Elok beri elaun bulanan M40, B40 daripada keluar KWSP
Elaun bulanan selama setahun lebih wajar untuk membantu golongan berpendapatan rendah B40 dan kelas menengah M40 berbanding pengeluaran simpanan hari tua dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid.
“Tanggungjawab kerajaan membantu rakyat ketika susah. Bantuan bulanan harus diberikan kepada B40, M40.
“Ini bukan benda baru. Jepun buat, Singapura pun buat. Malah di Jepun beri pinjaman mikro untuk isi rumah. Bantuan bulanan dalam 6 bulan.” kata pengarah urusan DM Analytics.
Beliau yang menjadi penasihat ekonomi kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad diwawancara oleh The Malaysian Insight dalam program bual bicara Insight Talk. Wawancara bertajuk “Ada Apa Dengan KWSP?”.
Menurut Muhammed, skim pengeluaran dana KWSP bagi mereka yang terjejas pendapat akibat penularan Covid-19 tidak difikirkan dengan mendalam oleh kerajaan.
Skim itu “terlepas pandang” mereka yang memerlukan bantuan, ketika kebanyakan rakyat yang menghadapi masalah kewangan kesan pandemik ialah mereka yang berada dalam sektor tidak formal, yang mencarum secara sukarela dengan KWSP.
“KWSP tidak ada gunanya untuk mereka walaupun mereka ini yang sangat tertekan,” katanya.
“Jadi siapa yang kita cuba hendak bantu? Kalau kita hendak bantu mereka yang hilang pekerjaan atau yang kena potong gaji, mereka sepatutnya diberikan bantuan tunai.”
Semasa membentangkan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 khusus bagi mereka yang kehilangan kerja, sebanyak RM500 sebulan bagi tempoh 12 bulan.
Pengeluaran RM6,000 itu adalah tambahan kepada RM6,000 yang dibenarkan pada hujung Mac di bawah skim i-Lestari.
Pelbagai pihak termasuk parti politik terutamanya Umno dan Barisan Nasional bagaimanapun kemudian mendesak had dan skop pengeluaran diperluaskan.
Skim i-Sinar kemudian diperluaskan kepada 2 juta ahli KWSP yang hilang pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan untuk mengeluarkan caruman dari Akaun 1, antara RM9,000 hingga RM60,000 tertakluk kepada baki simpanan.
Skim itu sekali lagi dipinda dan diumumkan pindaannya semasa Zafrul menggulung perbahasan Belanjawan 2021 peringkat dasar pada Khamis lepas.
Mereka yang sebelum ini dibenar mengeluarkan 10% daripada simpanan atau minimum RM9,000 kini diberi kelonggaran membuat pengeluaran sehingga RM10,000 dan memberi manfaat kepada 8 juta pencarum.
Kelonggaran yang kerajaan beri untuk mengeluarkan simpanan hari tua rakyat bagaimanapun dikritik oleh banyak pihak yang melihatnya sebagai petunjuk keadaan suram ekonomi dan dasar kerajaan yang gagal menangani isu kos sara hidup.
Belanjawan 2021 juga mencadangkan pengurangan caruman pekerja daripada 11% kepada 9% bagi menambah aliran tunai mereka.
Menurut Muhammed, kerajaan “tersalah keutamaan” dalam Belanjawan 2021 apabila menyediakan dana yang besar untuk menubuhkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), yang dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), serta memperuntukkan bonus kepada kakitangan awam.
“Apa sebab beri bonus kepada kakitangan awam, mereka bukan hilang pekerjaan dan tak kena potong gaji.
“Lebih baik kalau (peruntukan) itu diberi kepada mereka yang hilang pekerjaan atau yang bekerja di sektor tidak rasmi.
“Soalnya bukan kurang dana tetapi pengagihannya tidak betul,” tambahnya.
Secara keseluruhannya, beliau berkata Belanjawan 2021 dengan cadangan perbelanjaan RM322.5 bilion dan RM305 bilion pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan pada awal tahun ini bagi menampan kesan pandemik ke atas ekonomi, tidak memuaskan dari segi bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Tiada bantuan baharu, katanya, ketika bantuan tunai sudah sedia wujud sejak ia diperkenalkan oleh pentadbiran Najib Razak, yang ketika itu dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“Bantuan ini disalurkan dari 2012 hingga 2019 dan ketika itu tiada krisis.
“Apabila ada krisis, bantuan tambahan dan bantuan bentuk baharu perlu diberi. Tetapi tiada bantuan baharu untuk tahun depan,” katanya.