Semalam, Speaker Parlimen kata beliau tiada kuasa untuk
menentukan usul percaya/tidak percaya terhadap PM dibentangkan di Parlimen
dengan segera. Speaker tiada kuasa di dalam menentukan kedudukan usul? Mengapa
Speaker di Perak tiada masalah untuk melakukannya? Jika begitu, elok Speaker di
Parlimen menjadi speaker PA System saja, ada juga kuasa Watt.
Speaker Parlimen kata, yang berkuasa adalah menteri. Wahai
Speaker, cuba beritahu menteri mana yang bodoh akan membenarkan usul tidak
percaya terhadap PM yang melantiknya sebagai menteri? Speaker tidak perlu
perbodohkan rakyat. Sanggup jadi robot berada di Parlimen.
Hari ini, menteri berkaitan Parlimen, Takiyuddin pula cuba
perbodohkan Ahli-Ahli Parlimen yang kebanyakannya lebih lama dari Takiyuddin
berada di Parlimen. Dia juga cuba perbodohkan rakyat dengan membawa dua hujah
mengapa usul percaya/tidak percaya terhadap PM itu tidak perlu disegerakan.
Pertama hujahnya, beliau mengimbas kembali tentang dokumen yang
dibawa oleh Anwar Ibrahim ke Istana di mana Anwar menyatakan beliau punyai
jumlah sokongan yang kukuh. Beliau menyatakan mengapa Anwar tidak nyatakan
senarai nama MP yang menyokongnya? Walhal, Anwar melakukan proses yang sama
seperti Muhyiddin lakukan sewaktu merampas kerajaan mandat rakyat pada Feb yang
lalu di mana tiada siapa tahu senarai nama yang ada pada Muhyiddin ketika itu.
Apakah waktu itu nama Mahathir, Mukhriz, Syed Sadiq, Maszlee Malik, Amiruddin
Hamzah dan beberapa yang lain menyokong Muhyiddin? Mana senarai nama 114 orang
yang dikatakan menyokong Muhyiddin ketika itu?
Senarai nama ini tidak berbangkit sekiranya proses seterusnya
berjalan di mana semua Ketua Parti dipanggil ke Istana dan ketika itu baru
diketahui samada Anwar benar-benar ada sokongan atau tidak. Tetapi kita sedia
maklum proses tersebut tidak berlaku. Jika proses tidak berlaku sepenuhnya,
Takiyuddin tidak perlu mengambilnya sebagai hujah untuk menyatakan Anwar tiada
sokongan dan Muhyiddin masih memiliki sokongan majoriti.
Hujah kedua Takiyuddin untuk memperkuatkan dakwaannya bahawa
Muhyiddin masih ada sokongan majoriti sebagai PM adalah apabila beliau
mengambil contoh undian bajet peringkat dasar di mana bajet itu lulus apabila
tiada undian belah bahagi diadakan. Pada pandangan Takiyuddin, sokong Bajet
bermaksud sokong PM? Lupakah beliau kepada titah Tuanku agar jangan menyulitkan
pembentangan bajet? Bajet ini untuk rakyat bukan untuk PM. Amat zalim kita
menolak PM tetapi rakyat menjadi mangsa walaupun segala tuntutan kita terhadap
bajet itu telah diberi perhatian secara dasarnya.
Oleh kerana dua hujah dangkal di atas, maka Takiyuddin anggap
tidak menampakkan bahawa PM hilang sokongan maka usul tersebut tidak perlu
disegerakan.
Jika bajet mahu diambil kira, butakah mata Takiyuddin bahawa
setakat ini kerajaan tidak pernah memperolehi undian melepasi 112 undian
terhadap bajet di peringkat kementerian? Adakah kerajaan sekarang kukuh apabila
undian di Parlimen terhadap bajet tidak sampai ke angka 112 ? Kerajaan
sebenarnya amat lemah jika pun memperolehi hanya separuh dari keseluruhan Ahli
Parlimen.
Jika kedua2 hujah Takiyuddin itu boleh dipercayai untuk
menyatakan Muhyiddin sebenarnya punyai sokongan kuat, sewajarnya tidak perlu
takut dan bimbang untuk membawa usul PERCAYA kepada PM seperti di Dun Perak.
Kalau mahu bawa usul PERCAYA pun tidak berani, usul TIDAK PERCAYA pun takut,
maka apakah status kerajaan sekarang?
Situasi ini menjadikan kerajaan kita tidak diyakini oleh pelabur.
Rakyat menjadi mangsa akibat sikap orang politik yang mengampu pemimpin demi
perut mereka sendiri. Sudahlah kamu menjadi kerajaan dengan cara khianat dan
belot kepada mandat rakyat, masih juga tidak punyai sokongan kukuh tetapi masih
mahu memegang kuasa. Amat malang sekali, parti Islam turut bersekongkol dengan
puak ini bahkan paling kuat mengampu.
WFAUZDIN NS