Hanya Undi Tidak Percaya boleh ubati ekonomi merudum
Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini memutuskan untuk mendesak Kerajaan Perikatan Nasional (PN) membenarkan usul Undi Tidak Percaya agar dibentang di Dewan Rakyat berikutan kemerosotan ekonomi negara yang semakin parah akibat ketidakyakinan komuniti kewangan antarabangsa terhadap urus tadbir Kerajaan Malaysia.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Presiden PH, kemerosotan penarafan dari AAA- ke BBB+ oleh Fitch Ratings kelmarin menjadi bukti kerajaan PN tidak mampu menguruskan ekonomi dan politik negara.
“Demi menamatkan spekulasi berkaitan ketidaktentuan halatuju politik, merancakkan semula pertumbuhan ekonomi dan mengembalikan keyakinan terhadap pentadbiran negara, Majlis Presiden PH berpendirian bahawa kerajaan perlu menyegera dan mengutamakan usul Undi Tidak Percaya yang telah dibawa Ahli-ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sehingga 17 Disember ini,” kata kenyataan Majlis Presiden.
Kata kenyataan itu lagi, penurunan penarafan menunjukkan dengan jelas kerajaan, khususnya Menteri Kewangan gagal dalam perancangan dasar serta tatakelola pentadbiran, lanjutan dari ketidaktentuan politik yang berlarutan sejak perubahan kerajaan pada Mac lalu.
“Kesan penurunan ini terhadap ekonomi negara masih belum dapat ditentukan sepenuhnya, namun apa yang jelas adalah langkah-langkah yang diusahakan Menteri Kewangan selama ini telah gagal memberi keyakinan sehingga berlakunya penurunan penarafan yang cukup serius.
“Perdana Menteri seharusnya mengangkat prinsip ketelusan dan tatakelola yang baik dengan pelaksanaan langkah-langkah seperti tender terbuka dan pelantikan profesional, bukannya ahli-ahli politik ke dalam syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), antara lainnya.
“Malangnya, ini tidak berlaku di bawah pentadbiran sedia ada,” kata kenyataan itu lagi.
Pada 4 Disember lalu, Fitch Ratings telah menurunkan penarafan Malaysia dari AAA- ke BBB+. Penurunan itu adalah yang terburuk semenjak krisis kewangan Asia 1998.