MANA ORANG KUAT JAKIM...SEMBUNYI JUGA KAH?

 


PKR persoal kenapa timbalan menteri KPDNHEP beri jaminan halal, bukan Jakim?

PKR persoal kenapa timbalan menteri KPDNHEP beri jaminan halal, bukan Jakim?

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail mempertikai jaminan status halal daging dalam pasaran negara ini oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Rosol Wahid.

Sedangkan, kata Azan, seliaan halal adalah di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Meskipun Rosol bagi jaminan, namun status halal adalah di bawah seliaan agensi-agensi lain seperti majlis berkuasa agama Jakim.

“Setakat ini untuk meredakan kebimbangan umat Islam malaysia, Jakim dan agensi berkaitan sepatutnya yang memberi jaminan.

“Adakah Rosol seperti Rasul untuk sewenang- wenangnya bagi jaminan halal kepada semua daging dalam negara selain daging babi di dalam pasaran?” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Terdahulu Bernama melaporkan KPDNHEP akan membuat pemantauan secara berterusan dan serbuan secara berkala terhadap syarikat atau pengedar berkaitan daging import tanpa sebarang notis pada bila-bila masa.

Rosol berkata kementerian itu belum ‘cuci tangan’ berkaitan isu tersebut dan pemantauan berterusan bertujuan memastikan semua daging yang diimport masuk ke Malaysia adalah halal.

“Kementerian juga memberi jaminan bahawa semua daging import yang ada di pasaran ketika ini adalah halal…..apa yang berlaku baru-baru ini, kita telah dapat bendung dan kenal pasti.

“Tanggungjawab kita memastikan semua daging yang nak masuk ke Malaysia wajib halal kecuali daging babi, ia dalam kategori yang lain,” kata Rosol.

Sebelum ini Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan Jakim, Sirajuddin Suhaimee menjelasakan peranan Jakim adalah memeriksa sama ada sesebuah rumah penyembelihan di luar negara mematuhi hukum syarak dari aspek proses penyembelihan sehinggalah daging itu dibungkus dan dimasukkan ke dalam kotak dalam keadaan bebas cemar.

Manakala permit mengimport daging dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Apabila produk itu sampai ke pintu masuk negara, kastam akan melihat dari segi cukai dan apabila berada di gudang di dalam negara ia tertakluk bawah Akta Perihal Dagangan 2011 bawah KPDNHEP.

Dalam pada itu Azan berkata, apakah KPDNHEP yang ada ketika ini berupaya untuk memastikan tahap halal seluruh negara dipatuhi.

“Berupayakah dia dengan kakitangan KPDNHEP yang ada memeriksa tahap halal pasaran seluruh negara?.

“Sedangkan agensi yang sepatutnya bertindak dalam pematuhan sijil dan kesahan halal adalah agensi Jakim dan pihak berkuasa agama Islam.

“Mengapa prosedur aduit Halal yang telah sekian lama dituntut tidak dilaksanakan?” soal Azan.