Kekurangan tenaga kerja rakyat tempatan di Pasar Borong Kuala
Lumpur (PBKL) telah menjadi isu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Isu itu semakin genting berikutan arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mulai 1 Januari 2021 hanya pekerja tempatan sahaja dibenarkan bekerja di sana.
Bagi mantan Timbalan Menteri Pertanian, Sim Tze Tzin, arahan DBKL itu menyukarkan peniaga-peniaga di PBKL berikutan rumitnya mencari buruh tempatan untuk bekerja dalam sektor 3D (Dirty, Difficult and Dipandang rendah) dalam masa yang singkat.
Katanya, jika peniaga di PBKL tidak berjaya mencari buruh dalam masa ditetapkan maka mungkin akan berlaku gangguan bekalan di pasaran kerana PBKL membekalkan sebahagian besar ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan di Lembah Kelang.
"Saya menyeru DBKL mempertimbangkan semula perintah ini dan memberi ruang secukupnya kepada para peniaga.
"Saya juga menyeru DBKL berbuat sesuatu yang konstruktif membantu peniaga, bukan hanya mengenakan pelbagai perintah dan kawalan.
"Perintah DBKL ini mungkin akan menjejaskan sedikit sebanyak bekalan makanan dan seterusnya menjejaskan food sekuriti kawasan Lembah Kelang. Pada saat-saat hujung tahun dan menjelang perayaan Tahun Baru Cina, harga makanan mungkin akan naik," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Sim, sekiranya DBKL bertegas juga untuk menggunakan tenaga kerja tempatan beliau mencadangkan agar DBKL berfikir di luar kotak bagi menyelesaikan masalah.
Sim mencadangkan agar DBKL memperkenalkan automasi bagi mengurangkan tenaga buruh di PBKL serta membolehkan gaji pekerja yang mengendalikan mesin memunggah barang-barang ditingkatkan. Bukan dilakukan dengan 'kederat' dan 'tulang empat kerat' seperti sejak 60 tahun lalu.
"Saya perhatikan pekerja yang memunggah sayur-sayuran masih menggunakan cara manual seperti zaman sebelum Merdeka. PBKL masih dalam tahap industri 1.0.
"Dalam era industri 4.0 (IR 4.0), PBKL perlu dimajukan kepada tahap 4.0. DBKL boleh menaiktaraf pemunggahan sayur-sayuran dengan mekanisasi dan automasi. Penggunaan teknologi ini akan mengurangkan pergantungan kepada tenaga pekerja.
"Segala keluar masuk sayur-sayuran boleh didigitalisasikan menggunakan sistem IR 4.0. Ini akan mempercepatkan kerja-kerja rekod dan menjamin kesegaran sayuran.
"PBKL telah di takuk lama sejak tahun 1980-an. Selama 30 tahun, tiada naiktaraf, pembesaran atau pemodenan dari segi teknologi. Maka saya menyeru Menteri Wilayah dan DBKL untuk bertindak memodenkan PBKL dari teknologi operasi IR 1.0 kepada IR 4.0," kata Sim lagi.
Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru itu, sekiranya DBKL memodenkan sistem pemungahan di bangunan baharu PBKL ke tahap teknologi IR 4.0 maka ianya akan memberi lebih manfaat kepada jaluran pertanian negara (agriculture supply chain).
Perubahan di PBKL akan menjadi pemangkin kepada pemodenan sistem pengedaran bekalan makanan di seluruh negara pada masa hadapan.