seri Najib tidak menafikan bahawa hutang kumpulan FELDA
telah meningkat menjadi RM 12 bilion setakat 2017, sedangkan FELDA tiada hutang
sebelum beliau mengambil alih. Tan Sri Shahrir tidak menafikan bahawa wang
tunai simpanan FELDA telah merosot dari RM 4 bilion dalam tahun 2011 kepada RM
434 juta sahaja di akhir 2016.
Sehingga sekarang mereka tidak menjawab soalan saya: ke mana
perginya RM 7 bilion yang telah dibelanjakan di antara tahun 2011 hingga 2017?
Siapa yang dapat RM 7 bilion ini?
Sebaliknya, mereka menuduh saya memfitnah kerana kononnya walau
pun semua angka ini benar, tetapi tiada berlaku sebarang penyelewengan di dalam
FELDA. FELDA hanya rugi kata mereka, sama seperti perniagaan lain pun rugi.
Bila saya mempersoalkan kerugian yang melampaui batas ini, jawab mereka saya
telah memfitnah.
Pakatan Harapan selalu dituduh kononnya kami ini kuda tunggangan
DAP yang meruntuhkan institusi Melayu.
Satu hari nanti, saya yakin sejarah akan mencatatkan bahawa
anak-anak Melayu dari Pakatan Harapanlah yang masuk ke penjara mempertahankan
institusi Melayu seperti FELDA, Tabung Haji, MARA, LTAT dan lain daripada
dirompak.
Oleh sebab sayangkan institusi Melayu seperti inilah saya
berdepan dengan 14 kes dan 4 tahun hukuman penjara, kerana saya tahu pemimpin
datang dan pergi, tetapi institusi yang memegang wang Melayu yang rata-rata
miskin, ini perlu dipertahankan demi kebajikan dan masa depan orang Melayu.
Sudah tiba masanya kita mengangkat Melayu yang jujur, pintar,
rajin dan amanah untuk mempertahankan institusi-institusi Melayu ini.
Cukup-cukuplah kita menjadi saksi bagaimana pak Menteri, mak Menteri dan
keluarga mereka memperkudakan nama Melayu demi kemewahan
Rafizi Ramli