Grand Coalition, siapa untung?
Raja Gelap
Bagaimana jika aku katakan pembentukan Grand Coalition (GC) ini umpama berikan kerusi secara percuma kepada ‘parti-parti comel’ ini?
Pejuang dan Muda adalah parti yang kecil. Sebab itu aku gelarkan comel. Tetapi bukan sebarang comel. Ini comel yang kejam. Sama macam watak ‘Chucky’ dalam filem. Namun itu bukanlah halangan untuk bentuk kerjasama.
Yang jadi masalahnya ialah, parti-parti ini tak punya akar umbi pun. Mereka ini bagaikan kiambang. Zahirnya nampak berkembangan tetapi akar tak jejak di dasaran.
Sebab itu mereka mahu bentuk GC ini kerana mereka perlukan akar umbi PH untuk lakukan kerja bagi pihak mereka dalam PRU15 nanti.
Bayangkan kalau mereka masuk ke PRU15 tanpa PH. Siapa nak pasang poster dan bendera? Siapa nak uruskan semua keperluan untuk ceramah? Kempen PRU bukan kecil anak punya kerja!
Kenapa tak masuk PH sahaja?
Itu lagi satu masalah. Kalau mereka masuk PH, mereka terpaksa ikut ketetapan PH. Dan PH telah membuat ketetapan DS Anwar akan mengetuai PH.
Dan itulah yang paling mereka tidak mahu!
Nampak tak jahatnya permainan mereka? Mereka hendakkan kerusi. Mereka hendakkan tenaga kerja PH. Tetapi enggan ikut ketetapan PH. Bahkan mereka mahu jadi kepala!
Yang peliknya ada pula pemimpin PH yang setuju. Entah kenapa kontot sangat akalnya sehingga tak terfikir GC ini lebih banyak buruk dari baiknya.
Dengan GC, PH hanya akan dipergunakan. Senang cerita, PH akan jadi balaci mereka. Buat semua kerja, tetapi kerusi mereka yang dapat.
Itu belum diambil kira lagi sifat tamak ketika pembahagian kerusi nanti. Dah lupa bagaimana tamaknya Bersatu ketika PRU14 dahulu?
Waktu itu Amanah banyak mengalah sehingga ada ahli yang tak puas hati. Itu pengorbanan Amanah untuk jayakan PH. Tetapi takkan kali ini nak jadikan Amanah korban lagi?
Tengok pula bagaimana Bersatu pergunakan BN dan Pas dalam PN. Mereka tiada akar umbi tapi tanpa malu umum hendak tanding banyak kerusi.
Di Terengganu misalnya, kalau ikut kaedah PN, memang BN takkan dapat bertanding langsung walau satu kerusi pun dalam PRU15 nanti.
Jika PH terima pembentukan GC ini, maka nasib PH akan jadi sama seperti BN. Dipergunakan untuk kesenangan parti-parti yang comel ini.
Itu belum cerita kalau dah menang nanti mereka lompat dan ikut PN. Kita dah terkena dengan Bersatu. Takkan tak serik-serik lagi?
Tiada beza antara Pejuang/Muda dan Bersatu. Itu juga acuannya. Dari segi ego, busuk hati dan sifat tamak mereka, memang saling tak tumpah.
Sebab itu aku harap PH tak akan layan langsung GC ini. Sebab tubuhkan GC sama seperti beri kerusi secara percuma kepada parti-parti ini.
PH takkan rugi tanpa mereka. Sebaliknya mereka yang akan mati tanpa PH. Beritahu mereka secara jelas, jika betul mahu perjuangkan rakyat, masuk sahaja mana-mana parti dalam PH.
Atau paling tidak, terus masuk PH dan ikut konsensus yang telah dipersetujui. Tak perlu nak tubuh koalisi lain dan cuba hijack jawatan ketua.
Tapi baik tak payah. Ada parti banyak tapi tiada akar umbi pun tak ada guna. Tak percaya cuba tengok nanti. Dalam 4 orang MP Pejuang dan juga Syed Sadiq dari Muda, siapa antara mereka yang boleh menang tanpa bantuan PH?
Aku berani kata paling banyak pun dua kerusi. Itupun kalau nasib baik. Silap-silap satu kerusi pun takkan dapat. Gigit jari sajalah.
Kalau PH nak ambil sangat parti kecil, baiklah ambil PSM. Kalau dengan PSM, serah kerusi percuma pun tak mengapa. Sebab PSM memang serius berkerja untuk rakyat.
Pejuang & Muda? Cuma perjuangan peribadi.