GERAK98 yang dipimpin oleh Datuk Muhammad Ezam Nor kini memasuki pusingan seterusnya di dalam jelajah ke seluruh negeri bermula 24 Disember ini bagi memberi penerangan ke akar umbi mengapa perjuangan reformasi yang dibawa oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim ini wajib diteruskan dan dipertahankan.
Harapan rakyat untuk melihat agenda reformasi ini dapat direalisasikan sewaktu PH berjaya membentuk kerajaan pada Mei 2018 dulu ternyata gagal kerana ketika itu kepimpinan negara diterajui oleh Tun Mahathir, seorang yang bukan berjiwa reform bahkan tidak berubah dari ciri-ciri seorang diktator. Jika ada pun sedikit perubahan yang dilakukan di era kerajaan PH selama 22 bulan sebelum dikhianati pada Feb yang lalu, bukan kerana komitmen Mahathir tetapi terpaksa dilakukan atas desakan rakyat dan pimpinan dalam PH yang mahu manifesto PH dapat dilaksanakan. Kata-kata Mahathir selaku PM ketika itu menyatakan 'Manifesto PH bukan kitab suci' menyerlahkan Mahathir bukan pejuang reformasi. Kemuncaknya, Mahathir memberi ruang mudah pengkhianat merampas kerajaan mandat rakyat atas keinginannya untuk menbentuk kerajaan perpaduan sekaligus berniat untuk menhancurkan PH.
Hingga kini, perjuangan reformasi yang dibawa oleh Anwar Ibrahim cuba digagalkan. Sebarang langkah Anwar untuk mengembalikan mandat rakyat sedaya upaya cuba digagalkan. Melihat kepada semangat Anwar tidak pernah luntur untuk terus berusaha bagi mendapatkan mandat rakyat yang telah dirompak itu, musuh-musuh beliau yang diketuai oleh Mahathir terus merencanakan langkah untuk mematikan langkah Anwar. Salah satu usaha mereka adalah untuk mengubah PH yang sedia ada kepada satu gabungan besar yang akan memberi ruang kepada musuh-musuh reformasi berperanan di dalam PH.
GERAK98 menyedari usaha licik puak-puak ini. Sehubungan itu, GERAK98 mengistiharkan Mahathir sebagai diktator yang memusuhi reformasi. GERAK98 akan memastikan sebarang usaha untuk menggagalkan perjuangan reformasi ini digagalkan. Rakyat perlu diterangkan tentang perjuangan reformasi dan mengapa agenda reformasi ini gagal diimplimentasikan ketika PH berkuasa dahulu.
GERAK98 Negeri Pahang memberikan komitmen untuk terus membantu mana-mana pihak yang berjuang atas landasan yang sama. InsyaAllah, pada bulan Januari tahun depan GERAK98 akan mengadakan program jelajahnya di Kuantan. Semua pencinta gerakan reformasi dijemput hadir. Aturcara terperinci akan dimaklumkan kemudian.
WAN FAUZULDIN WAN SAMAD
Pengerusi GERAK98 N.Pahang