PKR ikrar kukuh PH dan pakatan pembangkang
PKR akan terus mengukuhkan Pakatan Harapan (PH) serta meningkatkan kerjasama di kalangan pembangkang, kata Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil.
Menurutnya, usaha itu telah dilakukan ketika sesi Parlimen yang lalu, termasuk usaha Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput semua wakil parti pembangkang untuk duduk bersama membincangkan strategi menghadapi Belanjawan 2021.
“Sejak PKR ditubuhkan pada 1999 dan menempuh PRU pada tahun itu, serta PRU-PRU pada tahun 2004, 2008, 2013 dan 2018, PKR sentiasa mendukung prinsip kerjasama, persefahaman dan gabungan politik melalui Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan.
“Selama tempoh itu, kerjasama, persefahaman dan gabungan politik ini berpegang kepada prinsip mendukung agenda Reformasi, menolak rasuah, kronisme serta kebobrokan yang berlaku dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, PKR akan sentiasa menilai perkembangan politik semasa secara bersama.
Jelasnya, PKR akan meneruskan segala persiapan jentera dan perbincangan berkait PRU15 berpandukan penilaian tersebut.
Dalam masa sama, beliau berkata, mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bulanan hari ini juga membincangkan beberapa isu dasar berhubung masalah rakyat, tatakelola serta keadaan politik semasa.
“MPP PKR mengarahkan pimpinan untuk meneliti isu rakyat khususnya pengangguran yang masih tinggi, harga barang yang melonjak, serta ekonomi yang kekal suram pada ketika Covid-19 terus melanda negara.
“Secara prinsipnya, PKR berpegang teguh kepada usaha mengupayakan wanita termasuk di dalam bidang politik,” ujarnya.
Justeru, kata Fahmi, MPP PKR mengulangi serta menegaskan komitmen seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan parti bahawa minimum 30 peratus anggota wanita PKR diutamakan dalam penetapan calon dan lantikan politik.