Susulan satu laporan berkenaan perkahwinan Kapten hoki India, Manpreet Singh Pawar dengan seorang gadis dari Malaysia Illi Najwa Saddique telah menimbulkan tanda tanya warga net tentang status agama gadis berkenaan.
Zaharin Mohd Yasin atau lebih dikenali sebagai Sang Kalembai melalui status Facebooknya turut mempersoalkan keabsahan agama gadis berkenaan yang berkahwin dengan pemuda Sikh.
Katanya, daripada sumber yang diberitahu gadis berkenaan adalah orang Melayu yang berasal dari negeri Johor dan didakwa murtad kerana sudah menukar agama.
“Perkhabaran yang diberi tahu kepada saya. Mempelai perempuan itu orang Melayu yang berkahwin dengan Pemuda Sikh yang juga Kepten Hoki India. Khabar sudah menukar agama.
“Jika begitu sudah murtad. Katanya asal dari Negeri Johor. Kita tunggu komen JAIJ-Jabatan Agama Islam Johor,” tulis beliau.
Dalam pada itu, beliau juga mencabar lebai Pas untuk memberi komen terhadap masalah ini kerana ia menyentuh soal kesucian Islam sepertimana Pas yang selalu bercakap tentang mempertahankan Islam.
“Tok Guru Haji Hadi Awang dan jajaran lebai-lebai Pas sila komen? Jangan berpolitik sahaja. Ini soal kesucian Islam saperti parti kamu meletakan mempertahankan Islam. Sebab mempelai perempuan seorang Islam dari Malaysia.
Terserah kepada anda bagi penilaian. Apa kata Islam, jika seorang yang menurut atau mengikut sesuatu agama yang berlainan,” katanya yang terkenal sebagai penulis blog dan ‘cyber trooper’ Umno.
Manpreet dan Najwa sudah menjalinkan hubungan cinta sejak lapan tahun lalu dan telah mengadakan majlis perkahwinan di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab.
Bagaimanapun, menurut laporan sebuah portal The Tribune yang merakamkan sedutan video perkahwinan pasangan itu yang mengadakan majis perkahwinan mengikut adat Punjab.
Dan satu lagi portal Outlookindia.com telah melaporkan perkahwinan pasangan terbabit dengan tajuk “India Hockey Captain Manpreet Singh Marries Illi Najwa Saddique, Niece Of Malaysian Minister”, portal ini mendakwa menteri berkenaan adalah Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Saddique.
Daripada hasil carian MalaysiaDateline laporan berita berkenaan telah ditukar tajuk kepada “Indian Hockey Captain Manpreet Singh Weds Malaysian Partner With Pakistani Roots”.
MalaysiaDateline bagaimanapun sempat tangkap layar laporan asal berita tersebut sebelum ditukar.
Gadis berkenaan dilaporkan akan tinggal bersama keluarga lelaki dan beliau dikatakan sudah terbiasa dengan budaya Punjabi dan sudah menyukainya
Pihak keluarga lelaki telah memberi nama Punjabi Navpreet Kaur.
Pasangan itu dijadualkan berkahwin pada April lalu, dengan resepsi majlis di Ludhiana, namun terpaksa ditangguhkan kerana penularan Covid-19.
Difahamkan Illi Najwa, 27, berjaya mendapatkan permohonan khas daripada kerajaan Malaysia dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri India untuk terbang ke New Delhi seterusnya meneruskan perjalanan ke kampung halaman Manpreet.
Sumber dalaman Persekutuan Hoki Antarabangsa mengesahkan bahawa Illi Najwa melakukan perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Disember untuk bersama kekasihnya.
“Ketika sekatan perjalanan antara India dan Malaysia kembali reda baru-baru ini, dia berjaya mendapatkan penerbangan ke New Delhi selepas mematuhi syarat ditetapkan oleh kerajaan,” menurut sumber itu.
Ibu Najwa, Masita pernah bermain hoki mewakili Angkatan Tentera Malaysia.